PRK Sibu Tanda Merosot Pengaruh SUPP

Oleh Dzulkarnain Taib

SIBU 11 Mei - Pertarungan antara calon Pakatan Rakyat dan pilihan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil P212 Bandar Sibu 16 Mei depan lebih merupakan pertembungan dua tokoh yang sudah saling mengenali di dalam kamar mahkamah sejak 1991.

Kedua-dua Richard Wong Ho Leng, 50, daripada DAP dan Robert Lau Hui Yew, 45, adalah peguam dan kini mereka bertembung dalam arena politik Sibu.

Wong adalah Pengerusi DAP Sarawak manakala Lau, yang merupakan sepupu kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, bekas Ahli Parlimen Sibu dan juga Timbalan Menteri Pengangkutan yang meninggal dunia 9 April lalu adalah Penolong Bendahari cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu.

Lau yang lebih dikenali sebagai Robert Lau Jr, datang daripada sebuah keluarga yang mengumpul kekayaan daripada perniagaan balak, percetakan, penerbitan dan perladangan.

Ayah beliau, Lau Swee Nguong, adalah tokoh perniagaan Sibu yang terkenal dan merupakan Pengerusi Kumpulan Syarikat KTS.

Wong pula datang daripada latarbelakang yang amat kontra sekali dengan Lau.

Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin di pinggir Sibu dan semenjak kecil karektor beliau diasaskan atas perjuangan terhadap kemiskinan dan ketidakadilan sosial.

Lau dikenali sebagai pejuang hak golongan miskin terhadap kerakusan dan ketamakan kaum kapitalis yang merompak hasil balak Sarawak dan mengayakan diri mereka serta keluarga.

Rakyat miskin dipinggirkan dan diabaikan untuk mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan negeri yang dikuasai BN.

Pada PRK kali ini kedua-dua calon menjanjikan perlawanan yang bersih dan secara 'gentlemen'. Ini bermakna mereka tidak akan terlibat untuk memusnahkan karektor lawan atau serangan peribadi.

Keadaan ini jauh berbeza dengan serangan peribadi yang bertubi-tubi oleh BN terhadap calon Pakatan Rakyat daripada KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim semasa kempen PRK Hulu Selangor 25 April lalu.

Di segi pembabitan dalam dunia politik, Lau boleh dianggap masih bertateh. Beliau mengharapkan kepada pengalaman selama lima tahun sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sibu.

Melalui poster kempen beliau dalam bahasa Cina, Inbggeris dan Iban yang bertema 'Berjuang Demi Kecermelangan Sibu' beliau berharap dipilih oleh lebih pengundi Sibu berdasarkan jasa dan khidmat mendiang sepupunya.

Sejurus mendapat khabar beliau akan menjadi calon SUPP bagi PRK Sibu, Lau terus menjalankan tugas kempennya dengan turun ke pasar saban hari sambil bersalaman dengan penjual sayur dan peniaga lain dan mencorakkan imej anak seorang hartawan terkenal sebagai seorang yang rendah diri dan marhaen.

Mungkin beliau merasakan kekayaan keluarga akan menjadi satu liabiliti politik baginya yang berusaha mendapat undi daripada 54,695 pengundi Sibu yang majoritinya dibelenggu dengan kemiskinan.

Wong pula mempunyai perjalan hidup yang berbeza dengan Lau.

Beliau sudah 'masak' dengan isu kemiskinan kerana berada di dalam dunia tersebut untuk sekian lama.

Malah beliau terpaksa bekerja keras semasa dalam belajar untuk menampung pengajian di sekolah dan seterusnya di universiti di Australia.

Mesejnya kepada pengundi adalah mudah - pilih antara seorang veteran seperti beliau atau pemimpin setahun jagung seperti Lau.

Tidak banyak diketahui mengenai calon ketiga, Narawi Haron, 60, yang bertanding atas tiket Bebas.

Beliau adalah bekas perajurit dan pernah bertanding dalam pilihan raya Parlimen dalam tahun 1995 menentang mendiang Robert Lau.

Narawi hanya meraih 975 undi serta hilang wang deposit.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.