Jerit, GPKK Tuntut Akta Gaji Minima, Mansuh Pindaan Tiga Akta Pekerja

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 1 Julai - Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Gabungan Pekerja Kilang Dan Kesatuan (GPKK) bersama kumpulan pekerja industri, hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia bagi menuntut penggubalan Akta Gaji Minima \dan memansuhkan pindaan tiga akta berkaitan pekerja.

"Tiada lagi kajian, tiada lagi alasan. Pada tahun 2006, kita pernah hantar 50,000 ribu keping poskad yang disokong oleh rakyat Malaysia bagi menuntut pelaksanaan Akta Gaji Minima. Sekarang adalah masanya untuk kerajaan memansuhkan akta tersebut," kata penyelaras Jerit, K Simon kepada Suara Keadilan.

Kira-kira 50 orang yang terdiri daripada golongan pekerja datang dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berkumpul secara aman di perkarangan bangunan kementerian tersebut semenjak jam 9.00 pagi tadi.

Namun, hanya 25 orang delegasi pekerja yang dibenarkan untuk memasuki pejabat dan bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Perhimpunan tersebut turut dipantau oleh beberapa orang anggota polis yang berada di lokasi, tetapi tiada sebarang tangkapan atau serbuan dilakukan.

Para pekerja turut melaungkan slogan, 'Hidup Pekerja', 'Hidup Perjuangan', dan 'Hidup Rakyat'.

Berkata kepada media, Simon menjelaskan Jerit dimaklumkan oleh Menteri berkenaan bahawa Kementerian Sumber Manusia telah membuka blog bagi mendapatkan maklum balas dari rakyat Malaysia berkenaan Akta Gaji Minima.

"Soalnya, berapa ramai pekerja di Malaysia yang ada komputer dan (akses) internet?. Menteri terkejut dan marah apabila diberitahu hanya 77 orang sahaja yang memberikan respon terhadap tinjauan tersebut," kata Simon.

Beliau mendedahkan sebelum ini, Jerit telah membuat tinjauan ke atas 1,000 orang pekerja dari lima buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Statistik dapatan tersebut menunjukkan kira-kira 66 peratus pekerja berpendapatan hanya daripada RM350 ke RM650.

Ini menunjukkan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang mendapat gaji di bawah garis Akta Gaji Minima yang mereka perjuangkan, bahkan ada sebahagiannya yang masih menerima gaji di bawah paras garis kemiskinan.

Simon menjelaskan, selain Akta Gaji Minima, Jerit menuntut untuk dimansuhkan pindaan Akta Pekerja, Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Perhubungan Industri 2010.

Menurutnya, pindaan akta tersebut yang dimulakan pada tahun 2007 dan diluluskan pada penghujung tahun yang sama akan dipinda sekali lagi pada tahun ini.

Antara implikasi kepada pekerja akibat daripada pindaan akta tersebut termasuk pekerja tidak boleh membawa majikan ke mahkamah selain tuntutan bagi mendapatkan pampasan bagi kes-kes tertentu hanya berjumlah maksimum bagi dua tahun sahaja.

"Ini tak adil. Sudahlah Akta Gaji Minima tak dilaksanakan, sekarang mereka ingin pinda pula undang-undang berkaitan pekerja, kesatuan sekerja dan perhubungan industri. Kita langsung tak boleh terima alasan ini, kerana setiap kali pindaan dibuat, ia pasti akan berpihak kepada majikan dan pelabur, jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.