Selangor, pembangunan dan politik

Azmin Ali

Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan ( No. 2 ) 2010

1. Sebarang usaha untuk mendapatkan perbelanjaan tambahan wajar diasaskan kepada amalan urus tadbir yang baik dan tidak semata-mata kerana kita mampu berbelanja.

2. Pagi ini Dewan akan membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010 yang memerlukan peruntukkan wang sejumlah RM 117 juta dari Kumpulan Wang Disatukan Negeri bagi menampung perbelanjaan tambahan perkhidmatan 2010.

3. Ini adalah Perbekalan Tambahan Kedua dalam tahun ini. Tambahan Pertama telah diluluskan oleh Dewan dalam sesi bulan April yang lalu dengan peruntukkan tambahan sejumlah RM 69 juta. Anggaran perbelanjaan 2010 telah membengkak dari RM 1.3 bilion kepada RM 1.49 bilion. Persoalannya adakah ini amalan urus tadbir kewangan yang berhemah ?

Pendapatan Kerajaan Negeri

4. Hujah yang diutarakan kepada kita untuk mengabsahkan perbelanjaan tambahan ini adalah kerana kutipan hasil dan pendapatan negeri sudah melonjak ke paras RM 1.5 bilion; makanya kita boleh berbelanja lebih, tidak cukup untuk melayakkan kita bergelar pengurus kewangan yang baik.

5. Saya terpanggil untuk merenung ayat 46 - 48 Surah Yusuf yang memberi peringatan keras bahawa tujuh tahun yang makmur akan disusuli dengan tujuh tahun yang gersang.

6. Dalam pembentangan Bajet 2009, Kerajaan Negeri mensasarkan pendapatan sebanyak RM 1.41 bilion. Adakah sasaran ini sudah berjaya dicapai ?

7. Saya juga ingin mendapatkan jawapan dari kerajaan mengenai trend simpanan (reserve) Kerajaan Negeri? Apakah meningkat atau menguncup? Sekiranya pendapatan negeri bertambah, berapa peratuskah yang diperuntukkan untuk dimasukkan dalam simpanan?

8. Pengurusan ekonomi dan kewangan membenarkan perbelanjaan tambahan justeru unjuran yang dibuat tidak menepati keperluan ekonomi semasa yang mungkin mendesak atau apa yang disebut sebagai perbelanjaan am/luar jangka. Dewan ini telahpun mengambil kira perbelanjaan am/luar jangka sejumlah RM 57 juta dalam bajet 2010. Saya ingin tahu apakah kedudukan peruntukkan luar jangka ini setakat 30 Jun 2010?

9. Sekiranya peruntukkan luar jangka ini diurus dengan berhemah dan tidak berlaku pembaziran, Dewan ini tidak perlu memohon peruntukkan perbelanjaan tambahan sehingga mencecah RM 117 juta.

10. Kita tidak boleh berterusan datang ke Dewan ini untuk memohon peruntukan perbekalan tambahan dalam setiap persidangan. Dalam enam bulan yang pertama sahaja, Dewan ini diminta meluluskan perbekalan tambahan sebanyak RM 186 juta. Saya bimbang sekiranya amalan ini diteruskan, negeri akan menanggung bajet defisit dan bukan lagi bajet berimbang.

11. Punca pupusnya peruntukkan luar jangka 2010 sebanyak RM 57 juta ialah Kerajaan Negeri tidak merancang dan mengawal perbelanjaan. Amalan boros ini mesti dihentikan serta merta. Perbelanjaan oleh STANDCO perlu berhemah bagi mengurangkan penggunaan peruntukkan luar jangka Kerajaan Negeri dan merancang perbelanjaan untuk perkara- perkara yang telah dibajetkan.

12. Pengalaman saya di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri memperlihatkan satu sistem yang cukup telus di mana Kertas Jemaah Menteri oleh mana-mana Kementerian mestilah dikemukakan 2 minggu sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri untuk membolehkan jabatan-jabatan penting memberikan ulasan termasuk Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi dan juga Jabatan Peguam Negara.

13. Kertas sampingan tidak dilayan sama sekali. Kertas Jemaah Menteri yang dihantar lewat dan tiada ulasan dari jabatan-jabatan ini tidak akan dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri. Ini adalah amalan urus tadbir yang baik dan perlu dipegang oleh Kerajaan Negeri khususnya Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

14. Saya ingin mendapatkan penjelasan dari Kerajaan Negeri apakah Kertas EXCO yang dibentangkan tanpa ulasan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Perbendaharaan Negeri, Bahagian Perjawatan boleh diterima dalam Mesyuarat EXCO?

Perbelanjaan Boros

15. Dewan ini menuntut penjelasan perbelanjaan luar jangka yang sudah pupus dalam tempoh suku tahun kedua. Saya difahamkan Kerajaan Negeri mengeluarkan perbelanjaan yang melampau dalam majlis-majlis keraian sehingga mencecah angka hampir setengah juta ringgit bagi satu majlis perasmian. Inilah akibatnya apabila ulasan dari jabatan-jabatan tidak diperolehi terlebih dahulu sebelum kertas ini dibawa ke Mesyuarat EXCO. Amalan boros dan membazir seperti ini mesti dihentikan segera untuk menjimatkan peruntukan luar jangka Kerajaan Negeri.

16. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan dari Kerajaan Negeri apakah benar amalan hari ini lebih cenderung untuk melantik juru perunding majlis dan bukan lagi menggunakan perkhidmatan PBT dan Pejabat Daerah Dan Tanah untuk menjayakan majlis-majlis anjuran Kerajaan Negeri. Saya ingin mengetahui siapakah syarikat-syarikat swasta yang dilantik untuk menguruskan majlis-majlis Kerajaan Negeri dan berapakah jumlah yang dibayar kepada setiap syarikat?

Simpanan Kerajaan Negeri

17. Saya juga ingin menyentuh isu reserve atau simpanan Kerajaan Negeri yang dikhuatiri mulai merosot. Saya difahamkan simpanan akaun tunai Kerajaan Negeri berjumlah RM 800 juta telah menurun sedikit. Manakala nilai aset tetap Kerajaan Negeri pula mencatatkan RM 700 juta.

18. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengenalpasti aset-aset dalam bentuk bangunan untuk dijana bagi mendapatkan hasil atau pulangan kepada Kerajaan Negeri. Kaedah REIT (Real Estate Investment Trust) boleh meningkatkan nilai kepada aset-aset Kerajaan Negeri di mana Kerajaan Negeri boleh mendapat pulangan dalam bentuk tunai dan juga unit-unit saham di dalam REIT. Kerajaan Negeri juga akan memperolehi dividen yang biasanya akan dibayar sebanyak 4 kali setahun dan dividen yang diterima akan diberikan pelepasan cukai.

19. Kerajaan Negeri masih memiliki secara tidak langsung aset-aset yang dimasukkan dalam REIT.

20. Kaedah REIT ini sedang diteliti oleh PKNS dan Kerajaan Negeri boleh bersama-sama dalam usaha ini dan melihat keperluan untuk menggesa badan-badan berkanun seperti PKNS dan juga anak-anak syarikat Kerajaan Negeri untuk segera mengambil peluang ini.

21. Kelembapan ekonomi yang melanda Eropah dan Amerika Syarikat menuntut Kerajaan Negeri untuk bersiap sedia dengan pelan pembangunan fiskal dan kewangan yang akan memastikan rakyat negeri ini mampu mendepani kemungkinan tersebut.

22. Kerajaan Negeri perlu menghadapi kemungkinan situasi "double-dip recession" dengan menghentikan amalan perbelanjaan yang tidak berhemah dan mengukuhkan kadar simpanan.

23. Dalam pembentangan Bajet 2009, Kerajaan Negeri telah mengambil ketetapan bahawa Ketua-Ketua Eksekutif syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC) yang tidak dapat mengaut kembali kerugian akibat penyelewengan dan salahguna kuasa di bawah pentadbiran yang lama menghadapi kemungkinan dipecat.

24. Kerajaan Negeri harus menjelaskan kepada Dewan ini mengenai kedudukan kewangan kesemua syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC) serta prestasi Ketua-Ketua Eksekutif. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga perlu mengiktiraf sumbangan dan prestasi pengurusan baru PKNS dan PNSB yang cekap dan baik dan telah berjaya melonjakkan pendapatan syarikat dan sekaligus meningkatkan pendapatan kerajaan Negeri.

Hutang Talam dan Skim Mikrokredit

25. Dewan ini telah membincangkan dengan panjang lebar mengenai usaha Kerajaan Negeri untuk merealisasikan hutang Talam Corporation melalui kaedah "round tripping". Sasaran kerajaan untuk mengutip hampir RM 400 juta. Pinjaman bank yang dibuat oleh SIC dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri yang kemudiannya melaburkan semula dalam MBI untuk mencapai matlamat merealisasikan hutang Talam Corporation dalam akaun Kerajaan Negeri.

26. Saya ingin mengetahui sejauh mana kejayaan usaha Kerajaan Negeri untuk mengutip hutang dari Talam Corporation? Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mewajibkan Talam Corporation untuk mengambil tanggungjawab bersama mencari pembeli-pembeli untuk membeli hartanah-hartanah Talam Corporation ini pada harga pasaran semasa dan tidak hanya membebankan Kerajaan Negeri atau anak-anak syarikat Kerajaan Negeri sahaja untuk membeli hartanah-hartanah yang berkenaan.

27. Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa kutipan hutang yang pertama berjumlah RM 50 juta akan dimanfaatkan untuk Skim Mikrokredit bagi kepentingan peniaga-peniaga kecil di kalangan rakyat Selangor. Skim ini telah diumumkan lebih 4 bulan yang lalu namun perlaksanaannya masih kekal di atas kertas.

28. Saya ingin bertanya apakah status skim mikrokredit ini. Saya menuntut supaya perlaksanaannya disegerakan. Saya difahamkan bahawa pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) baru sahaja meluluskan nama skim ini. Apakah ini cara kerja dan bertindak oleh sebuah kerajaan yang berpegang teguh kepada prinsip reformasi dan ketelusan serta amalan urus tadbir yang cekap?

Saya tidak mahu Kerajaan Negeri mengikuti langkah dan amalan Kerajaan Persekutuan di mana setiap kali diwujudkan dana untuk program rakyat, maka terbentuklah satu lagi jabatan dengan pengurusan baru, perjawatan baru dan pejabat baru. Peruntukkan yang sepatutnya sampai kepada rakyat akan menguncup kerana kos operasi yang besar termasuk elaun pengarah dan pengurusan ubah suai pejabat dan pelbagai kemudahan lain. Inilah amalan birokrasi dan pembaziran yang perlu dihentikan oleh Kerajaan Negeri.

29. Saya menggesa agar skim mikrokredit ini dilaksanakan dalam bulan ini juga dengan melantik bank pilihan Kerajaan Negeri untuk menguruskan dana yang kemudiannya menyalurkan peruntukan ini terus kepada Pejabat - Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Negeri Selangor supaya kemudahan ini dapat dinikmati oleh rakyat dengan mudah dan cepat. Kerajaan Negeri harus memberikan kepercayaan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang cukup terlatih dan mempunyai keupayaan untuk menjayakan program ini.

30. Saya ingin mencadangkan supaya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) diberikan tanggungjawab untuk menyelia program ini tanpa perlu diwujudkan lagi jabatan baru dengan birokrasi tambahan. Kerajaan Negeri hanya perlu menetapkan mekanisma penyaluran skim ini tetapi kita menggunakan jentera pentadbiran yang sedia ada untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Kerajaan Negeri telahpun berjaya melaksanakan program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tanpa kerenah birokrasi tambahan.

31. Penjimatan melalui ketegasan Kerajaan Negeri ini dapat mengurangkan perbelanjaan luar jangka dan akhirnya dapat mengurangkan peruntukkan perbekalan tambahan yang terlalu kerap dipohon oleh Kerajaan Negeri.

Program Air Percuma

32. Saya ingin menyentuh persoalan penyusutan simpanan akaun tunai Kerajaan Negeri yang difahamkan akibat pinjaman mudah kepada KDEB untuk menampung kos program air percuma yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri untuk semua rakyat Negeri Selangor.

33. Dewan ini difahamkan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan menanggung beban kos untuk memberikan air percuma 20 m3 kepada setiap pengguna di Negeri Selangor. Keputusan Kerajaan Negeri ialah keuntungan yang diperolehi oleh KDEB melalui pemilikan saham KPS dalam SYABAS (15 %), SPLASH (30 %) dan ABBAS (100 %) perlulah dikembalikan kepada rakyat Selangor melalui program pemberian air percuma 20m3.

34. Saya ingin bertanya kepada Kerajaan Negeri berapakah jumlah keuntungan yang diperolehi oleh KDEB dalam tahun 2008 dan 2009 melalui pemilikan saham dalam syarikat-syarikat konsesi air Selangor ?

35. Mengapa Kerajaan Negeri memberikan pinjaman mudah kepada KDEB sedangkan KDEB adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam urusan air di Selangor?

36. Apakah KDEB telah membayar balik pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dan jika sudah dibayar; apakah jumlah yang sudah dibayar balik ?

37. Sekiranya Kerajaan Negeri yang mengeluarkan pinjaman kepada KDEB untuk menjayakan program air percuma untuk rakyat Selangor, mengapa cop di atas bil air tertera nama KDEB dan bukannya ihsan Kerajaan Negeri Selangor?

38. Perbekalan tambahan mencatatkan, sejumlah RM74 juta untuk meneruskan program air percuma termasuk RM 19 juta untuk rakyat miskin dan berpendapatan rendah yang tinggal di Rumah Awam Kos Rendah (RKR). Manakala untuk bukan RKR mencatatkan RM 7 juta, Kerajaan Negeri juga ingin pohon tambahan sejumlah RM 48 juta atau RM 12 juta sebulan untuk 4 bulan lagi sehingga Disember 2010.

39. Semenjak program air percuma ini dilancarkan oleh Kerajaan Negeri, Dewan ini telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM 269 juta. Malangnya, yang mendapat faedah daripada program ini bukan golongan miskin dan berpendapatan rendah kerana masalah birokrasi yang melampau sehingga menggagalkan program ini untuk pemilik dan penghuni rumah-rumah pangsa.

40. Hari ini, Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah memulakan langkah yang lebih proaktif dengan mengeluarkan kupon untuk mendapatkan air percuma bagi penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah. Saya berharap program ini akan meliputi semua rumah pangsa dalam Negeri Selangor tanpa perlu menunggu pilot project.

41. Dalam sesi yang lepas, Dewan telahpun meluluskan perbekalan tambahan untuk tujuan yang sama berjumlah RM 69 juta dengan harapan masalah air ini boleh diselesaikan sebelum bulan September 2010. Namun, hari ini Dewan pohon lagi peruntukan tambahan bagi meneruskan program untuk kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

42. Persoalan saya ialah apakah status penstrukturan air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan? Apakah status cadangan pengambil alihan syarikat - syarikat konsensi air oleh Kerajaan Negeri ?

43. Saya difahamkan Kerajaan Negeri telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian tetapi masih ada pihak yang cuba menggagalkan usaha murni ini. Justeru itu, saya mendesak Kerajaan Negeri supaya mendedahkan dalam Dewan ini semua dokumen dan surat menyurat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjustifikasikan perbekalan tambahan ini ekoran kedegilan pihak Kerajaan Persekutuan yang mengamalkan dasar flip flop termasuk penstrukuturan industri air di Negeri Selangor.

44. Media hari ini melaporkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang antara lain menyebut situasi air di Selangor kritikal dan Selangor menghadapi krisis air. Muhyiddin Yassin juga menuduh Menteri Besar tidak tahu mengurus Kerajaan Negeri dan mendakwa Kerajaan Negeri Selangor mengalami defisit yang besar. Ini adalah satu tuduhan yang jahat dan bersifat mala fide.

45. Pendekatan yang diambil oleh Menteri Besar adalah untuk mempertahankan hak rakyat Negeri Selangor manakala jelas pemimpin UMNO mempertahankan kroni-kroni mereka termasuk SYABAS yang sedang menghadapi masalah kewangan yang serius.

46. Kenyataan yang perlu dipelajari oleh Muhyiddin daripada Menteri Besar ialah pengurusan kewangan yang telus dan berhemah demi kesejahteraan rakyat. Walaupun Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 120 juta setahun untuk Program Air Percuma, Kerajaan Negeri Selangor masih berupaya mengurus bajet berimbang.

47. Muhyiddin bertanggungjawab untuk menjawab persoalan rakyat mengapa Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional di peringkat Pusat dan Negeri sebelum Mac 2008 telah bersetuju menandatangani perjanjian konsesi air dengan SYABAS dan membenarkan tarif air melonjak naik kepada 37 % dalam tahun 2008 dan tambahan 25% pada tahun 2011 serta 15% untuk 2014 dan 10% untuk setiap 3 tahun berikutnya. Pastinya perjanjian ini membebankan rakyat terbanyak dan memberikan keuntungan melampau kepada kroni UMNO dan Barisan Nasional.

48. Muhyiddin juga bertanggungjawab untuk menjelaskan mengapa Kerajaan Persekutuan memberikan pinjaman mudah tanpa faedah berjumlah RM 320 juta untuk tempoh 20 tahun yang akhirnya akan membebankan Kerajaan dengan pembayaran faedah kepada bank dan pemegang bon berjumlah RM 240 juta.

49. Jelas, Kerajaan Persekutuan mempunyai motif politik yang jahat untuk menghukum rakyat Negeri Selangor dan meneruskan agenda untuk memunggah Kekayaan dan khazanah negara untuk kroni-kroni mereka.

50. Kepimpinan Muhyiddin selaku Menteri Besar Johor pada satu ketika dahulu telah meninggalkan padah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Johor dengan kadar tarif air yang tertinggi di dalam negara.

Perbekalan Tambahan Untuk Pembangunan

51. Kerajaan juga ingin memohon kelulusan perbekalan tambahan untuk pembangunan sejumlah RM 7 juta bagi tahun 2010 untuk membina jalan di Bukit Beruntung yang menelan kos keseluruhan RM 20 juta. Saya difahamkan jalan ini sepatutnya dibina oleh Talam Corporation yang sekali lagi gagal menyempurnakan tanggungjawab dan mengkhianati pembeli-pembeli rumah di Bukit Beruntung. Masalah CF telah berlarutan terlalu lama akibat kegagalan menyiapkan jalan ini.

52. Untuk menjaga kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina jalan ini dan akan menuntut semula dari Talam Corporation. Untuk memastikan Talam Corporation membayar balik kepada Kerajaan Negeri kos pembinaan jalan ini, saya menggesa supaya Kerajaan Negeri dan Jabatan Kerja Raya bertegas dalam perjanjian dengan Talam Corporation termasuk kontra dengan aset dan hartanah yang dipegang oleh Kerajaan Negeri.

53. Saya tidak melihat dalam peruntukan perbekalan tambahan ini sebarang usaha untuk menurap jalan-jalan di seluruh kawasan pentadbiran PBT dan juga masalah kutipan sampah yang menghantui rakyat Negeri Selangor.

54. Saya pernah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri melihat permasalahan ini secara serius termasuk menggesa PBT yang mempunyai simpanan yang besar supaya mencairkan sebahagian daripada aset dan simpanan tetap untuk menangani masalah ini.

Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai

55. Sehingga Disember 2009, sebanyak 141 projek perumahan terbengkalai yang terpaksa diwarisi oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat ekoran kecuaian Kerajaan Negeri yang terdahulu. Projek-projek ini melibatkan 10,000 unit rumah dan memerlukan RM 5 bilion untuk dipulihkan. Justeru itu, perumahan terbengkalai harus dipulihkan secara serius menerusi langkah yang proaktif dan tidak dibelenggu dengan birokrasi.

56. Ketidakpuasan hati rakyat menuntut Kerajaan Negeri bertindak segera dengan menubuhkan "one stop centre" bagi menyelaras dan mempercepatkan kelulusan dengan syarat-syarat ketat ke atas pemaju-pemaju untuk menyiapkan projek-projek tersebut.

57. Sekretariat perlu ditubuhkan untuk menyalurkan "seed fund" yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 5 juta kepada pemaju-pemaju yang terpilih melalui proses yang telus dan juga berperanan memantau dan memastikan komitmen ini dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat.

58. Justeru itu, terma rujukan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) diperluaskan untuk memberi bidang kuasa bagi sebarang tindakan proaktif termasuk mendapat nasihat daripada pihak-pihak berkaitan bagi tujuan menyelaraskan perbincangan dengan kesemua stakeholders untuk mencapai persetujuan.

Penswastaan Penyeragaman Sistem Kutipan Letak Kereta

59. Kerajaan Negeri perlu memastikan bahawa sebarang perjanjian atau konsesi akan memberi pulangan yang sewajarnya melalui prinsip "value for money".

60. Monopoli yang bertujuan mengaut kekayaan negeri dan berlegar di kalangan dua tiga kerat adalah sistem UMNO-BN yang lapuk bagi meneruskan sistem ‘patronage’ dan "rent-seeking".

61. Suasa Efektif ( M ) Sdn Bhd dan Syarikat Godell Parking Sdn. Bhd adalah dua buah syarikat konsesi yang melaksanakan sistem Kutipan Hasil Tempat Letak Kereta untuk tempoh konsesi selama 20 tahun dengan PBT.

62. Saya difahamkan syarikat-syarikat konsesi ini gagal membuat pembayaran sewa tempat letak kereta kepada PBT-PBT mengikut perjanjian. Sebagai contoh, tunggakan Suasa Efektif kepada MPK sudah mencecah RM1.1 juta, tunggakan kepada MPS berjumlah RM 1.3 juta, kepada MPAJ sudah mencecah hampir RM 400,000 dan MPKj berjumlah hampir RM 135,000. Manakala, Syarikat Godell gagal melunaskan tunggakan kepada MBPJ berjumlah RM 1.8 juta. Siapakah di belakang syarikat-syarikat ini? Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan tegas ke atas syarikat-syarikat kroni UMNO dan Barisan Nasional.

63. Kegagalan (PBT) mendapatkan pembayaran kutipan kompaun akan menjejaskan sistem perkhidmatan dan akan membebankan rakyat. PBT harus memaksimumkan "earning potential" untuk memastikan "public service delivery" yang cekap.

64. Perjanjian syarikat konsesi juga berat sebelah. MPAJ hanya mendapat 30 peratus manakala baki 70 peratus kutipan kompaun dan pembayaran tempat letak kereta dimiliki oleh Suasa Efektif. Adakah ini merupakan tindakan komersil yang adil kepada PBT?

Pencabulan Perlembagaan Oleh Kerajaan Persekutuan

65. Saya difahamkan usaha Kerajaan Negeri untuk menimbangkan permohonan atau cadangan untuk menukar syarat tempoh pajakan (leasehold) kepada hakmilik selama-lamanya (freehold) tergendala ekoran pencabulan undang-undang oleh Kerajaan Persekutuan. Saya difahamkam Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang bersidang pada bulan Disember 2008 telah cuba mencampuri urusan penganugerahan tanah oleh Kerajaan Negeri atas alasan untuk tujuan penyeragaman.

Kerajaan Persekutuan juga mengambil peranan untuk memberikan definasi kes-kes khas yang melibatkan permohonan untuk kelulusan tukar syarat tanah daripada leasehold kepada freehold.

66. Saya dapat menghidu tindakan Kerajaan Persekutuan ini adalah mala fide dan bermotifkan politik ekoran tindakan Menteri Besar Perak yang sah, Mohd Nizar Jamaluddin menganugerahkan lebih 100,000 lot tanah-tanah Kampung Tersusun kepada orang-orang Melayu manakala 40,000 lot tanah-tanah di kampung-kampung baru Cina untuk orang-orang Cina dan juga kelulusan untuk tanah-tanah bagi kepentingan orang-orang India di Perak. UMNO cemas dengan dasar Pakatan Rakyat yang adil dan telus. Mereka menggunakan Majlis Tanah Negara untuk merampas kuasa Kerajaan Negeri.

67. Saya ingin menggesa supaya Kerajaan Negeri segera meneliti keputusan Majlis Tanah Negara ini dan mencabar keabsahannya di mahkamah demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Pengiktirafan Kepimpinan

68. Bagi pihak Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Selangor saya ingin menzahirkan sokongan padu kepada pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Abdul Khalid Bin Ibrahim.

69. Teman-teman Ahli Dewan Negeri akan mempertahankan hak dan hasrat rakyat untuk melihat perubahan.

70. Saya yakin prinsip - prinsip yang didukung oleh YAB telah menjadi asas kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor semenjak Mac 2008. Kebijakan yang digarap pastinya demi mengangkat urus tadbir yang baik, keterbukaan, ketelusan serta meraikan prinsip dan amalan demokrasi.

71. Dasar dan agenda reformasi yang saya ungkapkan di atas ini telah mendorong memacu pertumbuhan ekonomi, teknologi dan inovasi demi kesejahteraan rakyat Negeri selangor.

72. Apa yang tidak dapat disangkal; program – program tersebut memenuhi maksud Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor yang turut menjana keharmonian sosial dalam Negeri. Tidaklah saya berlebihan untuk menyatakan Negeri Selangor adalah model kepada keharmonian dan kerukunan sosial dalam negara.

73. Atas kesedaran ini dan semangat "team work"; marilah kita berpadu tenaga untuk terus mendokong kepimpinan Menteri Besar dan dasar-dasar Kerajaan Negeri yang menjamin kesejahteraan untuk semua rakyat Negeri Selangor.

Tenang-tenang air laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Tetap setia pasti dijunjung.
------------------
*Teks perbahasan DUN Selangor, oleh Mohamed Azmin Ali selaku Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa.

No comments

Powered by Blogger.