Model Ekonomi Baru ; Mahasiswa sudah bosan

Petaling Jaya 8 Apr 6 p.m : Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan Perdana Menteri baru-baru ini dikatakan tidak akan berjaya selagi akta sekatan seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) masih lagi dikekalkan.

Mengulas tentang hal ini, Ahmad Syazwan bin Mohd Hassan, mantan Bendahari Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) berkata, mahasiswa tidak akan mampu bersaing dengan pihak luar disebabkan pemikiran mahasiswa yang dikongkong AUKU.

syazwan

“Secara asasnya saya menyambut baik pengenalan MEB. Sekiranya Negara dapat mencapai seperti apa yang dicanangkan, kemungkinan besar kita akan berada pada taraf negara-negara maju pada masa akan datang.”

“Namun kita masih belum nampak pintu yang sesuai untuk mahasiswa dalam model ini kerana melihat kepada daya saing yang tinggi. Mahasiswa kita masih lagi terkurung dengan pemikiran ‘berakta’ yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk berfikir luar dari batasan sedia ada.”

Apabila ditanya pandangan MEB daripada perspektif Islam, pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya itu mengatakan bahawa pertumbuhan kemajuan fizikal mestilah selari dengan pembangunan rohani masyarakat.

“Apa guna kalau negara kita maju dalam keadaan sosio masyarakat yang tidak mempunyai adab dan tamadun tersendiri? Islam mengajar kita membangunkan spiritual dan fizikal secara seimbang. Hal ini yang tidak ditekankan dalam MEB.”

Bagaimanapun, sebahagian pemerhati kepada aktivisme mahasiswa berpendapat MEB yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Razak pada 30 Mac 2010 lalu tidak mendapat perhatian mahasiswa.

Ditanya tentang fenomena ini, Ahmad Syazwan mengulas ringkas :

“Mungkin mahasiswa sudah bosan dengan gagasan-gagasan kerajaan.”-um-today

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.