Kontrak Beli Gerabak Keretapi Didakwa Mangsakan Dana Awam

Oleh Frederick Luccas

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak patut memberikan kontrak pembelian gerabak keretapi elektrik kepada syarikat negara China, Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd, malah patut mengharamkan pembabitan syarikat tersebut di negara ini.

Ini berikutan beberapa percanggahan serius di dalam terma-terma pembelian yang diberi oleh Zhuzhou, tetapi anehnya kerajaan Umno-BN juga telah bersetuju dengan terma dan harga pembelian yang jauh lebih tinggi daripada persetujuan asal.

"Berkenaan artikel saya yang disiarkan dalam Harakah baru-baru ini, dan dikomen bekas Menteri Pengangkutan bahawa saya tidak meneliti fakta, saya ingin jelaskan kenapa saya berkata kerjaan Umno-BN patut batalkan belian dan haramkan Zhuzhou.

"Saya ingin tekankan di sini bahawa rakyat tuntut kebenaran, kenapa selepas rundingan terus Zhuzhou menawarkan harga lebih tinggi, kira-kira RM48 juta untuk setiap keretapi elektrik enam gerabak (EMU), berjumlah RM1.8 bilion untuk kesemua 38 unit," kata Dr Dzulkely pada sidang media semalam.

Jelas beliau lagi, pertama ialah pembatalan pembelian kerana keperluan pengangkutan awam bandar mengikut pelan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang jauh lebih tinggi, dan bukannya tidak diberi.

Kedua ialah isu jumlah pesanan dan perincian, di mana jumlah pesanan baru ialah 38 unit dengan enam gerabak seunit, berbanding dengan pesanan asal lapan unit dengan tiga gerabak seunit.

"Jika dibandingkan dengan model lama, yang baru ini hanya ada beberapa kamera litar tertutup (CCTV) tambahan dan skrin iklan tambahan, itu sahaja, kenapa pula harganya melonjak hingga tambahan kira-kira RM10 juta seunit?

"Saya tidak bandingkan epal dengan oren, itu tak masuk akal. Ini saya bandingkan epal dengan epal, tak jauh beza kedua-duanya," tambah Dr Dzulkefly.

Tambah beliau lagi, isu ketiga ialah Kementerian Kewangan telah mendesak dan membenarkan Kementerian Pengangkutan untuk mengadakan rundingan terus.

"Siapa di MOF yang membuat keputusan ini, kita perlu tahu.

"Ini satu keputusan melibatkan tambahan perbelanjaan wang rakyat kira-kira RM500 juta, yang saya khuatir akan hilang begitu sahaja," tegas beliau.

Beliau memberitahu kontrak pembelian ini tidak termasuk kontrak penyelenggaraan, pembaikan, dan 'overhaul' (MRO), yang mana kerajaan Umno-BN sepatutnya memasukkan MRO sekali dengan kontrak pembelian.

"Kerajaan Umno-BN patut belajar daripada kesilapan lalu di mana disebabkan kerajaan Umno-BN tidak mempunyai apa-apa perjanjian MRO dengan General Electric (GE), maka kesemua kos MRO terpaksa ditanggung oleh kerajaan yang mencecah belanja hampir sama dengan gerabak baru," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) untuk menyiasat kesahihan apa sahaja kenyataan dan sidang media beliau berkaitan dengan isu ini dan mengharapkan siasatan rapi akan dijalankan agar wang rakyat tidak dibazirkan begitu sahaja.

No comments

Powered by Blogger.