Hulu Selangor - buka mata!

CATATAN ANUAR MOHD NOR – ada yang meminta saya membuat rumusan mengenai pilihan raya Hulu Selangor yang baru lalu. Saya cuba untuk memikirkan apa yang patut saya ulas mengenai kemenangan BN dan PR tetapi apa yang saya nampak adalah PRU 13 nanti.

PRU 13 nanti akan menjadi pengukuran sama ada BN masih di terima atau pengundi telah berpaling arah – melihat kepada alternatif dan mencari perubahan. Kita sendiri sekiranya melihat dengan rapat pilihan raya Hulu Selangor pasti merasai kesengitan yang berlaku. Masing-masing menggunakan taktik dan teknik yang ada untuk meraih kemenangan. PR tahu kenapa mereka tewas dan BN tahu sebab-sebab mereka menang. Antara kekalahan dan kemenangan kedua-dua parti, masing-masing dapat mengukur kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Kita biarkan PR dengan kelemahan mereka tetapi kita tumpukan kepada kemenangan yang diraih oleh BN. Datuk Seri Najib dalam kenyataannya mengatakan bahawa kemenangan BN adalah petunjuk bahawa rakyat sudah mula yakin kepada BN. Adakah ini satu hakikat, benarkan rakyat sudah menerima apa yang dikatakan oleh slogan BN – BN mampu berubah? Berubah dari satu situasi ke situasi lain, dari mana ke mana dan apakah bentuk perubahan tersebut? Menerima kemenangan di Hulu Selangor seharusnya juga mendesak kita untuk menilai sama ada kita sudah cukup kuat atau tidak dalam berdepan dengan desakan demokrasi PRU 13 nanti. Adakah rakyat benar-benar yakin dan keyakinan ini dapat memberi jaminan kemenangan yang lebih selesa kelak.

Kita sesama kita perlu sedar dengan kekuatan yang ada – termasuk jentera dan lain-lain yang dapat mencorakkan pilihan rakyat untuk memberi kemenangan di Hulu Selangor – kita hanya meraih kemenangan yang agak tipis. Kita perlu disedarkan bahawa kemenangan kita adalah hasil hempas pulas kita untuk satu kawasan – bagaimana pula nanti bila PRU 13? BN harus mulai hari ini menilai kekuatan sebenar yang ada. BN harus dapat menerima kritikan pahit dan pedas agar kita dapat melangkah ke arah yang lebih mantap bila berdepan dengan pilihan raya. Kita perlu menilai kekuatan rakan-rakan BN khususnya MIC dan MCA. Kita perlu kaji sebab-sebab Cina mengalih pilihan mereka dari BN. Kita perlu melakukan daya yang lebih kuat lagi dan daya itu tidak boleh tidak berlegar sekitar keperluan BN untuk berubah khususnya UMNO. Tanpa keyakinan rakyat bahawa BN boleh berubah maka PRU 13 mungkin akan jadi lebih tragedi dari PRU 12.

Kita berbangga dengan kemenangan Hulu Selangor tetapi ia juga adalah sesuatu yang sepatutnya membuka mata – bahawa kita tidak lagi mampu mendapat kemenangan mudah – kita perlu berusaha dan usaha ini harus mengerumus kepada penerimaan kita kepada perubahan sekitar kita – rakyat Malaysia. Apa jugalah yang berlaku di Hulu Selangor – bagi saya ia bukan kejayaan BN, bukan kegagalan PR tetapi ia adalah kemenangan rakyat kerana dengan pilihan raya ini – rakyat boleh menjadi kuasa bagi menguntungkan rakyat negara ini dan Malaysia secara keseluruhan.

http://umno-reform2.com/front/

No comments

Powered by Blogger.