Isu Felda: PAS minta polis siasat Najib hina mahkamah

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 2 Sept — PAS membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ucapannya yang didakwa mengandungi unsur-unsur yang menghina Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan kes saman peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan.

Laporan polis dibuat oleh Yang Dipertua PAS Jempol Abdul Rahman Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Dang Wangi kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

Selain Najib, turut dinamakan dalam laporan polis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Nor.

Turut mengiringi Abdul Rahman ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkifli dan empat wakil peneroka dari Felda Serting, Jempol.

Dalam laporan itu, Abd Rahman mendakwa Najib telah membuat ucapan tersebut ketika program berbuka puasa dengan peneroka Felda Gugusan Serting, Negeri Sembilan pada 26 Ogos lalu di Masjid Seri Jempol.

Beliau mendakwa Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan Mahkamah Pesekutuan itu adalah disebabkan ketidakhadiran peguam yang mewakili Felda dan bukan sebab penipuan.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan rayuan Felda terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baru pada 13 Januari 2008.

Dengan keputusan itu, Felda akan menyerahkan wang penghakiman berjumlah RM11 juta (termasuk faedah) seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Baru kepada 354 peneroka Felda Kemahang 3 kerana menipu berhubung gred buah kelapa sawit.

Abdul Rahman juga mendakwa Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno dan Yusof telah menghina keputusan Mahkamah Rayuan selain mencemarkan nama baik hakim yang terbabit dalam membuat keputusan yang memihak kepada peneroka Felda Kemahang 3.

Justeru, Abd Rahman mahu polis agar menyiasat ketiga-tiga individu tersebut berasaskan peruntukan undang-undang dan mendakwa mereka segera ke muka keadilan.

Ahmad sebelum ini juga dilaporkan sebagai berkata kekalahan Felda dalam kes tersebut bukan disebabkan wujudnya penipuan tetapi adalah ketidakhadiran peguam di mahkamah.

Sementara itu, Salahuddin berkata isu membabitkan penipuan dan penyelewengan yang berlaku merupakan satu isu yang besar dan peneroka harus mendapatkan keadilan.

“Isu ini merupakan satu kes yang berprofil tinggi dan kita dapati melalui kajian yang dibuat apa yang berlaku (penipuan) adalah benar dan bukan direka.

“Sebagai contoh kita ambil kes di Felda Kemahang 3, memang berlaku penipuan dan lepas ini lebih banyak kes akan dibongkarkan,” katanya di pekarangan IPD Dang Wangi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak) berkata pihak polis patut mengambil berat akan laporan polis yang dibuat Abd Rahman.

“Ini adalah satu penghinaan terhadap institusi kehakiman dan kita mahu polis menyiasat secara terperinci akan perkara ini,” katanya.

Tindak ditubuhkan untuk membawa isu-isu berkaitan dengan Felda secara lebih sistematik dan menyeluruh — perkembangan yang dilihat sebagai langkah susulan parti itu mahu semakin dengan dekat dengan peneroka-peneroka Felda.

No comments

Powered by Blogger.