Jeffrey: Pakatan tidak wajar lepaskan peluang ‘politik panas’ Sabah

Oleh Mae Onini

KOTA KINABALU, 4 Sept — Dengan perkembangan terbaru politik Sabah sekarang yang dianggap “panas” dan “menyeronokkan”, Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan membayangkan ia satu kelebihan yang tidak patut dilepaskan oleh Pakatan Rakyat (PR) untuk meraih lebih banyak sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Jika Parti Liberal Demokratik (LDP) keluar daripada BN, mereka sentiasa dialu-alukan untuk datang ke pangkuan Pakatan.

“Kita sentiasa ada tempat bagi mereka yang percaya kepada perjuangan Pakatan,” kata beliau.

Bagaimanapun semalam, LDP menafikan dakwaan akan keluar BN berikutan kenyataan timbalan presidennya mengenai kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (gambar) bulan lepas.

Presidennya Datuk Liew Vui Keong berkata parti itu akan kekal sebagai komponen BN dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami cuma berasakan sokongan terhadap BN semakin kurang di Sabah dan kami cuba memberitahu kerajaan, khususnya BN, agar berbuat sesuatu mengenainya.

“Apa yang kami mahu lakukan sekarang ialah cuba memenangi semula keyakinan rakyat di Sabah,” katanya.

Namun jelas Jeffrey, pintu PR sentiasa terbuka untuk perbincangan dengan LDP jika mereka berminat menyertainya, yang pasti akan memberi mereka banyak ruang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati.

Kata beliau, jika LDP tidak dapat berkhidmat kepada pengundi dan sukar berjuang dalam BN selain tiada cara lain untuk melakukannya, maka mereka harus keluar daripada gabungan itu.

Kata beliau, PR faham dengan kemelut yang dialami LDP itu dan sedia berjuang bersama-sama untuk menuntut keadilan.

Senario politik di Sabah sekarang, kata Jeffrey semakin cerah dan memberi peluang baik kepada PR untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13, bakal diadakan tidak lama lagi.

“Tidak kisah bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu adakan pilihan raya.

“Tahun ini, tahun depan atau sebelum 2012, yang pasti Sabah kini menjadi ‘medan tempur’ sengit untuk meraih lebih banyak sokongan daripada pengundi,” kata beliau dalam temu bual melalui telefon dengan The Malaysian Insider.

Kata beliau, kemenangan itu pasti kerana semakin banyak percakaran berlaku dalam komponen BN Sabah, semakin banyaklah perkara yang tidak elok dalam parti kerajaan itu akan didedahkan kepada umum secara tidak langsung.

“Tetapi janganlah pula salah sangka seolah-olah parti pembangkang suka kepada ketidakharmonian dalam negeri.

“Tidak. Tetapi apabila krisis seperti yang berlaku dalam LDP ini muncul, kita kena sedarkan rakyat bahawa mereka masih ada pilihan selain daripada kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Menurutnya, perbalahan antara LDP dan Umno Sabah mengenai isu patung Mazu dan kenyataan Timbalan Presiden LDP yang menyatakan enggan bekerjasama dengan Musa tetapi masih setia kepada BN dan kemudian peletakan jawatan Naib Presidennya, Datuk Peter Pang dalam parti — semuanya berlaku dalam masa seminggu — adalah sedikit daripada banyak lagi masalah yang berlaku dalam parti komponen BN Sabah.

Malah kata beliau, parti lain dalam komponen BN juga sebenarnya mengalami masalah yang sama seperti dialami LDP dengan Musa tetapi mereka enggan bersuara kerana takut disingkir.

Sentimen ini dikongsi oleh seorang pemimpin kanan sebuah parti Bumiputera dalam BN yang enggan namanya didedahkan dengan mengatakan bahawa rasa tidak puas hati LDP dan parti lain dalam komponen berpunca daripada Musa sendiri.

Sejak menjadi ketua menteri Sabah kira-kira tujuh tahun lalu, Musa kononnya didakwa membolot projek-projek negeri yang kemudian diberi kepada keluarga dan pengikutnya dalam Umno saja.

Pemimpin parti lain yang bukan Umno menyedari perkara itu tetapi lebih suka berdiam diri kerana menyedari natijah yang bakal mereka terima jika bising termasuk dituduh tiada semangat setiakawan dalam prinsip perkongsian kuasa BN seperti krisis di antara Upko-Umno baru-baru ini.

“Kami dalam parti pun amat terasa dengan keadaan ini tetapi kami diam saja kerana perjuangan kita ialah memberi pembangunan dan mengekalkan perpaduan kepada rakyat.

“Berbeza dengan perjuangan parti Cina yang mahu menjaga pembangunan ekonomi mereka hingga sanggup bergaduh jika tidak dapat projek kerajaan,” kata pemimpin kanan parti dalam komponen BN itu kepada Malaysian Insider.

Menurut Jeffrey, jelas sekali berlaku ketidakadilan dalam sistem perkongsian kuasa dalam BN Sabah.

“Apabila sesebuah parti mahu meluahkan rasa tidak puas hati tetapi luahan itu tidak dilayan, ia pasti menyinggung perasaan ahli yang percaya kepada perkongsian kuasa.

“Mereka akan mempersoalkan apa nilai mereka dalam komponen itu jika masalah yang mereka sampaikan tidak dipedulikan.

“Bolehkah mereka bertahan tanpa dimarah-marah dan akhirnya jika tidak berguna lagi, dibuang daripada gabungan itu?” katanya menjelaskan, perkongsian kuasa yang sepatutnya menjadi prinsip dalam BN Sabah, tidak diamalkan sepenuhnya oleh BN di negeri ini terutama oleh Umno yang lebih dominan.

Jeffrey percaya bahawa kedua-dua pihak BN dan LDP berkongsi masalah yang sama iaitu patung Mazu.

Mengenai peluang PKR untuk menang dalam pilihan raya akan datang, Jeffrey yakin kerana pelbagai isu utama yang masih menghantui kira-kira 3.5 juta penduduknya seperti pendatang tanpa izin, isu pemilikan tanah, kemiskinan dan rasuah masih tidak diselesaikan oleh pihak kerajaan.

Katanya, masalah silih berganti dalam BN di Sabah menjadi kelebihan kepada PKR di mana mereka kini memfokus dengan merapatkan diri dengan pengundi muda.

BN juga kata beliau, perlu menjawab isu-isu pemilikan tanah di Sabah yang mana ramai penduduk di pedalaman tiada bertanah dan ada yang tanah mereka dirampas oleh syarikat besar untuk dibuka secara besar-besaran.

“Geran yang diberi oleh Musa baru-baru ini kepada penduduk di pedalaman juga harus diperjelaskan dengan terperinci seperti adakah semua nama penduduk dimasukkan dalam geran itu atau sebaliknya,” katanya.

Kata beliau, kerajaan perlu telus melakukan tugasnya.

“Begitu juga dengan isu pembangunan yang walaupun Musa katakan banyak wang disalurkan untuk Sabah, penduduk di peringkat akar umbi sebenarnya tidak nampak hasil peruntukan itu.

“Dan, kita masih juga berada di negeri kedua paling miskin di Sabah,” kata Jeffrey.

No comments

Powered by Blogger.