Fatwa ESQ: ‘Jangan tembak orang serah diri’, kata bekas mufti Kedah

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 19 Julai — Program motivasi ESQ yang kini menjadi kontroversi tiada unsur yang bercanggah dengan akidah ataupun membawa unsur-unsur liberalisme agama yang didakwa memurtadkan umat Islam, kata bekas mufti Kedah Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abd Halim malam tadi.

“Apabila saya hadir sendiri dalam program ini, saya fikir, saya baca sendiri bahan-bahan yang diberikan, saya mendapati program ESQ ini diadakan untuk mentarbiyahkan, mendidik, membina insan supaya manusia menjadi manusia,” kata beliau pada Forum Konsep dan Kesan Ke Atas Pelan Transformasi Besar SPRM dan Tekun di sini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Tekun Malaysia merupakan antara lebih 3,000 agensi kerajaan dan swasta yang telah mengikuti program ESQ sejak empat tahun lalu.

“Itu yang saya faham... tiada benda lain yang saya nampak,” kata beliau yang juga ahli Panel Syariah ESQ sambil mengakui fatwa terbaru telah menyebabkan umat Islam terkeliru.

Kata beliau, umat Islam terkeliru kerana ada fatwa yang membolehkan program itu diikuti dan satu lagi tidak membenarkan khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Mereka di luar (umat Islam) keliru kerana ada fatwa yang menghalalkan dan ada fatwa yang kata haram... yang mana satu?,” kata Hasbullah lagi.

Ahli Panel Syariah ESQ dilantik dengan restu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi mempertahankan unsur keberkecualian.

Perakuan Hasbullah itu menekankan bahawa elemen-elemen yang ditekankan oleh program ESQ kelihatan “benda yang baru untuk memberi suntikan kepada fikiran kita dan hati kita tentang dari mana kita datang dan ke mana kita hendak pergi.”

Sambil mengakui program itu menekankan asas ajaran agama, contohnya tentang keperluan berpuasa dan bersembahyang, Hasbullah menjelaskan, ia tidak menyebabkan pengikut sesat ataupun keluar agama Islam.

Malah kata beliau, program ESQ juga tidak memaksa peserta bukan Islam memeluk agama Islam.

“Ia cakap pasal keperluan berpuas, perlu sembahyang... kalau hendak tahu dengan mendalam pasal sembahyang, dia kena cari sendiri (di tempat atau pihak lain),” kata beliau.

“Adakah kita dengar ada orang keluar Islam, berapa ramai yang menyertai (program ini) murtad... saya dapati tiada unsur tentang liberalisme (agama)?” kata Hasbullah sambil berkata, beliau telah banyak kali menghadiri program ESQ.

Sehubungan itu Hasbullah berkata, jika ada kelemahan mereka yang menganjurkannya harus diberi peluang untuk membetulkan program tersebut.

“Kalau dia (penganjur) dari serah diri (sanggup nak memperbaiki kelemahan), tak akan kita hendak menembak dia, kita kena berlaku adil,” kata beliau dengan merujuk kepada kesediaan pengurusan ESQ untuk mengubah kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam modul motivasi.

“Saya sertai program ini, kalau ia bercanggah dengan akidah, selepas 60 tahun (terlibat dalam bidang syariah), tak akan saya hendak melenyapkan keimanan saya dengan menyokong ESQ, saya tidak mendapat apa-apa keuntungan (dengan saya mengatakan ini),” kata tokoh ini yang berusia 70 tahun.

Hasbullah bersara sebaga mufti tahun lalu.

“Janganlah kita tutup (ruang untuk berbincang), agama mengatakan kita kena berpakat, kena berbincang tetapi jangan sampai tidak mahu jumpa, jangan angkuh, kita sebagai seorang alim ulama kena fikir banyak-banyak,” katanya lagi.

“Tak rugi kalau kita berbincang,” kata beliau dengan mencuit kira-kira 200 orang peserta forum malam tadi yang dilihat sebagai usaha ESQ untuk memulihkan imej yang tercalar.

Pada forum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim, Pengarah Siasatannya Mustafar Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Datuk Abdul Rahim Hassan berkongsi sebab agensi masing-masing mengikuti program ESQ.

Sejak 2006 lebih 60,000 peserta tempatan telah mengikuti program berkenaan yang lazimnya diadakan selama tiga hari.

Program motivasi ESQ, syarikat yang diasaskan oleh rakyat Indonesia satu dekad lalu dan dikembangkan ke Malaysia pada 2006 menjadi tumpuan selepas ia diharamkan menerusi mufti Wilayah Persekutuan bulan lalu.

Setakat ini lebih 800,000 orang dari seluruh dunia telah menyertainya.

Pada 14 Julai lalu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Pengerusi jawatankuasa itu Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang pada 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus tersebut boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Katanya, muzakarah turut memutuskan pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti dan perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau yang boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam respons pertama lalu Jumaat lalu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh mempertahankan penwartaan fatwa berkenaan dengan modul kursus motivasi anjuran ESQ Leadership Centre yang menurut beliau mengandungi 10 perkara yang boleh merosakkan akidah.

Beliau berkata ia perlu dilihat dalam dua konteks iaitu, hukum syarak dan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Katanya, pengeluaran fatwa itu dibuat melalui proses ijtihad Mufti dan hukumnya wajib bagi seseorang Mufti berpegang dengan pendapatnya seperti yang disepakati kalangan ulama.

Fatwa itu, katanya, dikeluarkan mengikut kuasa Mufti yang diperuntukkan dalam Perkara 33 Akta 505, dan tiada peruntukan dalam akta itu bahawa mufti perlu menunggu keputusan daripada mana-mana pihak.

Menyentuh tentang penyelarasan fatwa tersebut dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Wan Zahidi berkata banyak keputusan yang dibuat jawatankuasa berkenaan tidak diselaraskan di peringkat negeri walaupun keputusan dibuat secara konsensus.

Beliau juga berkata fatwa itu adalah berdasarkan fakta-fakta daripada empat hasil kajian termasuk oleh Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) yang dimulakan pada ogos 2008 dan Institut Kefahaman Islam Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.