Bicara Melayu - arah kita?

CATATAN ANUAR MOHD NOR – siapa pewaris generasi kelak? Melayu macam mana yang akan memimpin Melayu dan apa akan terjadi pada bangsa Melayu itu sendiri – bila kita asyik kepada pembangunan fizikal yang dicabar kemahuan. Konsentrasi kita adalah kepada kebebasan ekonomi – kekuatan kuasa beli tetapi faktor lain – kekuatan jati diri, kekukuhan prinsip serta perjuangan identiti bangsa itu sendiri semakin terhapus. Kita perlu melihat apa yang ada sekarang ini, semua perjuangan adalah untuk mencabar kemahuan, mahu membeli itu dan ini, mahu status sosial naik meningkat dan di hormati. Mahu kita di segani dan di hormati – atas kekukuhan pegangan kemampuan dan bukan atas keseluruhan personaliti. Mungkin polisi yang ada – tekanan yang ada, menjadikan sesebuah masyarakat itu hilang pedoman dalam mendefinisikan kemajuan. Apa yang dimahukan oleh kita hari ini semakin berbeza sehingga pembangunan diri itu hanya di lihat dari satu aspek sahaja - kekayaan dari sudut material. Kesedaran lain semakin pupus, pelajaran semakin di lihat dengan pencapaian segelintir kita dari sudut pelajaran namun ilmu itu tidak menyeluruh. Jurang antara masyarakat dalam Melayu itu sendiri semakin meluas, yang berstatus rendah mahukan status lebih tinggi, berusaha dan bekerja lantas keluarga khususnya anak-anak terbiar – melarat sehingga hilang nilai diri itu sendiri.

Banyak perkara yang menjadikan struktur masyarakat itu lemah. Melihat kepada satu bentuk kejayaan sahaja akan menjadikan struktur masyarakat itu tidak konklusif dan kuat. Hanya berpaksikan kepada kemewahan sahaja akan menjadikan kita semakin lemah sehingga nilai-nilai prinsip terkorban begitu sahaja. Semua akan bercerita – mengenai kekuatan perekonomian antara kaum. Melayu yang terpinggir, kaum Cina yang mendahului serta India yang semakin meningkat – dari sudut pencapaian ekonomi. Maka cabar-mencabar untuk terus maju bermula. Namun jarang kita lihat kekuatan komposisi kaum itu dari segi tamadun mereka, dari segi kekuatan nilai kaum itu sendiri dan bagaimana akhirnya kaum itu runtuh sekiranya cabaran itu hanya kepada mencari kekayaan fizikal. Pengimbangan perlu. Melayu itu tidak perlu menggadaikan nilai kemurnian bangsa itu sendiri bagi diiktiraf sebagai bangsa maju. Melayu itu perlu membentuk kekuatan bangsanya bukan sahaja di kira pada pendapatan per kapita tetapi dari segi kekuatan bangsa itu dalam mematangkan diri dan berfikiran luas dan lebih menyerlah. Kita tidak mahu jurang antara kaum Melayu itu sendiri meluas kerana keluasan itu akan mengeja kepada persengketaan dan perpecahan. Perpecahan inilah yang akan meruntuhkan kaum itu sendiri dan pengukuran kemajuan individu tidak akan bermakna sekiranya negara ini menjadi tumpangan kepada Melayu itu sendiri.

Banyak perkara yang perlu dibicarakan – mengertikan semula kaum itu sendiri serta menjayakan agenda bangsa dengan mematangkan bangsa itu sendiri. Dengan lain perkataan – tamadun kita perlu di bentuk dengan kekuatan menyeluruh. Melayu bukan hanya terpecah kepada elitis dan hamba. Melayu tidak seharusnya terpecah – Melayu kampung dan bandar, pelajaran dan tidak berpelajaran.

Apa pun – perubahan sudah ada. Melayu sudah bergerak tapi tidak tahu sama ada pergerakan itu dapat menjayakan agenda kaum atau tidak. Kita perlu melihat semula apa yang kita mahu lakukan dan arah yang mahu kita tuju. Kita tidak mahu kita terpecah – khususnya dari sudut politik lantas kita terpecah dalam pegangan kuasa yang ada. Kita perlu sedar cabaran yang ada dan perlu ada berdepan dengan cabaran tersebut. Kekukuhan struktur masyarakat Melayu itu sendiri perlu dibentuk. Kita mahu sekiranya pembentukan institusi sosial Melayu itu wujud ia digunakan sebaik mungkin – untuk kaum itu sendiri dan bukan untuk melunaskan cabaran halwa kehendak individu tertentu.

http://umno-reform2.com/front/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.