Kaki tikus dalam bungkusan mi

PELABUHAN KLANG - Seorang suri rumah terkejut apabila bau busuk yang terdapat dalam sebungkus mi kuning yang dibelinya adalah pergelangan kaki tikus.

Azlini Abd Mutalib, 35, berkata, mi berkenaan yang dibeli dari sebuah pasar raya berhampiran baru saja dibuka untuk dibasuh.

Menurutnya, dia yang curiga dengan objek yang terdapat dalam mi berkenaan terus meminta suaminya, Azhar Latif, 37, untuk melihat benda yang terdapat dalam bungkusan itu.

“Suami yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat kawalan serangga mengesahkan ia adalah pergelangan kaki tikus yang terputus.

“Kejadian ini membuatkan saya trauma dan tidak akan menyediakan hidangan berbentuk mi kepada keluarga kelak,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, dia kesal dengan sikap berdolak-dalik syarikat pengeluar mi berkenaan yang dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Menurutnya, wakil syarikat berkenaan telah memintanya untuk merujuk perkara itu kepada pasar raya berhampiran dan seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

“Syarikat berkenaan juga mengaburi mata pembeli dengan meletakkan nama Bumiputera sebagai jenama mi mereka untuk dijual.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan soal kebersihan dan pihak berkuasa harus memantau pengeluar mi agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya yang turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Pandamaran, di sini.

No comments

Powered by Blogger.