Adun Kubang Rotan tak perlu mohon ampun - Ustaz Azizan

ALOR SETAR, 28 April — Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa daripada Pas, tidak perlu memohon ampun kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung soalan beliau pada persidangan dewan itu Isnin lepas yang didakwa mempersoalkan kuasa baginda sebagai ketua agama Islam negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata maksud sebenar soalan Mohd Nasir adalah tentang kuasa raja yang tidak dihormati dan beliau bukannya mempertikaikan tentang kuasa raja sebagai ketua agama.

“Yang timbul isu itu sebab wakil rakyat Barisan Nasionl tak faham,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Azizan berkata perkara berkenaan telah dibincangkan dengan Tuanku Abdul Halim semasa beliau menghadap baginda pada majlis perasmian Merdeka Beach Resort di Pantai Merdeka pagi semalam.

“Tak payah jelaskan kepada Tuanku sebab baginda dah faham dan semalam pun saya hubungi pula Setiausaha Sulit Tuanku dan depa (beliau) kata, abaikan saja,” katanya.

Dua hari lepas, persidangan menjadi panas apabila Mohd Nasir mengajukan soalan yang dianggap oleh Adun daripada Barisan Nasional sebagai mempertikai kuasa Sultan Kedah dan ini memaksa Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail membuat keputusan dua soalan itu tidak perlu dijawab.

Mohd Nasir bertanya sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Ekoran itu, Persatuan Kerabat DiRaja Kedah menuntut agar Mohd Nasir memohon ampun kepada Sultan Kedah dan memintanya menarik balik soalannya itu secara rasmi dalam persidangan dewan.
Bernama

No comments

Powered by Blogger.