Ketua Wanita MCA baru mampu bawa Wanita ke depan

KUALA LUMPUR 9 April - Ketua Wanita MCA yang baru Datuk Yu Chok Tow diyakini mampu menyatupadukan sayap parti itu serta membawa pergerakan itu terus mara ke hadapan, kata Setiausaha Agung Wanita MCA Senator Heng Seai Kie.

"Kita mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap pimpinan Datuk Yu dalam memimpin wanita untuk terus maju ke hadapan di bawah pimpinan baru MCA demi kepentingan Barisan Nasional (BN),” kata Heng yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Beliau berkata, Wanita MCA menerima keputusan yang dibuat Datin Seri Paduka Chew Mei Fun untuk meletak jawatan sebagai Ketua Wanita MCA walaupun berat hati untuk melepaskan beliau sebagai pemimpin sayap itu.

"Keputusan yang dibuat oleh Chew bukan secara tergesa-gesa tetapi selepas beliau membuat penelitian perkembangan yang menyeluruh,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Chew semalam setelah melancarkan Pameran Pendidikan Smart Kid 2010, di sini hari ini.

Chew semalam meletak jawatan sebagai Ketua Wanita MCA serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Senator bagi mengotakan janjinya untuk berbuat demikian jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menjadi Presiden MCA. - Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.