Keluarga Sosilawati berharap jutawan muncul selamat menjelang Syawal

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ketika orang Islam bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri esok, bagi keluarga Datuk Sosilawati Lawiya yang hilang sejak 10 hari lalu, sambutan tahun ini tidak bermakna selagi tidak bertemu dengan jutawan kosmetik itu.

Menurut anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, tiada persiapan secara besar-besaran dibuat menyambut Aidilfitri tahun ini.

“Persiapan Aidilfitri tahun ini ala kadar sahaja kerana kami masih lagi bersedih dan menantikan perkembangan terbaru ibu.

“Saya dan adik-beradik berharap sempena Aidilfitri esok ibu dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru misteri kehilangan ibunya, Erni berkata setakat ini masih tiada perkembangan terbaru.

“Kami adik-beradik serah kepada polis untuk menyiasat perkara ini,” katanya.

Sosilawati, 47, yang juga bekas isteri penyanyi Nash dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.

Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners dari Putrajaya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan pemandu peribadi Sosilawati Kamaruddin Shansuddin, 44.

Polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lepas.

Terdahulu, polis mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes Sosilawati.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.

“Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.

“Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.