Feudalisme Dalam Demokrasi

Oleh: Shirzad Lifeboat

Adalah sesuatu yang hampir bersifat budaya apabila di peringkat kerajaan para pemimpin UMNO kerap mengambil peranan sebagai bapa yang menasihati anak-anaknya (rakyat) walaupun, lebih kerap dari tidak, kebanyakan mereka itu tidak layak memberi nasihat dan secara rasminya bukan dipilih oleh rakyat untuk bekerja sebagai pemberi nasihat.

Tidaklah jelas apakah tujuan sebenarnya di sebalik nasihatkan yang disampaikan menerusi ucapan dan juga kenyataan.

Namun, bukalah akhbar arus perdana sejak selepas Merdeka, dan kita akan dapati amat jarang pemimpin kerajaan dari parti UMNO yang mengabaikan warisan yang ditinggalkan oleh pemimpin mereka terdahulu dalam meletakkan diri sebagai Mr. Knowing All langsung menghadiahkan kepada diri mereka kuasa menasihat di samping kuasa politik yang diperolehi dari kepercayaan rakyat terhadap mereka menerusi kertas undi.

Dan tidaklah diketahui sama ada nasihat yang diberikan itu sebenarnya diperlukan atau sebagai retorik politik atau sebagai cara menutup apa-apa kelemahan dan tidak- kemampuanan yang terdapat. Namun apa yang jelas fungsi kerajaan demokratik adalah mentadbir berbanding memerintah sebagaimana kerajaan feudal. Justeru apabila pemimpin kerajaan lebih sibuk memberi nasihat dari memastikan pentadbiran telah dijalankan secara adil, saksama dan menepati kehendak prinsip demokrasi, maka sedikit sebanyak unsur feudalisme sebenarnya telah menyusup dan menjadi sebahagian daripada budaya dan warisan parti yang menjadi kerajaan itu.

Berbeza dengan kerajaan feudalism atau sistem yang dipengaruhi fahaman yang bersifat feudalistik di mana pemimpin berhak atau berkuasa memerintah secara langsung dan memberikan arahan, nasihat, amaran dan sebagainya, kerajaan demokratik tidak memiliki kelebihan yang sama. Fungsi kerajaan dalam sesebuah sistem demokratik adalah sepatutnya berbeza. Sementara Ahli Parlimen dan Dun berfungsi sebagai pembuat undang-undang dan jemaah menteri dan barisan Exco pula berkuasa menggubal dasar-dasar yang difikirkan sesuai dan bermanfaat untuk rakyat. Inilah kerja kerajaan (yang terdiri dari pemimpin politik) sebenarnya.

Ia berbeza dengan kerajaan yang difahamkan sebagai Perkhidmatan Awam dan institusi awam yang ditubuhkan menerusi Akta Parlimen dan Enakmen Negeri, juga disebut sebagai badan berkanun. Perkhidmatan Awam yang kita sebut sebagai kerajaan itu wujud menerusi peruntukan dalam Perlembagaan Negara dan ia sepatutnya tidak ada kena mengena dengan kerajaan yang terdiri daripada pemimpin politik. Begitu juga badan berkanun yang diwujudkan atas kuasa Perlembagaan yang membenarkan kewujudannya.

Justeru, dalam pentadbiran sebuah kerajaan demokratik soal Perdana Menteri atau Menteri memberi arahan itu dan ini kepada jabatan kerajaan, termasuk yang bertaraf suruhanjaya sebenarnya tidak timbul sama sekali. Secara teorinya, pemimpin politik tidak ada kuasa langsung ke atas perkhidmatan awam. Ini kerana tugas dan bidang kuasa perkhidmatan awam telah ditetapkan oleh Perlembagaan dan juga apa-apa juga undang-undang yang gubal untuk ditadbirkan oleh perkhidmatan/jabatan awam berkenaan.

Sekiranya ketua perkhidmatan sesuatu perkhidmatan awam itu melaporkan kepada seseorang Menteri, maka itu adalah perlu difahami sebagai satu formaliti, sebagaimana Kabinet dan Perdana Menteri melaporkan kepada Yang diPertuan Agung.

Nadi sistem demokratik sebenarnya terletak kepada pengasingan kuasa jelas di antara tiga cabang kerajaan – legislatif, ekskutif dan kehakiman. Atas sebab inilah maka amalan demokrasi tulin tidak membenarkan pihak legislatif menggubal undang-undang dengan memberikan kuasa mutlak kehakiman kepada badan eksekutif – seperti membuat peruntukan dalam undang-undang bahawa seseorang Menteri mempunyai kuasa menahan atau membebaskan seseorang, atau sesuatu permit boleh diberikan atau ditarik balik berdasarkan kuasa menteri semata-mata.

Jika hal ini berlaku, maka ini bermakna, mereka yang menggubal undang-undang adalah juga mereka yang melaksanakan undang-undang tersebut dan menjadi hakim dalam perlaksanaan undang-undang berkenaan.

Contoh mudah – Parti A yang memenangi pilihan raya menjadi kerajaan. Parti A membuat undang-undang dan kemudian Parti A menentukan siapa yang harus dapat sesuatu permit. Kemudian apabila pemberian permit itu dilihat sebagai boleh mengakibatkan Parti A menjadi tidak popular atau sebagainya, maka Parti A juga menghentikan permit berkenaan tanpa wujudnya hak sipemegang permit mencabar keputusan penghentian permit itu di mahkamah (sebagaimana kehendak undang-undang yang dicipta oleh Parti A).

Amalan seperti ini samalah seperti amalan pemerintahan feudalistik zaman kuno di mana seseorang yang bergelar raja membuat undang-undang, kemudian melaksanakan undang-undang dan akhir sekali menjadi hakim sebelum menjatuhkan hukuman pancung, penjara atau buang negeri kepada seseorang.

Justeru ini apabila keadaan absolutisme ini berlaku dalam negara yang mendabik dada tentang perihal kononnya mendokong sistem demokratik, maka ia sebenarnya tidak lebih daripada topeng yang digunakan bagi menyembunyikan unsur feudalisme tebal yang digunakan bagi menyelamatkan diri dari kehilangan kuasa politik.

Maka inilah antara sebabnya mengapa pemimpin feudalistik dalam negara demokratik sering menganggap diri mereka sebagai tuan besar yang tahu segala-galanya, berusaha mengenakan kuasa mutlak terhadap rakyat, mencampuri urusan Perkhidmatan Awam secara langsung dan dalam waktu yang sama bertindak sebagai penasihat yang menasihati itu dan ini (walaupun itu bukanlah tugas mereka).

No comments

Powered by Blogger.