Umno-BN Jual Maruah Malaysia Kepada AS, Zionis Israel

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 22 Apr - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak usul yang di bawa Barisan Nasional untuk menghadapkannya ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan berhubung kenyataan beliau mengenai hubungan kerajaan Malaysia dengan syarikat pro Zionis Israel, Apco Worldwide serta gagasan 1Malaysia yang meniru konsep One Israel.

Usul tersebut dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz dan disokong oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Empat pendebat dari Barisan Nasional ialah Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Datuk Nazri (Padang Rengas)

Manakala dari belah Pakatan Rakyat, selain Anwar, diwakili Azmin Ali (Gombak), Anthony Loke (Rasah) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Anwar dalam hujahnya menegaskan sehingga kini kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih tidak menafikan kenyataan tersebut sebaliknya beliau menerima hukuman untuk dihadapkan ke jawatankuasa terbabit.

Malah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyifatkan usul untuk menggantung beliau sebagai Ahli Parlimen sebagai 'cacat'.

"Saya ingin membangkitkan tentang kecatatan usul. Usul ini tidak menepati perkara 36(12). Tidak boleh dikeluarkan berdasarkan dendam politik dan dendam kesumat," tegas Anwar.

Menurut beliau, terdapat dokumen perjanjian yang secara jelas mengesahkan hubungan Malaysia dengan Apco yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan mempunyai pejabat di Tel Aviv itu.

Beliau lantas menempelak hujah Ahli Parlimen BN yang disifatkan bermatian mempertahankan Apco yang sebelum ini dikenali sebagai Minds Team Sdn Bhd.

Malah hubungan perkhidmatan risikan Israel turut digunakan dalam Polis DiRaja Malaysia sepertimana yang didedahkan Pengarah Jabatan Logistik PDRM.

"Ketua Polis Negara belum nafi kenyataan surat Pengarah Jabatan Logistik mengesahkan kenyataan cawangan khas Kementerian Dalam Negerimengenai pembabitan perisikan Israel," tegas Anwar.

Anwar dalam hujahnya berkata, kerajaan mengalih dasar dan hubungan luar secara mendadak di bawah pimpinan Najib sehingga sanggup mengikut telunjuk kuasa besar itu.

Beliau juga mengecam Khairy yang sebelum itu menuduh beliau sebagai ejen Israel.

"Saya tidak hipokrit. Saya ada hubungan peribadi memang saya kenal. BN menyalak di depan awam, kononnya anti Amerika tetapi bayar Apco yang ejen Israel.

"Dasar saya walaupun saya berkawan (dengan Amerika), dasar Afghanistan, penaklukan Amerika kita tentang.

"Mana ada bukti hubungan kukuh kerajaan Malaysia dengan Palestin sekarang ini?" tanya beliau lagi.

Menurut Anwar, meskipun beliau berbeza pendapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tetapi pendirian tegas dalam isu Afghanistan dan Palestin tidak boleh dipertikai. Malangnya dasar itu telah diubah pentadbiran Umno-BN sekarang.

"Belum pernah kerajaan ambil sikap yang begitu tegas terhadap Iran dalam isu nuklear, tetapi kerana penasihatnya Apco, Perdana Menteri boleh melutut di depan Obama. Belum pernah dalam sejarah negara mengambil sikap dasar luar begitu lemah," tegasnya.

Kata-kata Anwar itu menimbulkan kemarahan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang bingkas meminta Anwar menarik balik kenyataan tersebut di dalam Dewan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.