Antara Lampu Merah, Baju Merah Dan Amaran Merah

Oleh SYAHRIL A. KADIR

DI MALAYSIA ini, siapa saja yang berkunjung ke Thailand terutama kaum Adam, pasti dipandang serong rakan-rakan ataupun si isteri sendiri.

Namun nak buat macam mana, satu dunia tahu bahawa Thailand merupakan syurga seks, bukan saja untuk lelaki, tetapi juga pada golongan homoseksual

Saya difahamkan, negara itu mempunyai antara 80,000 dan 100,000 pelacur, ada juga mengatakan jumlahnya mungkin mencapai 600,000 dengan 1/3 daripada gadis berusia 18 tahun.

Industri 'lampu merah' atau pelacuran di Thailand sebenarnya adalah salah di sisi undang-undang tetapi kerajaan begitu bertolak ansur terhadap kegiatan itu..

Sewaktu melayari laman web akhbar popular di Thailand, The Nation, saya difahamkan Kabinetnya telah meluluskan satu rang undang-undang untuk mengawal kegiatan itu.

Rang undang-undang yang dibentangkan itu juga akan meningkatkan denda kepada "Bapa Ayam" dan Tuan punya rumah pelacuran dari $160 (RM16) sehingga $1,660.00 (RM165). Manakala tempoh tahanan di penjara, dinaikkan dari satu tahun kepada maksimum tujuh tahun.

Namun undang-undang tinggal undang-undang. Faktor kemiskinan melampau terutama di kawasan pedalaman membuatkan kerajaan terpaksa menutup sebelah mata bila ramai anak-anak gadis berhijrah ke bandar untuk mendapatkan wang melalui kegiatan tak bermoral itu

Kini industri 'lampu merah' di Thailand terutama di Bangkok semakin malap apabila ramai pelanggan mereka terutama pelancong asing 'hilang' setelah beribu-ribu penyokong kumpulan Baju Merah yang pro kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra mengadakan tunjuk perasaan.

Mereka menguasai jalan raya-jalan raya dan pusat beli-belah dengan berkampung di situ sehingga ekonomi negara itu terjejas, termasuk industri 'lampu merahnya'

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand tahun lepas saja terus turun kepada -3.5 peratus.

Banyak negara termasuk Kesatuan Eropah telah memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak mengunjungi Bangkok dan bahagian lain Thailand.

Kekacauan yang melanda negara itu sekarang ini, serta penutupan lapangan terbang akhir tahun lepas, telah mengurangkan perolehan pelancongan sebanyak satu pertiga atau 200 bilion baht (AS$5.6 bilion) berbanding tahun 2008 setelah warga asing menjauhi negara itu

Demonstrasi ganas oleh penunjuk perasaan anti-kerajaan boleh membawa kepada 200,000 kehilangan pekerjaan dalam perniagaan hotel dan pengembaraan

Saya difahamkan, industri pelancongan Thailand secara langsung akan menggaji kira-kira dua pekerja tempatan.

Nilai mata wang Thailand juga semakin lemah berbanding dolar AS. (Kini AS$1 = 35.38 Baht).

Sejak Thaksin digulingkan daripada jawatan Perdana Menteri pada tahun 2006, pergolakan politik di Thailand terus bergelora khususnya di kalangan penyokong fanatiknya.

Mereka menyifatkan jawatan Thaksin yang diambil alih oleh Samak Sundaravej, Somchai Wongsawat dan Abhisit tidak mengikut prosedur yang betul iaitu pilihan raya.

Jawatan Perdana Menteri yang disandang Abhisit dilantik sendiri oleh Raja Bhumibol Adulyadej yang berkuat kuasa pada 17 Disember 2008.

Namun, Abhisit menerima tentangan hebat daripada Thaksin dan para penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah merampas sebahagian hartanya

Sebenarnya bukan saja industri 'lampu merah' nya terjejas, tetapi sejak terjebak dengan kemelut politik awal tahun lalu, ekonomi negara itu secara keseluruhannya jatuh merudum.

Pelabur-pelabur baru hilang keyakinan untuk berurus niaga manakala pelabur sedia ada pula mula memindahkan operasi.

Semuanya gara-gara ketidakstabilan politik dan keamanan yang dicetuskan oleh rasa tidak puas kumpulan Baju Merah sehingga menyebabkan kerajaan gagal berfungsi

Yang kelakar tetapi agak merunsingkan sebenarnya, ketegangan politik yang berlaku di negara itu, boleh memberi 'amaran merah' atau kesan yang tidak baik kepada negara kita

Kita kena ingat, kesan daripada itu secara ekonominya boleh melimpah ke Malaysia berikutan pelaburan rentas sempadan, pelancongan dan perdagangan Malaysia dan Thailand.

Malaysia merupakan pengimport yang besar yang beras Siam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil pertanian yang lain.

Kekacauan di Bangkok diikuti dengan darurat akan melumpuhkan pengangkutan dan pergerakan barangan

Jika situasi berpanjangan dan berkemungkinan berterusan, kita akan menyaksikan inflasi dalam harga beras Siam, ikan, sayur-sayuran dan barangan lain.

Nampaknya, apa yang berlaku pada Thailand sebenarnya telah memberi pelbagai 'warna merah' bukan saja bagi negara Gajah Putih itu tetapi juga kepada kita secara tak langsung.

Oh ye, sebelum saya terlupa, kumpulan Baju Merah juga telah melemparkan darah merah ke pagar rumah Abhisit minggu lepas.

Aaargh, merah lagi!!!

SYAHRIL A. KADIR adalah blogger dan bekas wartawan kanan jenayah yang pernah bertugas di akhbar arus perdana serta media elektronik tanah air. Blog beliau boleh dilawati di www.syahrilkadir.wordpress.com

No comments

Powered by Blogger.