Ismail perlu reformasikan PDRM

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mahu Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar mereformasikan segera Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ianya kerana PDRM kini dibelengu imej buruk di mata masyarakat terutamanya berhubung isu hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataan media, Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata Ismail perlu menerapkan kesemua cadangan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM dilaksanakan dengan segera.

"Bakal KPN Ismail Omar perlu memandang berat ketidakpatuhan kepada undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa di kalangan anggota polis seperti dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya DiRaja pada tahun 2005," katanya.

Suaram berkata statistik rasmi kerajaan menunjukkan bahawa seramai 183 orang telah mati akibat ditembak polis dari tahun 2007 hingga 2009.

Antara kes yang paling serius adalah kejadian menembak mati remaja berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah dan pemuda 18 tahun, Mohammad Afham Arin oleh polis.

"Suaram juga menyeru bakal KPN supaya mendedahkan kepada umum Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera selepas menjawat jawatan KPN agar anggota polis akan lebih bertanggungjawab apabila menggunakan senjata api," ujar Heng Lung.

Tambah Suaram, terdapat 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 2008.

Pada tahun 2009, seramai tujuh orang telah mati di dalam tahanan polis antara yang menjadi perhatian umum kematian A Kugan, R Gunasegaran dan Mohd Anuar Sharip.

Sehubungan itu badan itu menyeru Ismail untuk memastikan anggota polis mematuhi Akta Kaedah-kaedah Lokap (L.N.3289/1958)(4) supaya hak setiap Orang Kena Tahan (OKT) dihormati.

"Contoh lain pelanggaran hak asasi manusia yang serius boleh dilihat di dalam tindakan keras anggota polis terhadap peserta perhimpunan aman termasuk perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di mana seramai 589 orang termasuk kanak-kanak telah ditahan," katanya.

Suaram turut mengulangi gesaan supaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya DiRaja pada 2005 dilaksanakan dengan serta merta.

No comments

Powered by Blogger.