Dr. Asri Ketua Dewan Ulama UMNO?

KUALA LUMPUR, 5 April (harakahdaily): Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dilaporkan sedang berusaha untuk menubuhkan parti politiknya sendiri bagi membolehkan beliau dan rakan-rakannya menyertai pilihan raya. Menurut sumber, untuk mempercepatkan proses itu, beliau dilaporkan berusaha untuk mengambil alih parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) namun ditolak oleh para pemimpin mereka.

Akim ditubuhkan pada tahun 1995 ekoran tindakan PAS terhadap ketuanya, Musa Salleh. Dalam pilihan raya umum 1999, Akim bertanding dua kerusi parlimen iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh namun kalah kedua-duanya. Presidennya, Hanafi Mamat menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh namun hanya mendapat 92 undi sahaja. Menurut sumber, ekoran kegagalan untuk mendapatkan persetujuan mengambilalih Akim, Asri sedang berusaha untuk mendaftar sebuah parti politik baru.

Baru-baru ini, Asri telah berhenti menjadi kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia. Ekoran itu, beliau mula menulis dengan laman web Malaysiakini. Menurut sumber Utusan, tulisan terakhir Asri di Utusan ditolak oleh sidang editornya kerana terlalu banyak unsur-unsur kefahaman Wahabi yang dikaitkan dengan Asri dalam tulisan itu.

"Kami telah cuba edit dan memotong hampir separuh tulisannya tetapi masih tidak boleh disiarkan kerana masalah itu," kata satu sumber Utusan.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib pernah mengunjungi Asri di rumahnya dekat Pulau Pinang. Dalam pertemuan itu, Asri dilaporkan berkata, Harun menawarkan beliau menyertai PAS. Namun begitu, Harun dalam jawapan balasnya berkata, beliau bukan menawarkan Asri menyertai PAS tetapi meminta atau mengarahkan Asri menyertai PAS. Akhbar Sinar Harian pernah melaporkan, Asri pernah berminat untuk menyertai PAS.

“Masa jadi Mufti Perlis dahulu, dia memang sayang PAS. Masa jadi pensyarah universiti pun dia sayang dengan PAS. Masa jadi penceramah agama pun begitu. Saya yakin sekarang pun begitu. Saya pernah mengatakan dia layak masuk PAS memandangkan parti ini berjuang menegakkan Islam syumul, tidak seperti UMNO. Maka PAS adalah parti yang paling sesuai dengannya,” kata Harun Taib sebagaimana dilaporkan akhbar itu November 2009. Pandangan politik Dr Asri tidak diketahui kebelakangan ini. Beliau yang turut serta di perhimpunan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali memuji ucapan Dr Mahathir di majlis itu. Beliau kini masih dalam perbicaraan oleh Mahkamah Syariah Selangor ekoran tangkapan yang dibuat ke atas beliau kerana memberikan kuliah agama tanpa tauliah.

Ulasan Saya

1. Saya sama sekali tidak bersetuju dengan tuduhan kononnya Dr Asri berfahaman Wahabi. Hanya orang yang jahil dan bodoh sombong sahaja yang tidak tahu membezakan antara Salaf dengan Wahabi. Kejahilan ini berpunca daripada sikap kita sendiri yang malas membaca dan mentelaah kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh ulama silam - khususnya generasi salaf. Orang Melayu sangat gemar dan mudah percaya kepada khabar angin dan "cakap orang" berbanding dengan melakukan penyelidikan dan mengkaji sesuatu masalah itu secara menyeluruh dan terperinci. Akibatnya - orang Melayu tidak hanya dituduh sebagai bangsa yang malas membaca dan berusaha, bahkah kita juga dituduh sebagai bangsa yang mudah ditipu dan dijual-beli, gara-gara sikap negatif yang kita ada ini.


2. Kedua, jika memang benar Dr Asri ingin menubuhkan parti politiknya sendiri - maka, sayalah orang pertama yang akan menentangnya. Hal ini adalah jelas, penubuhan parti baharu hanya mengundang perpecahan yang lebih parah dalam kalangan orang Melayu-Islam di negara ini. Sedangkan Dr Asri sendiri sering kali mengingatkan kita bahawa ulama salaf sangat memusuhi perpecahan dan menganggap perpecahan umat Islam sebagai perbuatan keji dan bidaah yang sama sekali tidak boleh dikompromi lagi. Lantaran itu, jika Dr Asri ingin menubuhkan sebuah lagi parti politik untuk orang Melayu - maka, ia sama sahaja dengan memecahbelahkan perpaduan orang Islam yang sedia ada.


3. Oleh kerana saya juga bermanhaj salaf seperti Dr Asri - maka saya fikir kita akan berkongsi pengalaman dan penghayatan yang sama - sesungguhnya mana-mana individu yang mengikut metod salaf, maka parti kerajaanlah pilihannya. Kita dilarang mencaci dan membuka aib kepimpinan negara, jika mereka melakukan kesalahan, maka tegurlah dengan cara berhikmah dan jika mereka melakukan kezaliman, kita harus bersabar dan mendoakan mereka perkara yang baik-baik, dan bukan dengan cara mengadakan demonstrasi atau perarakan jalanan yang sering dianjurkan oleh PAS dan PKR. Islam tidak mengajar kita seperti itu.


4. Jika Dr Asri berhasrat untuk membetulkan negara - maka UMNO adalah parti terbaik untuk beliau. Bawalah seramai mungkin ahli-ahli Salaf ke dalam UMNO, betulkan UMNO dari dalam dan bukan dengan cara mewujudkan satu parti lagi. Perjuangan UMNO sudah betul dan jelas - hanya kita perlu mewujudkan ahli-ahli UMNO yang berakhlak dan mentaati agama. Jika terdapat budaya politik UMNO yang kotor dan jijik, maka mari sama-sama kita perbetulkan. Perjuangan UMNO tiada masalah, yang bermasalah hanyalah sebahagian daripada ahli-ahlinya yang mengamalkan rasuah, politik wang dan tidak taat kepada agama. Itu sahaja. Rasanya, Dr Asri boleh melupakan hasrat beliau untuk mewujudkan politik baharu di negara ini. Ia tidak akan pergi ke mana-mana. Percayalah.


5. Pada hemat saya, UMNO harus segera memancing Dr Asri agar segera menyertai parti tersebut. Selain beliau mempunyai pengaruhnya yang tersendiri - beliau juga mampu membawa perubahan dan tajdid dalam budaya politik UMNO yang selama ini telah dilihat kotor dalam kalangan masyarakat. Peluang ini harus segera diambil dan bukan dibiarkan begitu sahaja. Wallahualam.

http://azlishukri.blogspot.com/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.