Mahasiswa berpolitik: Saifuddin terima memo Pemuda PAS

Oleh G. Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra

PUTRAJAYA, 2 Sept — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menerima memorandum daripada Dewan Pemuda PAS berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik.

“Tadi saya menerima memorandum daripada Ketua Pemuda PAS tentang mahasiswa dan politik, tiada perbincangan. Beliau menyerahkan memorandum,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Pertemuan itu berlangsung di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, Saifuddin berkata beliau akan berbincang dengan Pemuda PAS dan Gerakan berhubung soal sama ada dibolehkan pelajar institusi pengajian tinggi aktif dalam politik.

Jumaat lalu beliau menjelaskan kepada Majlis Tertinggi Umno mengenai idea itu, yang membolehkan mahasiswa dan pensyarah menyertai politik secara aktif.

Beliau berkata ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan terbaik daripada pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu diputuskan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri sangat terbuka dengan perkara ini, maknanya ia masih lagi boleh dibincangkan antara pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju,” katanya awal minggu ini.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Al-Tantawi berkata, pihaknya menyerahkan memorandum supaya Saifuddin dapat membawa isu mahasiswa berpolitik ke peringkat lebih tinggi.

“Kita berharap agar beliau (Saifuddin) boleh bawa isu ini ke peringkat lebih tinggi sama ada di Kabinet atau mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata beberapa aspek utama ditekankan dalam memorandum yang diserahkan kepada Saifuddin di Putrajaya pagi tadi.

“Dalam memorandum itu kita mahu agar mahasiswa ini dibebaskan dan dibenarkan berpolitik termasuk menyertai mana-mana parti politik.

“Kita juga mahu supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kerana selama ini ia telah dijadikan alat untuk menyekat kebebasan mahasiswa berpolitik.

“Selain itu, kita juga mahu supaya mahasiswa ini dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik,” katanya lagi.

Nasrudin berkata tindakan menghalang mahasiswa daripada terlibat dalam politik seolah-olah menyekat kebebasan mereka sebagai pengundi.

“Mereka (mahasiswa) ada hak untuk mengundi, jadi kenapa perlu halang?

“Adakah kita mahu melahirkan bakal pemimpin yang mandul tentang perkembangan politik?,” soalnya.

No comments

Powered by Blogger.