600,000 MyKad di bawah ‘Projek M’ di Sabah

Written by Faisal Mustaffa

Baru-baru ini ketika berada di Pulau Pinang dalam rangkakerja biasa, saya menerima satu panggilan dari seorang rakan dari Sabah, Daniel John Jambun.

Daniel berada di dalam kumpulan reformasi di Sabah yang banyak membantu saya ketika berada di Sabah atas urusan bengkel atau apa sahaja program yang melibatkan perkembangan minda.

Beliau bersama teman-temannya Dr Nicholas Bawin, P. Waythayamoorty, Virenda Sharma telah bersama-sama dalam sebuah memorandum menulis mengenai rintihan rakyat Sabah dan harapan-harapan mereka di dalam melihat negeri itu makmur – social, politik dan ekonomi.

Pakar-pakar cendekiawan tersebut telah menyatakan kegusaran mereka dengan penindasan yang dialami oleh rakyat Sabah.

Sekiranya kita mengkaji sejarah, pasti Suruhanjaya Cobbold tidak asing lagi buat Sabah.

Sabah, sebagai sebuah negara bekas jajahan British mendapat hak kemerdekaan mereka pada Ogos 31, 1963 dan kemudiannya, pada September 16, 1963 ia bergabung dengan Malaya, Singapura dan Sarawak bagi menubuhkan Persekutuan Malaysia.

Sewaktu pemasyuran kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Sabah kini bebas dan tidak lagi menjadi sebahagian jajahan British. Rakyat Sabah pada waktu itu bergembira akan perisytiharan Sabah dan sudah tentu kemerdekaan sedemikian menjanjikan rezeki yang melimpah ruah bagi generasi mendatang.

Mini Filipina

Tetapi bukan senang Sabah hendak dimerdekakan dengan mudah, sebegitu rupa. Mungkin pertalian bersama Kerajaan British sudah pun berakhir. Namun, tanpa disedari penjajahan tertakluk pada anak pribumi sendiri dengan kuasa politik yang diberikan kepada mereka.

Berdasarkan kertas kerja ‘Human Rights and Citizenship: Its impact on Economics, Social and Cultural Rights,’ yang dibentangkan oleh Dr Chong Eng Leong semasa perbincangan meja bulat Suhakam pada Julai 31, 2006, lebih kurang separuh daripada populasi Sabah berjumlah 3.25 juta terdiri daripada orang asing.

Daripada jumlah tersebut, 750,000 merupakan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen ataupun dokumen perjalanan mahupun permit kerja.

Daripada jumlah 750,000 itu, 60,000 daripadanya dikategorikan sebagai pelarian dan kira-kira 153,000 hingga 418,000 sepatutnya diberikan permit kerja. Menurut laporan Chong Eng Leong juga, daripada jumlah 750,000 itu, seramai 600,000 sudah dikeluarkan MyKad di bawah ‘Projek Mahathir’ dan ada juga di antara mereka memperolehi dokumen palsu.

Perkara lain yang lebih serius daripada huraian di atas ialah apabila pendatang-pendatang ini ialah menggunakan mereka ini bagi didaftarkan sebagai pengundi yang sah.

Kategori utama dalam jenayah sebegini ialah melalui ‘Projek Mahathir’ yang dinyatakan. Malah, salah seorang saksi di dalam kes yang didengar di mahkamah mengakui memperolehi MyKad dengan mudah. Pengakuan tersebut tidak pernah dicabar mahupun dinafikan oleh mana-mana pihak pun, termasuk bekas Perdana Menteri ketika itu.

Kebanyakan mereka ini datang dari negara jiran, Filipina. Negara itu sehingga kini masih berusaha dan mempertikaikan hak mendapat milik Sabah.

Dengan jumlah pendatang-pendatang yang ada di Filipina sahaja, melalui penempatan-penempatan yang mereka bina di merata bandar dan kampung, tidak mustahil bagi negara itu mencapai hasrat mereka yang dipendam itu.

Banding Singapura, Brunei

Sabah kini terkenal sebagai negeri tempat berlindung bagi pengganas-pengganas serta penculik-penculik tempatan mahupun antarabangsa.

Isu-isu ini memberi kesimpulan kepada persoalan: di manakah keselamatan yang dijanjikan oleh Bapa Kemerdekaan kita? Rakyat Sabah di peringkat awal dijajah British dan kemudiannya diarah memberi sokongan untuk bergabung dengan Tanah Melayu bagi menyelamatkan dari cekaman ‘Konfrontasi’ Indonesia dan tuntutan Filipina.

Lihat sahaja prestasi Singapura dan Brunei yang mengambil keputusan untuk keluar dari gabungan Malaysia – betapa maju negara-negara itu sekarang?

Dengan jumlah populasi rakyat asing yang membanjiri populasi rakyat tempatan di sesetengah tempat, tidak mustahil Sabah kini menjadi seolah sebuah negara asing.

Bekas pesuruhjaya Suhakam, Prof. Hamdan Adnan pernah mengakui hakikat ini dan menyatakan kebimbangan beliau bahawa tidak mustahil bagi Sabah, sekiranya tidak dibendung masalah pendatang asing ini, akan dijajah.

Peningkatan warganegara Sabah dengan mencanak sudah tentu bukannya dari insiden ‘baby boom’ selepas kemerdekaan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat selepas Perang Dunia. Ianya berlaku akibat daripada ‘Projek Mahathir’.

Orang baru Sabah menjadi pengundi segera bersama teras janji-janji lain yang dicurahkan apabila mereka juga didaftarkan sebagai pengundi yang sah semasa pilihan raya.

Kadar kemiskinan 24.3%

Sebenarnya Sabah sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli – petroleum, gas, pembalakan, baja, tanah pertanian dan potensi pelancongan.

Dengan populasi sejumlah tiga juta, Sabah sepatutnya menawarkan pelbagai ruang pembangunan dalam sektor-sektor yang dinyatakan. Tetapi, apa yang nyata ialah Sabah hari ini sebuah negeri termiskin (berdasarkan laporan Rancangan Malaysia).

Kayu-bayu balak ditebang secara rakus tanpa pengurusan pengelestarian yang cekap.

Lebih daripada lapan peratus pembangunan tanah pertanian bagi perladangan kelapa sawit dimiliki oleh syarikat dari Semenanjung Malaysia.

Sabah merupakan pegeluar sumber ketiga terbanyak di Malaysia, yang mana ia menghasilkan 60% daripada pengeluaran datangnya dari negeri itu iaitu kira-kira 73,000 tong sehari.

Persoalannya: Mengapakah Sabah menduduki antara tangga tertinggi dalam kadar kemiskinan rakyatnya? Adakah negeri itu tidak mendapat bahagian mereka daripada kekayaan tersebut atau menjadi mangsa kepada pengurusan yang salah atau kedua-duanya sekali?

UNDP (Program Pembangunan Negara Bersatu) meletakkan kadar kemiskinan Sabah pada 24.3% daripada jumlah populasi.

Sabah merupakan defisit bajet tertinggi negara iaitu sebanyak RM252.89 juta (2006). Dengan populasi seramai 3.25 juta, pendapatan per kapita mereka ialah RM9,536 berbanding dengan RM18,040 bagi Malaysia.

Petroleum dan gas pada awalnya menjadi milik kerajaan negeri sehingga 1976 bila mana Keajaan Persekutuan mengambil-alihnya melalui agensi kerajaan pusat, Petronas.

Situasi inilah yang dikatakan di belakang Tragedi ‘Double Six’ (kemalangan yang menimpa beberapa anggota cabinet Sabah termasuk Ketua Menterinya, Tun Fuad Stephens di Sembulan). Fuad dikatakan enggan menandatangani perjanjian hak pertroleum Sabah yang diadakan Labuan.

Sebaik sahaja pengebumian Fuad, Harris Salleh telah menandatangani perjanjian yang sama. Dengan termeterainya perjanjian, negeri itu hanya memperolehi 5% daripada pendapatan keseluruhan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.