Kerajaan Negeri Selangor Tidak Gentar

SHAH ALAM, 24 Sept – Kerajaan Negeri tidak gentar dengan tuntutan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebanyak RM308 juta yang didakwa sebagai ‘pampasan’ kerana terhalang daripada menaikkan tarif air di Selangor.

SYABAS membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 September lalu dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan Kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan.

Dalam satu kenyataan media oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin menyatakan, SYABAS mengugut untuk mengheret Kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka.“Kerajaan negeri tidak gentar dengan tuntutan SYABAS dan berpendapat syarikat itutidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masihberdepan dengan pelbagai masalah air,” katanya.

“Jika SYABAS dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37% seperti yang disebut dalamperjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal daripada harga petrol hari ini,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor yakin mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk mengheret SYABAS ke mahkamah kerana kegagalan mereka mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berulang kali menegaskan bahawa kerajaan negeri akan menentang usaha SYABAS atau mana-mana pihak yang mencabar rakyat Selangor terhadap hak mutlak air.

Kerajaan negeri dalam masa terdekat akan melancarkan gerakan menyelamatkan rakyat Selangor daripada terus dicengkam ketidakadilan perjanjian konsesi yang nyata membelakangi tanggungjawab sosial.

No comments

Powered by Blogger.