Telefon mudah alih berkonsep syariah diperkenal di Pantai Timur

PASIR PUTEH, 26 April — Perkhidmatan telefon mudah alih yang pertama berkonsepkan syariah Islam akan diperkenalkan di Pantai Timur selewat-lewatnya Julai ini dengan pakej yang lebih menarik.

Pengarah Urusan Syarikat Ghazz Network (M) Sdn Bhd Ghazali Mohd Saat berkata perkhidmatan itu ditaja oleh Baraka Telecom Sdn Bhd yang berpangkalan di Kuwait dengan usahasama Ghazz Networks (M) Sdn Bhd yang berpejabat di Kota Baru.

“Seramai 550 ejen di Kelantan dan Terengganu sudah dikenal pasti bagi meluaskan rangkaian perkhidmatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, 24 daripada ejen itu sudah diberi latihan dan penerangan mengenai keistimewaan perkhidmatan itu yang akan menawarkan kadar penggunaan yang terendah berbanding dengan syarikat-syarikat mudah alih lain.

Perkhidmatan itu juga menawarkan keuntungan bersama selain akan menjalankan kerja-kerja amal kebajikan kepada masyarakat Islam seperti mengumarahkan masjid dan kegiatan sukan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam, katanya.

Ghazali berkata pelanggan yang menunaikan fardu haji dan umrah pula akan dapat manfaat apabila menggunakan perkhidmatan itu ketika berada di Mekah dan Madinah.

“Keluarga mereka yang berada di tanah air boleh menghantar wang hanya dengan menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan pinjaman awal berjumlah RM1 juta daripada mana-mana institusi kewangan di negara ini dalam tempoh terdekat. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.