Mengapa Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia?

Pertandingan Piala Dunia Bolasepak 2010 di Afrika Selatan sudah hampir ke penghujungnya. Sudah hampir sebulan peminat bolasepak di Malaysia bersorak menyaksikan pertarungan antara negara-negara selain daripada negara tanahair mereka sendiri. Dalam keghairahan bersorak pasti ramai yang tertanya, ‘Bilalah agaknya pasukan kebangsaan Malaysia akan beraksi di pusingan akhir Piala Dunia?’

Melihat pada prestasi pasukan kebangsaan sepanjang beberapa tahun yang lalu, agak mustahil Malaysia dapat beraksi di pentas Piala Dunia. Senarai ranking mutakhir Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan Malaysia di tangga 146, setaraf dengan ‘gergasi’ bolasepak yang lain seperti Turkmenistan, Burundi dan Madagascar.

Walhal, kurang 30 tahun yang lalu pasukan bolasepak kebangsaan duduk setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan yang sudah berturut kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Saya sempat menyaksikan pertarungan antara Malaysia dan Jepun sebanyak dua kali di Stadium Merdeka pada tahun 1980-an. Pertamanya di peringkat separuh akhir Pestabola Merdeka 1986: Malaysia menang 2-1 dalam masa tambahan. Perlawanan kedua ialah di pusingan kelayakan Piala Asia 1988: Malaysia tewas 0-1.

Sekarang, sekiranya Malaysia berjaya menewaskan Jepun ataupun tewas tipis di tangan mereka, pasti dianggap kejayaan yang sangat besar. Walaupun tewas 0-1 pada tahun 1988, hakikatnya Malaysia pada perlawanan tersebut menguasai pasukan Jepun sepanjang tempoh perlawanan. Kekalahan tipis ketika itu dianggap cukup mendukacitakan.

Kemerosotan pasukan bolasepak kebangsaan boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Yang pasti, kemerosotan ini banyak mencerminkan beberapa perkara ‘pelik’ yang berlaku di dalam negara.

Pertama, jika dilihat pada barisan pemain kebangsaan sekarang, sudah tidak ada lagi pemain berbangsa Cina yang menyarung jersi kebangsaan. Malah, hanya S. Kunalan, pemain dari Negeri Sembilan yang merupakan pemain bukan Melayu tunggal yang sering turun dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

Sudah pasti kemerosotan prestasi pasukan bolasepak kebangsaan bukan kerana tiadanya pemain berbangsa Cina. Cuma, apa yang berlaku ialah menularnya polarasi kaum dalam arena sukan negara.

Bolasepak kini boleh dianggap sukan untuk kaum Melayu sahaja, manakala kaum Cina lebih tertumpu pada acara sukan lain seperti bola keranjang dan bola tampar . Dalam bersukan pun sudah kurang integrasi antara kaum! Bukankah ini sesuatu yang amat menyedihkan?

Saya percaya kepelbagaian kaum dalam sebuah pasukan bolasepak ada manfaatnya. Lihat saja pada pasukan Jerman dalam kejohanan Piala Dunia kali ini. Dalam kesebelasan utama pasukannya yang membenam England dan Argentina, ada permain yang berbangsa Turki, ada yang berasal dari Ghana dan Tunisia, dan di bangku simpanan ada pemain-pemain yang berasal dari Sepanyol dan Brazil.

Pemain-pemain ini membawa pembaharuan dalam corak permainan pasukan Jerman. Jika sebelum ini mereka dianggap hanya bergantung kepada disiplin dan organisasi permainan yang tinggi, pasukan Jerman kali ini dilihat mempamerkan aksi menyerang yang baik dan kreatif.

Jangan dipolitikkan sukan

Pasukan kebangsaan Malaysia dahulunya punya kelebihan ini.

Pemain-pemain Melayu dan India lebih exspresif mempamerkan skil permainan manakala pemain-pemain berbangsa Cina dan Sikh punya daya tumpuan dan disiplin yang tinggi. Maka, tidak hairan jika dilihat pada senarai pemain kebangsaan pada tahun 1970-an dan awal 1980-an, tembok pertahanan negara dibarisi pemain-pemain seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Lee Kin Hong dan Serbegeth Singh; dan tonggak serangan digalas pemain seperti Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Hassan Sani dan Zainal Abidin Hassan.

Budaya yang berbeza membawa gaya permainan yang berbeza, dan ini membawa manfaat bila diadun dengan sempurna.

Seperkara lagi yang menyedihkan dalam bolasepak negara ialah penglibatan ahli-ahli politik. Memang benar, daripada sudut kewangan penglibatan ahli-ahli politik itu membawa manfaat. Mereka mampu menarik dana yang diperlukan untuk mengurus persatuan bolasepak tempatan. Selain daripada itu, penglibatan mereka sebenarnya tidak perlu.

Saya tidak faham misalnya mengapa jawatan presiden persatuan-persatuan bolasepak negeri sering dipegang menteri-menteri besar. Tidak cukupkah kerja di pejabat menteri besar sehingga perlu mencari kerja tambahan mengurus persatuan bolasepak? Mengapa tidak dibiarkan sahaja pentadbir profesional mentadbir dan membuat keputusan?

Saya percaya ramai menganggap penglibatan ahli-ahli politik ini tidak lebih daripada usaha mencari publisiti murahan.

Kita tidak mahu ahli-ahli politik masuk campur kerana tidak mahu ‘penyakit politik’ meresap dalam bolasepak. ‘Penyakit’ yang paling ketara ialah kurangnya fokus pada rancangan jangka panjang. Banyak dana dan tenaga lebih tertumpu pada kejayaan serta merta. Siapa di kalangan ahli-ahli politik yang mahu membuang masa merancang pelan jangka panjang seperti ‘Malaysia ke Piala Dunia 2018’? Tahun 2018 itu sangat jauh dan jangka hayat politik mereka mungkin tamat sebelum itu.

Sekiranya perancangan rapi dibuat, saya percaya pasukan bolasepak kebangsaan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Saiz dan tubuh pemain yang kecil tidak lagi boleh dijadikan alasan. Pemain-pemain Jepun dan Korea Selatan sudah membuktikan ia bukanlah penghalang untuk mengecap kejayaan. Kejayaan pasukan kebangsaan merangkul pingat emas Sukan SEA tahun lalu perlu dijadikan asas kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Bersorak untuk pasukan Brazil, Sepanyol dan Argentina dalam pertandingan Piala Dunia banyak membawa kepuasan. Namun, bagi setiap peminat bolasepak di tanahair, tidak ada yang lebih memuaskan dan membanggakan daripada bersorak untuk pasukan Malaysia dan mendengar lagu Negaraku berkumandang di stadium. Bilalah agaknya impian ini boleh menjadi kenyataan?

sumber






KOMEN-KOMEN PEMBACA

Loh - Tiada Liga yang berkualiti |2010-07-09
Liga kita tidak diuruskan dengan baik. Ianya sepatutnya diuruskan seperti satu syarikat dan bukannya seperti satu organisasi kerajaan. Kejayaan, kestabilan dan pengurusan harus diutamakan dan bukannya agenda-agenda lain.

Masalah masalah seperti tiada dana dan tiada duit untuk membayar gaji pemain sering kedengaran. Dalam hal itu, macam mana nak menarik lebih banyak bakat untuk menceburi sukan ini?

Kalau kualiti kelab sudah merosot, sudah tentu kualiti pasukan negara.

Ramesh Laxman - Piala Dunia Bola Sepak |2010-07-09
Semua nya diletak di tangga Majlis Sukan Negara. Badan in telah membunuh semua badan sukan denan dasar dan politik nya. Saya harap MSC boleh mejawab soalan yag ditanya.

Negara Boleh - Mengapa Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia |2010-07-09
memandangkan pemain-pemain pasukan bola sepak nasional adalah dari kaum Melayu bumiputra maka FAM harus menuntut ke FIFA untuk memberi hak istimewa seperti NEP. FIFA harus membesarkan pintu gol pasukan lawan sebanyak 30%. Pasukan nasional harus mempunyai lebih 30% pemain berbanding pasukan lawan. Pasukan nasional harus diberi handicap gol 3-0 pada permulaan permainan. Ini agak adil untuk memberi peluang kepada pasukan nasional yang lemah.

Peminat Bola Sepak |2010-07-09
Point 1 : Polarasi kaum

Saya rasakan kurang adil jika kita jatuhkan hukuman polarasi kaum kepada kualiti bolasepak kita. Hakikatnya, memang itu sahajalah yg kita ada. Saya berpendapat jika ada kaum bukan melayu yg mahu bermain pun, tak akan berubah kualitinya. Germany memilih Khedira, Ozil dan Klose bukanlah kerana mahukan integrasi kaum, tetapi kerana itulah yg terbaik mereka ada. Saya yakin bahawa jikalau 23 pemain terbaik German adalah yang memang dilahirkan di German, mereka itulah yg akan dipilih.

Sepanyol pernah mencuba kaedah yg lebih kurang serupa pada piala dunia 1984 dengan seberapa boleh menyenaraikan pemain-pemain dari kesemua regional, contohnya Basque, Catalonia, Madrid, Valencia dan Andalusia. Ternyata, ia langsung tidak menjadi, dan persembahan Sepanyol pada piala dunia itu adalah tersangat mengecewakan.

Kesemuanya adalah bergantung sepenuhnya kepada perkembangan pemain-pemain kita. Kita selalu melihat kepada bolasepk Inggeris. Corak latihan, akademi bolasepak, kesemuanya adalah merujuk kepada pasukan-pasukan dari Inggeris, padahal, sebenarnya England tidak langsung menyerlah di peringkat antarabangsa. Corak permainan Inggeris yg pantas, laju dan fizikal sebenarnya tidak sesuai dengan keadaan fizikal kita yg sekarang lebih kecil dari Jepun. Bagaimana jika kita menitik beratkan kepada skil teknikal individu? Cara memegang bola, 'close-control', 'dribbling', 'possession', semua ini kurang ada pada bolasepak Inggeris. Kalau kita melihat kepada pemain-pemain dunia yg mempunyai skil seperti yg saya sebut di atas, kesemuanya bertubuh kecil! (Messi, Xavi, Pedro, Iniesta) Jika kita boleh menitik beratkan aspek ini pada permainan kita, tak mustahil kita boleh mempunyai Messi kita sendiri.

Point 2 : Politik
Saya setuju 100%. Tahukah kita bahawa bolasepak Jepun boleh berada di tempat mereka sekarang dengan pelan 20 tahun mereka yg bermula pertengahan 80-an? Dan kita dapat menyaksikan sekarang mereka boleh bersaing di pentas dunia. Dimana pelan kita? Sedangkan format liga malaysia pun seringkali ditukar 1-2 tahun sekali, apatah pula dengan 'blueprint'?

alkisah - membudayakan bolasepak |2010-07-09
Dulu..20 tahun yang lalu, saya masih ingat masa tu hampir setiap kampung memiliki 'padang' sendiri walaupun hanya diatas bekas tempat orang menanm sayur. Di padang2 yang lebih formal pula terutamanya padang sekolah dijadikan tempat perlawanan untuk kejohanan-kejohanan yang lebih besar. Semua orang akan berkerumun menyaksikan perlawanan tersebut walaupun hanya melibatkan perlawanan daerah atau kampung saja. Saya masih ingat walaupun perlawanan antara daerah, untuk masuk melihat dikenakan 'tiket' berharag RM0.10 hingga RM0.50, betapa meriahnya bolasepak waktu itu.

Kini..tiada lagi budaya sebegitu, padang-padang sekolah didirikan banguna sekolah, pelajar ditekankan kepada kualiti pelajaran saja, bolasepak dipinggirkan serta tidak perlu lagi. Ketiadaan bakat-bakat baru yang meminanti bola dari kecil lagi memustahilkan dapat melahirkan pemain-pemain yang betul2 cintakan permainan ini. ketandusan bakat dari bawah mengakibatkan kesukaran untuk melahirkan pemain berjiwa negara atau negeri. Yang lahir kini bukan bakat sebenar tetapi pemain yang diasuh untuk bermain kerana wang dan kesenangan hidup.

Campur tangan politik juga membunuh segalanya. Perancis di beri amaran oleh FIFA hanya kerana gara-gara coach mereka di panggil diparlimen. orang politik tumpukan sj pada mslh negara.

anak_perelih |2010-07-10
pekara yang sama berlaku kepada India....
http://soccernet.espn.go.com/world-cup/c olumns/story?id=806811&cc=4716&ver=global

jason - say no to racist. |2010-07-10
Saya mmg 100% setuju cadangan kamu. Bubarkan pentadbiran racist utk masa depan sukan malaysia." Say No To Racist "

Mohd Arshad - http://mybloghub.my/ |2010-07-10
Hendak tahu kenapa pasukan bola kita lemah...ada perkaitan dengan apa yang saudara tulis di awal rencana saudara itu. Pasukan bola sepak kita bukan pasukan Malaysia lagi tetapi adalah pasukan Melayu semata-mata. Kalau kita tidak ada pemain cina pun tidak apa..tetapi mengapa hanya ada 1 orang pemain India? Kerahmatan lahir di Malaysia ialah kita akan berjiran dan hidup dalam komuniti pelbagai kaum...saya anak Melayu tetapi membesar dalam persekitaran pelbagai kaum.... saya melihat rakan-rakan saya bermain bolasepak dan saya ikut mereka main....saya lihat anak-anak India bermain bola di estet dari pagi hingga ke petang...dalam panas...mereka sudah biasa dan boleh bertahan..main berjam-jam...bayangkan tahap skil yang mereka ada....tidak terperanjat jika bakat pemian Brazil itu ada di kalangan anak-anak muda di estet kalau dicungkil dengan baik....tapi apa yang berlaku...bila kala ada pemilihan untuk apa-apa pertandingan atau peluang untuk mewakili daerah masing-masing umpamanya....anak-anak India akan hanya pergi latihan 1 hari sahaja...hari berikutnya mereka tidak mahu....kerana apa? kerana hari pertama mereka ikut latihan itu mereka sudah rasa diskriminasi oleh jurulatih dan pengurus Melayu yang ada.....memang benar...saya berani cakap skil bolasepak yang terbaik adalah di kalangan anak-anak India tetapi yang berrmain dalam pasukan Kebangsaan semua anak-anak Melayu....dari awal lagi jurulatih dengan pengurus dan pegawai yang berkenaan semuanya Melayu...mereka hanya fikir Melayu dan rasa cuma Melayu tahu main bola di negara ini...anak-anak India yang berbakat dikesampingkan begitu sahaja....bakat-bakat yang terbaik hilang umpama air yang mengalir...apa salahnya kalau mereka itu diberikan peluang...apa salahnya kalau anak-anak India memang berbakat diambil menyarung jersi negara? Kalau daripada 11 pemain 8 itu anak India pun apa salahnya kalau mereka memang layak....ini semacam ada kemestian sejak beberapa tahun ini bahawa pasukan bolasepak negara mesti pasukan yang dipenuhi Melayu....berilah peluang yang sama adil kepada anak-anak India yang berbakat itu sejak dari awal....dan kepada anak-anak Cina walaupun tidak ramai di kalangan mereka yang berminat main bola.

Selagi mana pasukan kita berorientasikan Melayu semata-mata, sedangkan bakat tak hebat mana pun jika banding dengan pemain-pemain dari kalangan anak India, selagi itu pasukan kita akan terus corot.

Saya berani cakap skil pemain Melayu secara umum jauh rendah berbanding pemain India, tetapi mahukan jurulatih Melayu menerima hakikat itu?

Dahulu ketika saya membesar di Kuala Selangor, akan diadakan liga peringkat daerah hampir saban tahun dan saya tidak pernah sekali pun lihat pasukan majoriti Melayu menang, memang tidak ada kualiti skill jika dibandingkan dengan pasukan anak-anak India estet yang memiliki ketahanan dan skill yang begitu tinggi sekali. Namun bila datang pemilihan peringkat daerah, adalah seorang anak India yang akan dipilih sebagai buat syarat....sebagai anak Melayu yang berfikiran terbuka, saya jijik dengan apa yang saya lihat itu.

Kita bercerita untuk membangunkan bola sepak....tetapi kita hanya memilih satu kaum untuk mewakili kita. Saya tidak mencadangkan kita wujudkan pasukan kebangsaan sepeuhnya diwakili anak-anak India...tetapi kalau mereka lebih berbakat, wujudkan peluang yang sama rata untuk mereka ke tengah....untuk mereka mewakili negara ini.

Gamma Ray |2010-07-10
Saudara Mohd Arshad,

Saya merasa bangga dengan tahap pemikiran kamu yang sungguh matang. Apa yang saudara tulis adalah benar. Kalaulah para pegawai yang bertanggung jawab berfikir seperti saudara, sudah pasti Malaysia akan kembali ke zaman keagungan 70an. Saya berharap benar ia akan berlaku dalam hidup saya ini.

sara - DAHULUKAN NEGARA - KUALITI - JAUHKAN POLITIK |2010-07-10
Pertama sekali saya cukup terharu dengan tajuk perbincangan ini. Rindu amat sekali untuk melihat PASUKAN MALAYSIA kita beraksi dalam piala dunia. Seperti kata saudara, kombinasi 3 warna kulit sudah tiada lagi. Kenapa orang cina dan india tidak mahu beraksi untuk tanahair kita ? Padahal banyak budak-budak cina dan india boleh dilihat bermain bola di padang dan juga amat berminat untuk menyaksikan perlawanan piala dunia ini. Lihat sahaja restoran dan kedai kopi. Penuh sampai pagi. Adakah mereka menjauhi sukan ini atau dijauhkan daripada sukan ini. Cuba kita bandingkan perkembangan ini dengan sistem pendidikan kini. Pelajar yang mencapai straight A's (Pelajar berkualiti untuk masa depan kemajuan negara) disisihkan dan pelajar yang kurang tahap pencapaian - saya maksudkan semua bangsa (low kualiti) dipilih. Kualiti amat penting untuk menjayakan dan mengharumkan negara. Bagi saya SIKAP PIHAK TERTENTU HARUS BERUBAH. JIKA CINTAKAN NEGARA - DAHULUKANLAH YANG BERKUALITI DAN FIKIRKAN CARA YANG AMAT BERKESAN UNTUK KUALITIKAN YANG KURANG KUALITI ITU. TIDAK DAPAT DINAFIKAN BAHAWA PIMPINAN POLITIK SELAMA INI JELAS GAGAL DALAM HAL INI. Contoh kelemahan sukan bolasepak negara harus dijadikan iktibar dan jangan hancurkan pendidikan pula. Bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak kita, kita perlu cari pemain dari semua pelusuk negara kita, kampung, estet, ladang, bandar. BENTUK 5 SET PASUKAN NEGARA bukan hanya 1. Gunakan semua bekas pemain untuk melatih mereka. Asah bakat untuk setiap posisi pemain. Paling penting jangan "HERO"kan seseorang pemain tertentu. Disiplin pemain, dan kecergasan pemain amat penting. Main lebih kurang tapi rambut bertocang tocang nak tarik peminat bukan tanda untuk mengharumkan nama negara. Tengok pemain jepun dan korea. stamina mereka, kecergasan mereka sama dari mula hingga akhir. Ahli politik cukuplah sekadar bantuan kewangan. Bagilah peluang kepada seseorang yang benar-benar mempunyai masa dan kedegilan untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat.
Sama-sama kita fikirkan untuk kebaikan negara kita.

Bebola - Strategi |2010-07-10
Tulisan pengarang dan komen-komen dilaman ini cukup menjelaskan sebab kemunduran sukan bolasepak negara. Bagi saya, negara kita kurang minat dalam bidang sukan dan untuk membinanya semula agar masuk piala dunia kita tidak perlu 20 tahun. Kita hanya perlu 5 tahun dan ianya perlu dimulakan sekarang. Daripada presiden sampai tukang urut perlulah anak Malaysia dan jawatan sepenuh masa. Semuanya perlu ditapis kelayakan dan mempunyai dedikasi dalam membina satu pasukan berjaya. Rangka satu pelan jangka 5 tahun, dalam 5 tahun ini buat kajian teknik dlm permainan, skil, fizikal & mental. Buat pemilihan & seterusnya mulakan latihan. Belajar kaedah Jerman bagaimana mereka layak ke pusingan akhir setiap pertandingan tanpa gagal. Belajar kaedah Korea/Jepun apa formula mereka. 5 tahun kita tak perlu menang piala dapat masuk pusingan akhir pun sudah cukup bagus untuk generasi sekarang. Adalah menjadi tugas generasi akan datang untuk meneruskan plan pembangunan sukan bola sepak negara untuk pencapaian lebih tinggi di peringkat akhir. Sekian

chow chee keong |2010-07-10
secara ringkas kalau Jepun/Korea boleh main kat tahap world cup,why Malaysia tak boleh??? makan nasi jugak... bakat,padang,stadium,kewangan etc... semua ada.. makna nya orang yang ada power tak kisah nak maju kan sukan negara, janji shiok sendiri cukup lah.. gitu kah Pak???

chan kam nam - Mimpi Indah jika Malaysia layak |2010-07-12
Melayak je Piala Dunia adalah mimpi semua rakyat Malaysia tak kira bangsa atau agama.

Untuk Malaysia tidak layak ke Piala Dunia bukan satu pekara yang pelik atau memalukan bile negara yang lebih kuat dalam bola sepak pun tidak layak seperti Thailand, Indonesia, Iran, Arab Saudi, dll.

Tetapi apa yang agak memalukan adalah taraf mutu bola sepak di Malaysia dan pengurusan bola sepak dan juga polisi yang kerap berubah, satu hari, pemain import di larang, lain hari pemain import dibenar balik untuk bermain.

Apa yang lagi memalukan dan dijadikan bahan jenaka adalah, cadangan untuk squad Negara yang “full time” dan sekarang bermain di liga kelas Ketiga di Europa.

Tak pernah ada Squad Negara “full time” di Negara lain. Lihat sahaja pasukan di Piala Dunia, permain mereka bermain untuk “Klub Antarabangsa” di merata Dunia.

Saya pasti Squad “Full Time” kita akan kalah teruk jika bermain di arena antarabangsa.

No comments

Powered by Blogger.