JPA tentukan nasib pengetua sekolah Johor, kata Muhyiddin

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

PUTRAJAYA, 2 Sept — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat keputusan ke atas pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Johor Siti Inshah Mansor yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajarnya dengan “secepat yang mungkin”, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya telah memindahkan kes itu ke JPA minggu lalu.

“Kami telah memindahkan kes ini kepada JPA dan kami berharap mereka akan membuat keputusan segera.

“Itu sebabnya, ia (kes itu) telah dipindahkan minggu lalu dan ketua pengarah JPA telah diminta membuat keputusan secepat mungkin,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Awal bulan lalu, pengetua tersebut dilaporkan membuat kenyataan bersifat menghina semasa perasmian sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah itu.

“Pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China atau sekolah Foon Yew. Kepada pelajar India, rantai keagamaan yang dipakai di leher dan tangan membuatkan mereka kelihatan seperti anjing kerana hanya anjing diikat sebegitu,” Siti Inshah dilaporkan berkata.

Sebelum ini Penolong Pengarah Pelajaran Negeri Markom Giran juga telah mengeluarkan kenyataan pengetua itu ‘direhatkan’ sementara menunggu tindakan disiplin.

Pada 20 Ogos lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementeriannya akan menjalankan siasatan mereka sendiri sebelum memutuskan nasib Siti Inshah.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom agar menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Kata beliau, tindakan disiplin ke atas pengetuia berkenaan akan diputuskan selepas laporan lengkap diterima.

Susulan kejadian itu, seorang pengetua sekolah rendah di Kedah juga didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap kira-kira 10 muridnya pertengahan bulan lalu, tetapi beliau telah memohon maaf kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Pengetua wanita itu didakwa mengeluarkan kenyataan itu semasa menegur murid-murid Cina bahawa tidak sensitif kepada rakan-rakan mereka yang beragama Islam dengan makan di kawasan sekolah ketika bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno mengulangi kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam isu dasar perkauman.

Timbalan perdana menteri berkata, Malaysia sebuah negara demokratik yang menggalakkan kebebasan bersuara tetapi menekankan, ia perlu dikawal selia untuk mengelakkan ketegangan kaum.

“Meskipun, pada masa-masa lalu ada pihak yang mendakwa kerajaan tidak tegas menangani isu perkauman tetapi kami telah meneliti perkara ini (isu Namewee) kerana apa yang penting ialah kami tidak mahu sebarang ketegangan kaum yang boleh menyebabkan kesan buruk ke atas negara,” katanya lagi.

“Sebab itu, jika ada seseorang yang mahu melahirkan pandangan mereka dalam negara demokratik, mereka tertakluk kepada undang-undang khususnya Akta Hasutan,” katanya.

Oleh itu tegas beliau, kerajaan telah memutuskan bahawa perlu bertindak dengan lebih tegas tanpa mengira kaum.

“Kami mahu mengelakkan keadaan macam ini,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.