Mufti Perak Perlu Tampil Membuat Penafian Atau Menarik Balik Kenyataan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhwD_78hndweJBzCQ3JPU1AduEbcz2SLx1vRDNCldR-aE4KxVH6_hFOZuHFqlyGmuYM0ihFMHjbyaf-3ShWDPvXyVwbbtDIthTG9Gt_4X7KVy_wqKE-gjR509xtFCHL5vvwCYQgevli1xtI/s400/Harus+sami+dilapor+tuduh+Khalid+kafir.jpg


Terkejut saya membaca kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyatakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sebagai seorang yang “tidak beriman.” Perkataan itulah yang dilaporkan oleh sebuah akhbar “Selangor Kita” dan dilaporkan diedar secara meluas di negeri Selangor termasuklah di Parlimen ketika sidang sedang berlangsung.

Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti yang sepatutnya tidak berpihak nyata sekali telah mengeluarkan kenyataan politik yang benar-benar mendedahkan sikap “mesra-UMNO” beliau. Sikap seperti ini jelas tidak layak ditonjolkan oleh seorang mufti yang sewajarnya bersikap bebas dari menyatakan pendirian politik secara terbuka.

Jika sebelum ini, PAS yang sering dituduh mengkafirkan orang lain bahkan seringkali PAS dikaitkan dengan budaya takfir padahal ia sama sekali tidak wujud, maka adakah sekarang Tan Sri Harussani pula mahu memperkenalkan budaya takfir kepada masyarakat?

Tidaklah dalam semua perkara saya bersetuju dengan YB Khalid Samad, namun di dalam hal ini, Tan Sri Harussani telah mengeluarkan pandangan yang melampau hanya kerana memberikan respon terhadap laporan akhbar yang belum tentu sahih.

Oleh yang demikian, menjadi satu kewajaran kepada Tan Sri Harussani untuk tampil segera membuat penafian terhadap laporan akhbar tersebut atau jika laporan tersebut adalah benar, menjadi satu kemestian kepada beliau untuk menarik balik kenyataan itu.

Jika tidak, saya menyokong jika YB Khalid Samad mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Harussani.

- 15 April 2010

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.