Lelaki Mabuk Masuk Sekolah, Serang Guru Dan Pelajar

Pelajar cedera dipukul kerana selamatkan guru

SHAH ALAM – Seorang pelajar cedera di muka selepas tindakannya membantu seorang guru wanita daripada menjadi mangsa ganas dua bekas pelajar yang mabuk dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Seksyen 27 di sini, semalam.

Kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika pelajar sekolah memulakan sesi pembelajaran sesi pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, sewaktu kejadian itu, dua lelaki berumur 18 dan 23 tahun datang ke sekolah berkenaan dengan menunggang motosikal.

Katanya, dua suspek yang dalam keadaan mabuk itu datang ke sekolah untuk berjumpa dengan sepupu salah seorang daripada mereka.

“Ketika itu, seorang guru datang kepada suspek lalu meminta mereka menunggu di sebuah bilik selepas mendapati mereka mabuk dan sejurus itu, suspek terus memaki hamun guru terbabit dengan kata-kata kesat serta lucah.

“Bagaimanapun, tiga pelajar tingkatan empat datang untuk membantu guru itu namun salah seorang suspek terus menghayunkan topi keledar ke arah pelajar-pelajar berkenaan sehingga menyebabkan seorang pelajar rebah dan mengalami kecederaan lebam di muka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pengawal keselamatan serta pelajar lain yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu namun, suspek terus melarikan diri.

“Gerakan memburu suspek dilakukan sejurus menerima laporan dan kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) suspek ditahan di sebuah rumah pangsapuri di Subang Jaya,” katanya.

Noor Azam berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan manakala guru wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, suspek akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang pelajar yang dikenali Mohd Hakimi, 15, berkata, dia yang baru tiba di sekolah terkejut melihat kekecohan yang berlaku.

“Saya lihat lelaki itu pukul pelajar sekolah dengan topi keledar dengan kuat. saya boleh dengar bunyi itu daripada jauh,” katanya

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.