Isu Kepimpinan Terus Menghantui Gerakan Pulau Pinang

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Tindakan sekumpulan anggota peringkat akar umbi Gerakan, yang menggelarkan diri mereka sebagai "Suara Akar Umbi", memanggil mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Okt untuk menyingkirkan pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang dilantik, Datuk Teng Hock Nan, bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Bagi kebanyakan pemerhati politik di Pulau Pinang, EGM pertama dalam sejarah Gerakan itu untuk menyingkirkan seorang pemimpin yang dipilih, merupakan kemuncak kepada isu serta perasaan kecewa yang terhimpun sejak sebelum Pilihan Raya Umum 2008 lagi.

Ia bermula dengan siapakah yang akan menyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon melepaskan teraju kepimpinan negeri itu untuk bertanding kerusi Parlimen.

Sebagai pemimpin tertinggi parti, adalah suatu yang lumrah bagi Dr Koh untuk melangkah ke arena politik di peringkat nasional.

Malangnya, perbalahan tentang siapa yang sepatutnya menggantikan beliau daripada kalangan tiga calon berpotensi -- Datuk Dr Teng Hock Nan, Datuk Seri Chia Kwang Chye dan Teng Chang Yeow -- serta ketiadaan keputusan muktamad tentang perkara itu, telah mengundang keadaan parah bagi parti tersebut apabila ia kehilangan kubu kuasanya di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum 2008.

Merujuk kepada EGM yang dicadangkan itu, seorang anggota Gerakan berkata isu yang telah lama berlarutan melibatkan Dr Teng, Chang Yeow dan Chia, yang juga digelar sebagai "Three Musketeers", telah timbul kembali.

Kata beliau sebenarnya kepimpinan tertinggi Gerakan mempunyai peluang untuk menyelesaikan perkara itu melalui pemilihan parti peringkat negeri pada September 2008 apabila Chang Yeow dan beberapa pemimpin lain menyokong Chia menjadi pengerusi Gerakan Pulau Pinang.

"Ketika itu, para pemimpin peringkat nasional sepatutnya telah masuk campur dan mengusahakan penyelesaian secara baik dengan memujuk Dr Teng (Hock Nan) supaya membenarkan Chia menjadi pengerusi negeri dan bukan membiarkan beliau bertanding untuk jawatan itu. Lagipun, seorang pemimpin lain, Chang Yeow telah bersetuju menerima kepimpinan Chia.

Sepatutnya, mereka meyakinkan Dr Teng supaya beliau melangkah ke arena politik di peringkat nasional. Sayangnya, ini tidak dilakukan," kata seorang anggota parti itu.

Dr Teng mencapai kejayaan tipis dalam pemilihan parti di peringkat negeri yang amat sengit dengan mengatasi Chia dengan hanya 10 undi.

Untuk seketika, kemelut yang melanda parti berkenaan kelihatan reda selepas pemilihan itu. Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi lebih buruk apabila Hock Nan dituduh meletakkan penyokongnya sebagai penyelaras kawasan pilihan raya untuk kerusi negeri dan Parlimen hingga menyebabkan Gerakan mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum 2008.

Ini menimbulkan kemarahan anggota parti itu di kawasan Parlimen yang dikuasai beberapa pemimpin Gerakan di Seberang Perai dan sesetengah ketua bahagian dan negeri mendakwa mereka tidak diajak berbincang tentang perkara berkenaan.

"Kawasan di bahagian tanah besar kebanyakannya dikuasai naib pengerusi Gerakan ketika itu Huan Cheng Guan, tetapi Dr Teng membuat keputusan meletakkan orangnya (sebagai penyelaras) tanpa berbincang dengan beliau dan ini menimbulkan kemarahan. Perkara ini membawa kepada konfrontasi antara kedua-dua mereka," kata seorang pemimpin akar umbi di Pulau Pinang yang enggan dikenali.

Konfrontasi itu mencapai kemuncaknya apabila Gerakan membuat keputusan menggantung Huan selama tiga tahun berikutan perbuatannya melemparkan kritikan tajam terhadap Dr Teng. Akhirnya, Huan meninggalkan parti itu sebulan kemudian, walaupun beliau adalah antara tiga naib pengerusi yang dilantik oleh pucuk pimpinan kebangsaan.

Terdapat cakap-cakap bahawa Huan, yang kini menyandang jawatan naib presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), bekerja di belakang tabir bersama beberapa pemimpin Gerakan untuk menyingkirkan Dr Teng.

"Jika anda lihat senarai 67 mereka yang meminta EGM itu diadakan, kebanyakan mereka adalah orang Huan. Ini tidak memeranjatkan kerana Huan sememangnya diketahui mempunyai perhitungan yang perlu diselesaikan dengan Dr Teng. Jangan pandang ringan pengaruhnya dalam parti walaupun beliau tidak lagi bersama Gerakan," kata seorang lagi pemimpin peringkat akar umbi dari Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Huan menafikan sekeras-kerasnya beliau terlibat dengan perkara itu.

Beberapa anggota parti itu berkata hubungan Chang Yeow dan Dr Teng tidak begitu baik selepas Pilihan Raya Umum 2008 kerana berbeza pendapat tentang arah tuju Gerakan negeri.

Kata mereka Chang Yeow berpendapat bahawa sebagai pemimpin, beliau perlu diberi peluang bertanding di kerusi selamat pada pilihan raya umum akan datang, tetapi Dr Teng pula berpendirian bahawa seseorang yang ingin menjadi pemimpin perlu membuktikan kebolehannya dengan bertanding di kawasan yang mencabar.

"Mereka sering bertelagah dalam mesyuarat CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) dan malah dalam mesyuarat CC (Jawatankuasa Pusat). Ini bukan rahsia lagi," kata seorang anggota parti.

Chia dan Chang Yeow juga menafikan mereka memainkan peranan di sebalik usaha menjatuhkan Dr Teng melalui EGM yng dicadangkan itu.

Dr Sivamurugan Pandian, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata sejak Pilihan Raya Umum 2008, Gerakan tidak memainkan peranannya sebagai Pembangkang di Pulau Pinang akibat dibelenggu masalah dalaman.

"Ini sepatutnya membuka mata semua pihak dalam parti itu, yang masih terlibat dengan perbalahan dalaman. Mereka perlu menyusun semula strategi tentang bagaimana untuk menjadi Pembangkang dan bukan bergaduh tentang siapa yang patut mengetuai peperangan," katanya.

Beliau mengaitkan percakaran yang berlaku dalam Gerakan Pulau Pinang dengan ketiadaan tumpuan oleh kepimpinan parti di peringkat kebangsaan terhadap masalah itu berikutan prestasi buruk parti berkenaan pada pilihan raya umum lepas.

"Pangkalan Gerakan masih di Pulau Pinang. Parti ini tidak boleh berpindah dari Pulau Pinang walaupun ia kelihatan lebih kuat di Johor dan Sabah kebelakanggan ini," kata Dr Sivamurugan, sambil menambah bahawa para pemimpin Gerakan di peringkat nasional tidak mempunyai pilihan selain melakukan campur tangan di Pulau Pinang.

Beliau berpendapat sekiranya EGM yang dicadangkan itu diadakan, ia akan menjerumuskan parti berkenaan ke dalam keadaan yang lebih parah berbanding keadaan tidak lama selepas Pilihan Raya Umum 2008.

"Dr Koh perlu menyelesaikannya. Sekiranya EGM itu diadakan dan Dr Teng tersingkir, bagaimanakah untuk memulihkan keadaan dalam parti ini? Sekiranya anggota yang mahukan EGM itu diadakan tidak mencapai niat mereka, adakah mereka akan terus kekal bersama parti ini? Perebutan kuasa dalam Gerakan Pulau Pinang perlu diselesaikan dengan secepat mungkin dan antara punca kekalahan parti ini pada pilihan Raya Umum Mac 2008 ialah perbalahan tentang siapakah yang sepatutnya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selepas itu," kata beliau.

Beberapa anggota parti berpendapat Dr Koh sepatutnya telah bertindak pantas menggantung seluruh anggota jawatankuasa Gerakan Pulau Pinang sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

"Masalahnya ialah beliau (Dr Koh) terlalu berhati-hati," kata seorang bekas anggota CC parti itu dan menambah bahawa jika di bawah kepimpinan Tun Dr Lim Keng Yaik, keseluruhan anggota jawatankuasa Gerakan Pulau Pinang sudahpun digantung dan diletakkan di bawah jawatankuasa penjaga sehinggalah semua isu diselesaikan seperti yang beliau lakukan di Johor dan Melaka.

Bagaimanapun, penganalisis politik veteran Datuk Cheah See Kian berpendapat usaha menyingkirkan Dr Teng hanya bermula beberapa bulan lepas dan tidak mempunyai kaitan dengan perbalahan yang melanda parti itu sejak 2008.

Cheah berkata beliau percaya perebutan sebenarnya berlaku antara anggota Gerakan di bahagian pulau dan tanah besar.

Anggota di bahagian tanah besar tidak berpuas hati dengan Dr Teng kerana berpendapat kebanyakan kegiatan parti itu di Pulau Pinang hanya bertumpu di bahagian pulau.

Kumpulan itu juga mendakwa mereka tidak tahu tentang perancangan Dr Teng untuk menawan semula Pulau Pinang walaupun beliau telah menerajui Gerakan di negeri itu sejak dua tahun lepas.

Dr Teng sering berpendapat bahawa tindakan proksi Dr Koh, yang baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa Gerakan tidak mempunyai peluang untuk menawan kembali Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang, bukan sahaja menimbulkan kemarahan anggota di bahagian tanah besar, tetapi juga di bahagian pulau.

Persoalannya ialah jika Dr Teng beredar, adakah Chia, bekas setiausaha agung Gerakan, akan kembali ke pangkuan parti itu? Chia dikatakan mempunyai banyak penyokong di Pulau Pinang. Setakat ini, mereka yang mahukan EGM berkenaan di adakan, tidak pernah menyebut siapa yang mereka mahu.

"Sekiranya Chia menolak, mungkin Chang Yeow akan mengambil alih. Tapi, Chang Yeow juga menyandang jawatan setiausaha agung. Beliau tidak boleh memegang dua jawatan serentak, melainkan dia melepaskan jawatan setiausaha agung," kata Cheah.

Kepimpinan Gerakan telah melantik sekumpulan orang tengah yang terdiri daripada naib-naib pengerusi Datuk Mah Siew Keong dan A.Kohilan, Ketua Pemuda Lim Si Pin dan anggota CC Datuk Gooi Hoe Hin untuk mencari penyelesaian secara baik di Pulau Pinang.

Sekiranya usaha mereka tidak berhasil, EGM berkenaan akan diadakan pada 10 Okt iaitu genap setahun selepas MCA mengadakan EGM yang menyaksikan bekas presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat, kalah melalui undi tidak percaya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.