Umno-BN Bakal Kurangkan Hak Golongan Pekerja Wanita

Oleh Frederick Luccas

PETALING JAYA 11 Mei - Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional bercadang meminda tiga akta berkaitan pekerja yang bakal menafikan kebajikan golongan kolar biru di negara ini.

Antaranya membenarkan majikan mengerah pekerja wanita bekerja pada malam hari dan waktu bekerja untuk golongan wanita dibolehkan dari 10 malam ke 5 pagi.

Syed Shahir yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata pindaan baru ini akan menyebabkan cuti hujung minggu boleh dipinda mengikut kepentingan majikan.

"Pekerja boleh diminta bekerja pada hari Ahad seperti biasa dan mengambil cuti di hari lain, sekaligus menafikan masa rehat pekerja bersama keluarga mereka," kata beliau pada ceramah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya Ahad lalu.

Akta yang bakal dipinda termasuk Akta Pekerjaan 1955, Akta Hubungan Industri 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang selama ini digunakan untuk mempertahankan hak pekerja.

Sehubungan itu beliau berkata ceramah yang diadakan adalah penting memandangkan media arus perdana di bawah kawalan Umno-BN yang sentiasa menyembunyikan perkara sebenar daripada rakyat.

Beliau yang juga Ketua Cabang Kelana Jaya mendedahkan taktik kotor Umno-BN semasa di pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini.

"Mereka menghadiahkan periuk nasi berisi wang RM300 kepada masyarakat India di Batang Kali untuk membeli undi kaum India.

"Oleh kerana keadaan ekonomi penduduk di situ rendah, hadiah wang tersebut serupa rahmat dan ini sekaligus memenangi undi mereka," kata Syed Shahir.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.