Pakatan yakin kekal Hulu Selangor, majoriti sekitar 5,000

Oleh G. Manimaran

HULU SELANGOR, 21 April — Meskipun pemimpin Pakatan Rakyat dinasihatkan agar tidak terlalu yakin mampu mempertahankan kerusi Hulu Selangor, ikatan PKR-DAP-PAS itu optimistik dapat mengekalkannya menerusi majoriti 3,000 hingga 5,000 undi.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) optimistik bahawa kelebihan undi mereka kali ini akan mencecah paras itu.

Jangkaan itu dikongsi ketika kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor sudah 50 peratus selesai.

Pengundian akan berlangsung Ahad ini.

Dua tahun lalu calon PKR Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad merampas kerusi itu daripada genggaman kuat Barisan Nasional (BN) lebih lima dekad dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham Zainal menang pada 8 Mac 2008 walaupun secara peribadi tidak turun berkempen untuk menghadapi saingan calon BN Datuk G. Palanivel.

“Mengambil kira gerak kerja yang kami lalukan, bukan ketika ini sahaja tetapi dari dulu lagi, saya yakin boleh mempertahankan kerusi ini dengan majoriti lebih besar.

“Saya meletakkan angka sekitar 5,000... saya optimistik dengan angka ini, saya turun gelanggang dan jumpa jentera peringkat bawah... saya tahu situasi semasa,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Abdullah Sani Abdul Hamid.

PKR telah menubuhkan sekretariat tahun lalu untuk menyelaras khidmat wakil rakyat ketika Zainal uzur.

Bercakap kepada The Malaysian Insider di sini, Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat menggariskan beberapa alasan sebab pihaknya yakin dengan julat itu.

“Kami membuat jangkaan ini berdasarkan lima, enam faktor semasa,” kata beliau dengan antara lain merujuk kepada prestasi kerajaan negeri mendampingi rakyat dengan siri program sosial dan ekonomi.

“Rakyat menyedari program-program ini, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor sejak dua tahun lalu,” katanya.

Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada Mac 2008. Bagaimanapun tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam bahagian itu dimenangi oleh BN.

Selain kemelut dalaman di kalangan komponen BN termasuk kerana isu pemilihan calon dan peruntukan kerusi, Abdullah Sani berkata, pihaknya yakin kerana telah menembusi kawasan-kawasan kubu kuat antaranya penempatan Orang Asli.

Penempatan Orang Asli menyumbangkan undi secara padu kepada BN ketika pilihan raya-pilihan raya lalu, antaranya Kampung Sergala dan Changkat Bintang.

Abdullah menolak keputusan dua calon Bebas menarik diri daripada bertanding akan menjejaskan peluang calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

“Tidak, tidak. Keputusan mereka itu boleh membantu kami,” katanya.

Semalam PAS berjanji akan memperkuatkan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dengan menambah sumber sehingga 60 peratus.

Kelmarin Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali menjangkakan BN boleh merampas balik kerusi Hulu Selangor dengan kelebihan 3,000 undi.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam analisisnya meminta pemimpin-pemimpin jangan terlalu ghairah boleh kekal menang di Hulu Selangor.

Salah satu sebab ialah majoriti diperoleh BN melibatkan ketiga-tiga DUN adalah sekitar 6,000 undi sedangkan PKR menang kerusi Parlimen dengan majoriti tipis 198 undi.

Dalam pada itu, seorang pegawai PKR pula memberitahu, pihaknya meletakkan angka selamat majoriti sekitar 3,000 undi untuk kekal di Hulu Selangor.

“Angka 3,000 adalah angka selamat, kemenangan memang kami (Pakatan) akan menang,” kata beliau yang tidak mahu namanya didedahkan.

“Salah satu sebab ialah pengundi mahu wakil rakyat dari Pakatan untuk bertindak sebagai jambatan dengan kerajaan negeri,” katanya yang tidak menolak masalah dalaman BN juga akan memihak kepada pihaknya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.