Najib Diajak Debat Isu Kebebasan Bersuara

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 9 April - Satu petisyen yang ditandatangani oleh 67 organisasi masyarakat sivil dan 1,278 individu (setakat 31 Mac lalu) diserahkan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu kebebasan bersuara.

Pegawai Eksekutif CIJ Masjaliza Hamzah berkata petisyen tersebut juga mengandungi hasrat pihak terbabit untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi membincang dan membahaskan mengenai perkara tersebut.

Mereka yang telah menandatangani juga termasuk dari golongan sarjana dan ahli profesional serta organisasi-organisasi masyarakat sivil.

Menurut beliau, petisyen yang dimulakan pada 11 Mac lalu itu dianjurkan berikutan daripada penyiasatan ke atas para aktivis dan wartawan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah kerana mengamalkan hak mereka yang sah dan aman untuk berbincang, berdebat dan membuat teguran mengenai hal-hal berkenaan dengan kepentingan awam.

"Bersama dengan tandatangan-tandatangan ini, kami juga menyertakan surat penjelasan kepada Perdana Menteri untuk menerangkan mengapa siasatan-siasatan seperti itu telah mewujudkan satu duluan yang tidak baik dan juga mengalakkan lagi kemerosotan budaya sivik awam di dalam masyarakat yang berdemokrasi seperti Malaysia.

"Ini sekaligus menandakan bahawa terdapatnya kesedaran yang kian bertambah di kalangan rakyat Malaysia tentang kebebasan bersuara sebagai suatu hak asas yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Tegas beliau, penularan sikap tidak bertoleransi terhadap perbezaan pendapat, khususnya tentang hal-hal agama perlu dihentikan terutamanya sekarang di kala Malaysia mengharap untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Dalam masyarakat demokratik moden, semua warganegara berhak untuk berpegang, bersuara dan mengemukakan pendapat masing-masing, dan pihak media adalah bebas untuk melaporkan dan mengulas isu-isu kepentingan awam.

"Dalam situasi ini, hak ini tidak boleh dihadkan kepada umat Islam sahaja, serta tidak juga hanya diamalkan oleh sekelompok kecil bagi pihak umat Islam.

"Masa depan Malaysia sebagai satu demokrasi, dinyatakan sebagai bergantung kepada perkembangan kebebasan bersuara, bukannya penyusutan ruang awam untuk perdebatan yang sah dan aman," jelas Masjaliza lagi.

Tambah beliau, sebagai calon anggota PBB untuk Dewan Hak Asasi Manusia, Malaysia harus menjunjung tinggi jaminan konstitusional dan menghormati hak-hak warga negaranya, sesuai dengan konvensi hak asasi manusia PBB.

"Mengancam aktivis dan wartawan, serta mengawal atas hak mendasar untuk memegang, suara, dan mempromosikan pandangan harus dihentikan, termasuk berhubung masalah agama," katanya.

Mengulas mengenai jawapan yang diberikan Perdana Menteri berkenaan pertemuan tersebut, setakat ini katanya tiada jawapan yang diberikan namun susulan mengenai perkara ini akan dibuat pada Isnin depan.

"Kita akan menghubungi pihak beliau pada Isnin ini untuk mendapatkan jawapan. Kami juga berharap pertemuan ini akan menjadi kenyataan."

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.