Kerusi Panas KPN, Mampukah Ismail Menggalas Tanggungjawabnya?

Oleh JEFRI ZACHARIAH

Kalau tiada aral melintang, tidak lama lagi negara akan menyaksikan perlantikan Tan Sri Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baru.

Kalau dilihat daripada air mukanya, nampak Ismail seorang yang mesra dan lemah lembut orangnya.

Namun bagi saya raut wajah itu bukanlah faktor yang penting, tak guna ada KPN yang misainya melintang sekalipun tetapi lemah dalam menjalankan tugas dan korup!

Persoalannya, mampukah Ismail membawa satu transormasi dalam PDRM apabila menduduki 'kerusi panas' tersebut?

Ini kerana KPN merupakan satu jawatan yang sangat penting, silap pembawaan, ia akan 'backfire' balik kepada orang yang memegang jawatan berkenaan.

Ismail perlu ingat, dunia tanpa sempadan telah membuka ruang untuk penjenayah berkongsi maklumat dan bertindak dengan lebih cekap dan pantas.

Penjenayah yang sofistikated, yang dilengkapi dengan pengetahuan, senjata dan teknik melakukan jenayah yang canggih lagi terkini, telah membawa kepada perubahan jenis dan tren jenayah yang sukar dikesan.

Dan ini pasti akan membuat tugas Ismail dan warga PDRM menjadi semakin mencabar.

Daripada segi beban kerja, saya difahamkan, secara puratanya setiap pegawai penyiasat polis perlu mengendalikan 19 kes siasatan sebulan, dan pegawai penyiasat yang berkhidmat di kawasan 'panas' pula mengendalikan di antara 20 hingga 30 kes sebulan.

Oleh yang demikian, Ismail perlu berusaha untuk menurunkan beban tugas seorang pegawai penyiasat agar mutu kerja dan siasatannya berada di tahap yang terbaik dan bukan cincai serta 'janji siap' saja.

Apabila kita memperkatakan tentang jenayah, kita tidak dapat elak daripada memperkatakan tentang si pelakunya.

Menurut perangkaan tahun 2009, seramai 5,795 kes jenayah adalah dilakukan oleh penagih dadah.

Boleh dikatakan majoriti daripada penjenayah yang mencuri dan meragut adalah terdiri daripada penagih dadah. Inilah cara jalan mudah untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Oleh itu, Ismail perlu memastikan semua warga PDRM menyokong inisiatif Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam memerangi gejala penagihan dan pengedaran dadah daripada terus berleluasa

Ismail hendaklah menyarankan semua warga PDRM supaya sama-samalah membantu menjalankan risikan dan menyalurkan maklumat berkenaan dadah. Janganlah kerana kita bukan bertugas di JSJN, kita serahkan tanggungjawab kepada JSJN sahaja untuk menanganinya.

Ingatlah bahawa polis memakai uniform yang sama, dan berikrar di bawah satu lafaz ikrar yang sama dengan berpaksikan kepada akta yang sama iaitu Akta Polis 1967.

Sedarlah, jenayah dan polis tidak boleh dipisahkan. Orang ramai akan hilang keyakinan kepda PDRM, jika kadar jenayah meningkat.

Justeru itu, menurunkan kadar jenayah dan meningkatkan kadar penyelesaian kes mestilah dijadikan 'target' setiap warga PDRM.

Jenayah mesti dicegah secara lebih agresif dan bersistematik. Salah satu cara ialah melalui kerjasama dengan masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan swasta, NGO, serta media massa.

PDRM tidak boleh bersendirian mengatasi masalah jenayah di negara ini.

Ismail dan warga PDRM perlu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti Rukun Tetangga, Rela, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebagainya.

Pada masa yang sama PDRM tidak boleh lagi bertindak 'selfish' dalam melaksanakan tugas kepolisan.

Ismail perlu memastikan semua pegawai dan anggota di peringkat kontinjen, daerah dan balai akan meletakkan ini sebagai satu keutamaan.

Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah hendaklah merancang betul-betul program pencegahan jenayah mereka

Walaupun PDRM berada di kedudukan terbaik di rantau Asia Tenggara dalam kadar penyelesaian kes, namu mereka tidak boleh leka dibuai dengan pengiktirafan tersebut, tetapi sebaliknya meningkatkan usaha yang ada ke arah yang lebih baik.

Ini kerana penyelesaian sesuatu kes itu bukan sahaja tertumpu kepada tertangkapnya penjenayah atau mengetahui penjenayah yang melakukannya, tetapi juga hendaklah kes tersebut berjaya di dalam pendakwaan di mahkamah.

Berkaitan dengan integriti pula, saya sedar, bahawa sebahagian besar daripada warga PDRM telah bertungkus lumus, bekerja dengan penuh komitmen, dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan berkorban mengembeling tenaga untuk menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti, demi menjamin pasukan mereka terus unggul, berwibawa dan disanjungi.

Malangnya, masih ada sekelompok yang lain, menjadi petualang yang sanggup menggadai maruah diri dan pasukan.

Ada yang terlibat dengan jenayah, dadah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Justeru, secara sedar atau tidak, mereka ini telah menarik pasukan, sedikit demi sedikit ke lembah kehancuran.

Perbuatan dan perlakuan negatif tersebut mesti disekat.

Sesungguhnya saya hairan, ke mana hilangnya kesetiaan sebilangan mereka ini kepada pasukan, sedangkan pada setiap tahun, ikrar taat setia telah dilafazkan.

Mungkin ikrar tersebut hanya menjadi ikrar semata-mata sedangkan perlakuan dan amalan mereka sungguh bercanggah dengan janji yang dilafazkan.

Di sinilah letaknya kepentingan meningkatkan integriti.

Dalam hal ini, Ismail perlu bersungguh-sungguh mewujudkan budaya integriti di kalangan warga PDRM.

Peningkatan integriti ini adalah sangat penting kepada survival pasukan

Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak, terutama sekali ketua-ketua atau pegawai-pegawai pemerintah di dalamnya.

Golongan ini perlu segera berubah, supaya tidak menjadi umpama ketam menyuruh anaknya berjalan betul, sedangkan dia sendiri songsang dan menyeleweng.

Saya melihat, berleluasanya masalah disiplin ini, adalah kerana kegagalan ketua mengawal dan menyelia pegawai bawahan, budaya takut untuk menegur kesalahan pegawai bawahan, dan budaya takut untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai bawahan.

Justeru Ismail perlu mengambil kesempatan ini, untuk mengingatkan ketua-ketua atau pemimpin agar sentiasa menampilkan ciri-ciri kepimpinan yang baik.

Ciri-ciri kepimpinan yang harus diamalkan ialah sentiasa mendampingi orang bawahan, bertemu dan berjumpa dengan masyarakat, perlu mengambil tindakan proaktif dengan mengubah sikap negatif anggota bawahan, tidak melibatkan kepentingan diri dalam apa jua tindakan yang berkaitan dengan tugas, berhemah tinggi dan sentiasa berusaha untuk menambahbaik mutu perkhidmatan.

Pemimpin sendiri mestilah ikhlas dan bertanggungjawab iaitu mengamalkan konsep Kepimpinan Melalui Teladan iaitu dengan menunjukkan teladan yang baik dan tidak terlibat dengan penyelewengan, rasuah dan perbuatan negatif yang lain.

Memang, Ismail tidak mempunyai 'tongkat sakti' yang mampu mengubah semua ini dalam sekelip mata

Namun Ismail pada masa yang sama tidak boleh terlalu 'slow'. Yang pasti, seluruh negara akan memerhatikan beliau selepas ini.

Pisau dan timun kini berada di tangannya. Silap haribulan buah tak putus, jari pula yang luka

Selamat bertugas Tan Sri!

No comments

Powered by Blogger.