Zaid Desak Pemantau Antarabangsa Di PRK Sibu

Oleh Norihan Adnan

PETALING JAYA 28 Apr - Calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya agar mengendalikan pilihan raya yang adil dan telus, bukan membuat ancaman, menyebarkan maklumat yang salah dan amalan yang tidak adil dan menyalahi undang-undang.

"Tugas SPR adalah untuk mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil. Saya berpendapat bahawa mereka telah melanggar peraturan dalam pemilihan baru-baru ini," katanya pada sidang media di kediaman beliau pagi tadi.

Malah Zaid yakin SPR menyebelahi Barisan Nasional dan berusaha agar BN menang pada setiap pilihan raya.

Justeru itu, beliau akan memfailkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR dengan harapan pilihan raya masa akan datang bersih untuk mencerminkan kehendak sebenar rakyat.

"Setiap warga mempunyai kebebasan untuk mengundi tetapi ini tiada makna jika warga itu tidak dapat melaksanakan tanggungjawab ini kerana namanya telah dipindahkan ke kawasan luar pilihan raya tanpa pengetahuannya atau jika dia diintimidasi, atau diberi rasuah atau apa saja bentuk rangsangan yang mempengaruhi undiannya," tegasnya.

Zaid menambah beliau mempunyai saksi berserta bukti kukuh mengenai rasuah terang-terangan ahli BN sehinggalah kepada Perdana Menteri sendiri.

"Apa yang penting, itu menyalahi undang-undang. Kami akan memfailkan petisyen pilihan raya secepat mungkin. Mana-mana pengundi dari Hulu Selangor boleh menyampaikan maklumat kepada mana-mana pejabat KEADILAN, DAP dan PAS," ujarnya lagi.

Pakatan Rakyat akan memastikan kempen segar di dalam pilihan raya menjadi kenyataan di negara ini.

"Pakatan Rakyat takkan dapat mencerminkan kehendak rakyat dan bentuk pilihan raya yang akan datang sekiranya BN masih mengendalikan pilihan raya seperti yang mereka mahu, seperti yang mereka lakukan sekarang," ujar beliau.

Tambah Zaid SPR mesti mengendalikan pilihan raya yang memenuhi syarat piawaian antarabangsa dan menggesa pihak badan itu membenarkan pemerhati antarabangsa untuk datang ke pilihan raya kecil di Sibu dan lain-lain pilihan raya pada masa akan datang.

"Saya bertanya kepada PM jikalau beliau seorang yang popular seperti yang didakwanya, kenapa mesti takut kepada perlawanan yang bebas dan adil dengan pembangkang?" ujarnya.

Zaid juga akan menyaman akhbar Utusan kerana menggelarkannya kaki botol.

Apabila diminta mengulas mengenai Setiausaha Agong Umno yang akan menyamannya, Zaid berkata, itu hak mereka.

"Kalau nak saman, kita alu-alukan. Kami akan dedahkan semua," katanya.

No comments

Powered by Blogger.