Dr M tetap sokong Perkasa meskipun Umno pimpinan Najib mula sisih

KUALA LUMPUR, 10 Sept - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka terus menyatakan sokongan beliau kepada Perkasa ketika Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak semakin menjauhkan diri daripada pertubuhan bukan kerajaan itu.

Pendirian Dr Mahathir ini disiarkan oleh New Straits Times hari ini, dua hari selepas Umno secara terbuka mengisytiharkan ia tidak menyokong pertubuhan bukan kerajaan Melayu pimpinan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

Dr Mahathir, yang dilihat sebagai ‘orang kuat’ Perkasa, telah merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu Mac lalu.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa Najib telah meminta pemimpin-pemimpin Umno agar tidak menyatakan sokongan kepada Perkasa.

Semalam, dalam kenyataan terbuka Ibrahim berkata, Perkasa pimpinannya tidak memerlukan sokongan Umno termasuk jika pihaknya bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

“Perkasa, NGO tidak memerlukan sokongan Umno atau mana-mana parti politik.

“Cuma (kami) memerlukan sokongan semua ahli seluruh negara dan rakyat biasa yang menyokong perjuangan Perkasa,” kata beliau.

Sehari sebelum itu bekas ahli Umno itu membidas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya berminat untuk mendapatkan undi masyarakat Cina berbanding orang Melayu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Tengku Adnan menegaskan, partinya tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan Perkasa pimpinan Ibrahim.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

“Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

“Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi,” katanya lagi.

Sebelum ini Perkasa pernah mengatakan bahawa sesiapa yang memusuhi pertubuhan ini tidak akan menerima sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir merupakan penaung Perkasa yang dilihat mewakili pandangan kumpulan konservatif dalam Umno, yang menentang pendekatan Najib melakukan pembaharuan ekonomi atas alasan ia akan menghakis kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

“Ahli Perkasa adalah penyokong Umno. Tindakan mengetepikan mereka tidak akan membantu perjuangan Umno,” kata Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.

Dr Mahathir memberitahu akhbar dikuasai Umno bahawa parti itu tidak wajar menjauhkan dirinya daripada kumpulan bukan kerajaaan Melayu seperti Perkasa yang ditubuhkan atas alasan Umno gagal melakukan yang terbaik demi kepentingan orang Melayu.

Ketika Najib sedar akan risiko, beliau dikatakan sedang mempertimbangkan kemungkinan memanggil pilihan raya awal sementara pentadbirannya dijangka berhadapan dengan iklim ekonomi yang tidak menentu.

Tindakan beliau menjauhkan Umno daripada Perkasa dilihat sebagai satu petanda bahawa pilihan raya umum tidak mungkin diadakan dalam waktu terdekat.

Najib disebut-sebut sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh enam bulan ini.

Bagaimanapun Dr Mahathir dan Perkasa dilihat merumitkan strategi Najib.

Najib juga dikatakan sedar akan nasib yang dilalui perdana menteri terdahulu Tun Abdullah Badawi selepas Dr Mahathir secara terbuka menentang kepimpinannya, sekali gus Umno-BN menyaksikan prestasi paling buruk dalam sejarahnya pada Mac 2008.

Abdullah ‘dipaksa’ meninggalkan jawatan awal tahun lalu.

No comments

Powered by Blogger.