Kes saman Khalid Ibrahim dan Bank Islam ditangguh Isnin

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang menyaman Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang didakwa menjual saham Guthrie Berhad beliau secara salah, pada Isnin ini.

Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Abdul Khalid, untuk meneliti kesemua dokumen yang telah diserahkan oleh pihak bank pada Jumaat lalu.

Malik berkata, beliau baru sahaja dilantik menggantikan M. Thomas Philip yang mewakili Abdul Khalid sebelum ini, setelah Philip dimasukkan ke hospital akibat demam denggi.

Hari ini sepatutnya bermula perbicaraan kes yang melibatkan dua saman — satu oleh Abdul Khalid terhadap bank itu dan satu lagi ialah saman balas bank berkenaan terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Abdul Khalid menyaman BIMB pada 18 Mei 2007 kerana mendakwa bank itu telah melakukan kesalahan melupuskan saham beliau dalam Guthrie yang diperoleh menerusi pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) pada 30 April 2001. - Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.