Kepala Bapak Rakyat Didahulukan

Warga asing dipertimbang mohon lesen kelas H

KUALA LUMPUR 12 April - Kementerian Pengangkutan sedia mempertimbangkan permohonan warganegara asing untuk memiliki lesen kelas H sebagai menampung keperluan ekonomi negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, meskipun kerajaan pada Mac 2008 telah menetapkan dasar tidak akan mengeluarkan lesen vokasional kepada warganegara asing kecuali penduduk tetap tetapi bagi menampung keperluan ekonomi yang kian meningkat, permohonan warganegara asing itu boleh dipertimbangkan.

"Mereka mestilah mengikuti syarat yang ditetapkan iaitu mestilah mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap (permit kerja) dan perlu mengikuti kursus dan lulus ujian pemanduan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu jumlah lesen memandu kelas H yang dikeluarkan kepada pendatang asing dan berapa ramai pendatang asing yang terlibat dengan pengendalian kenderaan berat.

Lesen memandu kelas H merupakan lesen bagi mengendalikan traktor atau jentera bergerak beroda yang berat tanpa muatan melebihi 5,000 kilogram.

Mengenai jumlah lesen kelas H yang dikeluarkan kepada pendatang asing, Abdul Rahim berkata sehingga kini terdapat 117,751 lesen memandu kelas H telah dikeluarkan.

"Daripada jumlah itu, 117,214 orang atau 99 peratus merupakan warganegara Malaysia manakala selebihnya iaitu 537 orang atau satu peratus merupakan warganegara asing,” katanya. - Bernama
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.