Isu cukai tanah: Xavier lawat Kampung Hasan di Ulu Bernam

ULU BERNAM, 10 Apr – Bayar cukai tanah, tetapi tiada status pemilik tanah. Ini adalah masalah yang membelenggu penduduk di Kampung Hasan di sini.

Petempatan seluas tiga ekar yang wujud sejak 50 tahun lalu ini agak unik kerana penduduknya yang terdiri daripada kaum Tionghua dan India dipindahkan pentadbiran lalu ke atas tanah rizab Melayu.

Rata-rata masyarakat kampung ini berpendapatan kira-kira RM400 sebulan.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jeyakumar meluangkan beberapa jam untuk melawat kampung itu bagi menyelesaikan isu mengenai status tanah yang diduduki.

Beliau meyakinkan penduduk bahawa kerajaan negeri akan cuba memberikan penyelesaian terbaik dalam tempoh setahun melalui dua opsyen yang dimahukan majoriti penduduk kampung.

Menurutnya, opsyen pertama ialah kerajaan negeri membeli tanah itu daripada pemiliknya dan kemudian menukar status lalu menyerahkan pula kepada penduduk kampung itu.

Opsyen yang kedua, kerajaan negeri mencari sebidang tanah seluas tiga hektar dan menempatkan penduduk Kampung Hasan di situ.

Dr Xavier juga terkejut melihat cukai tanah yang dikeluarkan atas nama penduduk yang menyewa di situ.

Mengikut cukai tanah itu, penduduk telah membayar cukai tanah yang sepatutnya dibayar oleh pemilik tanah yang sebenar.

Malahan, Majlis Daerah Hulu Selangor juga mengenakan caj perkhidmatan terhadap penduduk kampung ini setiap kali pembayaran dibuat.

Dr Xavier berkata, beliau akan berjumpa dengan pegawai daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.