Mengapa Dr M mendesak supaya dibina Jambatan Bengkok?

Ringkasan ucapan menjunjung kasih ke atas titah DYMM Sultan Johor sempena perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Negeri Johor ke-12 oleh YB Dr Boo Cheng Hau, ADUN Skudai merangkap ketua pembangkang pada 6 Julai 2010.

Masalah pembinaan modal insan

Pembinaan modal insan tanpa mengira aliran [persekolahan] adalah amat mustahak bagi pembangunan negara. Oleh itu, Kementerian Pelajaran sepatutnya lebih prihatin kepada pembangunan sekolah tanpa mengira aliran.

Blok B, SJKC Kuo Kuang (1) telah disahkan tidak selamat diduduki dan perlu diperbaiki. Kerja pembaikian dijangka menelan perbelanjaan RM800,000 malahan angin rebut yang kencang pada 13 Jun lalu juga telah merosakkan sebahagian bangunan di SJKC Kuo Kuang (1) dan Kuo Kuang (2) yang memerlukan RM100,000 untuk membaikinya.

Setakat ini, Kementerian Pelajaran belum memberikan sebarang peruntukan kepada kedua-dua sekolah ini untuk membaiki kerosakan bangunan mereka.
Di samping itu, saya juga diberikan mandat oleh sesetengah noja masjid bukan kerajaan untuk merayu kepada kerajaan negeri supaya dinaikkan elaun mereka daripada RM1 sehari kepada RM10 sehari sebab kebanyakan mereka terdiri daripada para pesara yang memerlukan pendapatan sambilan untuk menampung perbelanjaan seharian.

PoA di antara Malaysia-Singapura

Kerajaan persekutuan telah bersetuju mengembalikan tanah KTMB di Singapura kepada kerajaan Singapura dan memindahkan stesyen keretapi di Tanjung Pagar ke Woodlands.

Memandangkan tanah KTMB di Singapura dianggap sebagai “tanah milik di Singapura” di bawah pentadbiran agensi kerajaan Malaysia iaitu KTMB, kedaulatan Pulau Pisang dan Pulau Merambong sewajarnya dijadikan salah satu agenda dalam pakej perjanjian baru untuk mengelakkan kontroversi seumpama Pulau Batu Putih berulang.

Jika tanah KTMB boleh dipulangkan kepada Singapura, keadaannya sama dengan Pulau Pisang dan Pulau Merambong di mana Singapura dibenarkan untuk menguruskan rumah api di sebahagian wilayah negeri Johor.

Ekspot pasir ke Singapura

Pada pandangan saya, ekspot pasir ke Singapura tidak boleh disamakan dengan [isu] kedaulatan wilayah negara termasuk Pulau Pisang dan Pulau Merambong.

Oleh itu, saya bersetuju jika lesen ekspot pasir diluluskan secara terbuka supaya royalti dan cukai dapat dikutip untuk memperkukuhkan status kewangan kerajaan negeri. Jika bekas Perdana Menteri boleh menyokong kelulusan lesen judi sukan, apakah sebab dan logiknya beliau menentang lesen ekspot pasir?

Mungkin bekas Perdana Menteri terasa sedih sebab anak buahnya telah ditolak lesen judi sukan, lantaran itu beliau mendesak kerajaan supaya memulihkan projek Jambatan Bengkok untuk menggantikan Tambak Johor.

Berikutan pembatalan pembinaan Jambatan Bengkok, kerajaan telah membayar pampasan RM292.5 juta kepada syarikat kontraktor yang dilantik, iaitu Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB).

Oleh itu, walaupun jambatan baru yang tegak boleh dipertimbangkan tetapi tender projek berkenaan mesti dibuka kepada kontraktor-kontraktor berpotensi.

Saya ingin mengingatkan dewan yang mulia ini bahawa di ibukota Korea Selatan Seoul terdapat 26 batang jambatan besar yang merentasi Sungai Han. Kerajaan Korea tidak mengutip satu sen tol pun daripada pengguna- pengguna jambatan. Oleh itu, jambatan baru Selat Tebrau perlu dikecualikan tol memandangkan Tambak Johor tidak juga dikenakan tol tatkala ianya mula-mula siap dibina pada zaman penjajahan British dulu.

Walaupun tol di Linkedua dikurangkan 30%, kadar pemotongan tol ini mungkin tidak memadai untuk menarik para pengguna. Jika penggunaan Linkedua masih [tidak cukup menguntungkan] selepas pemotongan tol, maka kerajaan dijangka terpaksa membayar pampasan RM30 juta setahun kepada syarikat Linkedua.

Pada keseluruhannya, pembinaan jambatan baru Selat Tebrau, Linkedua atau Jambatan ketiga mesti [mengambil kira] defisit kerajaan yang semakin mencecah langit serta dipastikan ianya bermanfaat kepada rakyat.

Yayasan Pelajaran Johor

Salah satu badan berkanun yang mustahak adalah Yayasan Pelajaran Johor yang telah ditegur oleh Ketua Audit Negara berkenaan kelemahan pengurusannya, khasnya dalam dokumentasi akaun. Baki pemiutang Yayasan pada 31 Disember 2007 YPJ berjumlah RM7.49 juta tetapi sejumlah RM5.22 juta (atau 70%) daripada jumlah tersebut tidak dapat disahkan kerana kekurangan dokumen sokongan dan status kewujudannya tidak dapat ditentukan.

Ini membayangkan kekurangan akauntabiliti pihak pengurusan YPJ. Sebagai badan berkanun yang mustahak dalam usaha membina modal insan di negeri Johor, jika kelemahan pengurusan YPJ terus dibiarkan berlarutan, pengurusan yang kurang akauntabel dan competent [cekap] akan menjejaskan masa depan pelajar-pelajar negeri Johor yang berpotensi.

Masalah catuan bekalan air di Muar, Yong Peng, Kluang dan Batu Pahat

Di antara bulan Februari dan bulan Mei, catuan bekalan air di daerah Batu Pahat, Yong Peng, Kluang dan Muar telah dinyatakan berpunca dari kekurangan hujan dan paras air [rendah] di Empangan Bekok, Machap dan Semborong.

Saya sendiri telah melakukan tinjauan dan ujian air di Empangan Bekok, Sungai Bekok, Bandar Yong Peng dan Batu Pahat. Ujian sampel air di Empangan Bekok telah menunjukkan kiraan bakteria Coliform dan ammonia yang tinggi dan ini bermakna sumber air Empangan Bekok tercemar oleh najis binatang atau manusia, dan baja kimia selaras dengan aktiviti penternakan dan pertanian haram di dalam kawasan Emapangan Bekok.

Pajakan untuk pertanian di kawasan Empangan Bekok, Machap dan Semborong telah tamat pada tahun 2006. Kawasan Empangan Bekok seluas 35,400 hektar tetapi hanya dikawal oleh seorang pengawal sahaja setiap masa. Dan aktiviti pertanian dan penternakan haram berleluasa sehingga membabitkan pulau-pulau di tengah takungan air empangan-empangan. Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sewajarnya mewartakan kawasan berkenaan sebagai kawasan tadahan air serta segera mengharamkan sebarang aktiviti pertanian dan penternakan di kawasan empangan.

Sampel-sampel air paip Batu Pahat didapati keruh dan [mempunyai] paras magnesium, besi and fluorida yang tinggi. Paras magnesium setinggi 20-23 mg/L iaitu 4 kali ganda tingginya dari piawaian negara maju yang ditetapkan tidak lebih dari 5mg/L; walaupun saya dimaklumkan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) menggunakan piawaian magnesium yang lebih tinggi pada paras 150 mg/L.

Menurut World Health Organization, piawaian magnesium itu berbeza dari setempat ke setempat berdasarkan toleransi penduduk setempat. Para penduduk yang mengadu tentang kejadian sakit perut ekoran catuan air adalah selaras dengan [simptom-simptom penyakit yang timbul berpunca daripada] paras magnesium yang tidak boleh ditoleransi.

Malangnya kualiti air paip di Kampung Baru Bekoh, Tangkak juga menunjukkan kekeruhan dan kiraan bakteria Coliform yang setinggi 30. Ini bermakna sampel air paip itu dicemari oleh najis binatang atau manusia. Sewajarnya dikenalpasti sumber pencemaran itu dan diambil tindakan untuk menangani masalah dengan secepat mungkin.

Sumber-sumber air dan kawasan tadahan air mesti dilindungi, khususnya hutan simpanan kekal selain daripada usaha menegah aktiviti partanian dan penternakan dalam kawasan tadahan air. Air terjun dan empangan-empangan air kekeringan disebabkan kegiatan membalak di kawasan hulu sungai, termasuk Projek Ladang Getah.

Ucapan Dr Boo Cheng Hau telah disunting serta diringkaskan oleh CPI dengan izin. Teks penuh ucapan beliau boleh dibaca di blognya yang berjudul ‘Say what you like’.


sumber

No comments

Powered by Blogger.