Zamil Berdepan Risiko Muflis Gagal Jawab Surat Tuntutan Saman

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 22 Sept - Bekas Exco Angkatan Muda KEADILAN, Zamil Ibrahim berhadapan risiko diisytiharkan muflis oleh mahkamah selepas gagal hadir serta menyerahkan notis pembelaan berhubung saman malu yang difailkan Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali.

Tuntutan saman malu RM10 juta difailkan terhadap Utusan Malaysia dan editornya serta Zamil pada 20 Mei lalu ekoran daripada kata-kata fitnah yang dikeluarkan oleh beliau kononnya Dr Syed Husin telah menerima RM500,000 dari Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mana beliau adalah presiden dan kemudiannya menyertai KEADILAN.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memasukkan penghakiman terhadap Zamil atas saman malu yang telah difailkan oleh Dr Syed Husin terhadapnya.

Zamil didakwa seringkali membuat dakwaan yang tidak berasas ke atas parti serta pemimpinannya sejak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat(KEADILAN).

N Surendran, peguam yang mewakili Dr Syed Husin dari Tetuan Edwin Lim, Suren & Soh berkata, pihak pembelaan telah menyerahkan writ saman terhadap Zamil tetapi tidak ada sebarang jawapan balas dari beliau berhubung tuntutan tersebut.

"Mahkamah akan menetapkan jumlah yang perlu dibayar selepas Zamil ingkar dan gagal memasukkan kehadirannya berhubung saman tersebut.

"Mahkamah telah memerintahkan bahawa gantirugi yang perlu dibayar kepada Dr Syed Husin akan ditaksirkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi.

"Jika jumlah gantirugi tersebut besar, Zamil bakal berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis," ujar beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dr Syed Husin berkata artikel dalam Utusan Malaysia berjudul 'RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis' pada 6 Mac adalah berunsur fitnah.

Beliau mendakwa Zamil pada atau sebelum 6 Mac bercakap kepada seorang wartawan Utusan Malaysia, dan artikel berkenaan membayangkannya bersalah dengan kegiatan rasuah.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga mendakwa artikel berkenaan membawa maksud beliau telahmelakukan kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara.

Selain menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta serta ganti rugi teladan, Dr Sued Husin turut memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut kata-kata fitnah lisan dan libel yang serupa terhadapnya, kos dan relif lain dan/atau selanjutnya yang dianggap wajar dan saksama oleh mahkamah.

Sementara itu tuntutan Dr Syed Husin terhadap Utusan Malaysia dan editornya, Mohd Hassan Mohd Nor telah ditetapkan untuk pengurusan kepada 4 Oktober depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

No comments

Powered by Blogger.