42 pelajar alami keracunan makanan selepas bersahur di Bachok

KOTA BARU, 2 Sept — Seramai 42 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana, Bachok mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati makanan ketika bersahur pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Kelantan berkata kesemua mereka yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima di asrama sekolah berkenaan, mengalami cirit-birit dan muntah-muntah sejurus selepas bersahur, dan mereka kemudiannya dibawa ke dua hospital di sini secara berperingkat.

Beliau berkata 13 pelajar dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan bakinya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Hanya tiga pelajar sahaja yang masih ditahan di HRPZII berikutan dua daripada mereka menghidap gastrik dan seorang lagi mengalami tekanan darah rendah manakala yang lain diberikan rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya ekoran kejadian itu Jabatan Pelajaran Negeri menggantung perkhidmatan di kantin sekolah berkenaan buat sementara, dan sedang menunggu laporan lengkap daripada pengurusan sekolah berhubung kes itu.

Sementara itu jurucakap HRPZII ketika dihubungi berkata pelajar terakhir yang dihantar ke hospital itu adalah pada pukul 6.45 petang semalam. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.