Pengundi Cina Hulu Selangor Buktikan Tolak BN, Peruntukan Akan Dapat Juga

idrisahmad.wordpress.com

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi di Hulu Selangor kerana memberikan sokongan hebat kepada Pakatan khususnya kepada pengundi Cina yang jelas mendukacitakan BN.

Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengunakan duit peruntukan rakyat untuk Kementerian Pelajaran bagi membayar 'hutangnya' kepada pengundi Cina sebanyak RM 3 juta. SRJK (C) Rasa, Hulu Selangor menerima duit itu walaupun kaum Cina sudah menolak parti berkenaan.

Rakyat yang bijak akan melihat bahawa jika mereka tidak undi BN sekalipun, BN akan berikan bantuan juga akhirnya. Mungkin sesetengah rakyat beranggapan bahawa mereka kalau sokong BN akan dapat lebih.

Tetapi harus diingat BN terdesak berikan bantuan RM 3 juta yang tiada dalam senarai perancangan perbelanjaan Kementerian Pelajaran itu kerana ingin mendapatkan sokongan kaum Cina. Pilihanraya Parlimen Sibu yang majoriti penduduknya adalah kaum Cina menjadi sasaran terbaru mereka selepas dikecewakan oleh pengundi Cina di Hulu Selangor.

Jika BN ikhlas, bantuan berkenaan sudah diterima sejak zaman Palanivel menjadi Wakil Rakyat lagi. Tapi BN sengaja bermain wayang untuk menunjukan lakonan keprihatinan kepada rakyat sedangkan banyak lagi sekolah Cina dan India serta sekolah Agama Rakyat yang belum mendapat bantuan Kerajaan diseluruh negara. Malah nasib empat orang guru yang dilaporkan berumah dibawah kelas tempat mereka mengajar sejak 3 tahun lalu masih belum mendapat bantuan.

PAS baru-baru ini turut menerima aduan bahawa kelas-kelas mengaji dewasa di Masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan termasuk Masjid Negara terpaksa dikurangkan berikutan kekurangan guru lantaran pihak Kerajaan sudah mengurangkan bantuan. Bantuan tahunan terpaksa dikurangkan bagi menampung belanjawan 'terkejut' Kerajaan BN yang selalu diumumkan masa Pilihanraya kecil.

PAS menyarankan rakyat di Parlimen Sibu menyediakan senarai panjang tuntutan segera mereka kepada BN menjelang pilihanraya kecil nanti. Inilah masa dan peluang untuk mereka menikmati pembangunan dan bantuan Kerajaan secara pantas tanpa perlu menunggu kertas kajian belanjawan dibentangkan kepada kabinet.

PAS berharap agar rakyat terus menolak BN, dan yakinlah bahawa bantuan lebih banyak akan diterima jika rakyat tolak BN kerana mereka sanggup lakukan apa sahaja termasuk berbelanja besar untuk meraih kembali sokongan rakyat bila sudah ditolak seperti yang dilakukan oleh pengundi Cina Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Bantuan-bantuan ini belum dicampur lagi dengan bantuan yang akan diberikan Kerajaan Pakatan. Ini bermakna pengundi Hulu Selangor bukan sahaja menikmati bantuan BN, tetapi akan dapat bantuan berganda dari Pakatan kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab kepada rakyat.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments

Powered by Blogger.