Meninjau kembali isu ekuiti korporat Bumiputera

(Terjemahan kepada Bahasa Melayu oleh Azmi Anuar)

Lebih daripada lima tahun telah berlalu sejak laporan kajian korporat oleh Asli mendedahkan bahawa pemilikan ekuiti korporat Bumiputera di Bursa Saham Kuala Lumpur telah melebihi matlamat 30 peratus.

Dapatan kajian ini tentang 45 peratus saham Bumiputera berasaskan kaedah pengukuran yang berbeza berbanding dengan yang rasmi. Menggunakan nilai pasaran dan bukan kaedah rasmi penilaian nilai nominal (par value), dan memperuntukkan ekuiti GLC berdasarkan perkongsian mengikut kaum, kajian mendapati bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan dasar yang telah dilaksanakan sejak tahun 1970-an.

Penemuan kajian ini tidak sahaja mencetuskan reaksi yang negatif kerana bukan hanya mencabar data rasmi tentang saham ekuiti yang dimiliki oleh masyarakat Melayu tetapi apa yang lebih penting telah mencabar ortodoksi rasmi.

Reaksi keras daripada pelbagai para pemimpin Umno pada waktu itu menunjukkan kemarahan mereka - dan mungkin rasa takut - bahawa kajian Asli menidakkan keyakinan yang telah lama dipegang tentang bagaimana strategi ekuiti korporat Bumiputera perlu untuk kemajuan ekonomi Bumiputera dan sinonim dengan kepentingan Melayu.

Hilang dalam badai api itu ialah cadangan kajian tersebut yang merangkumi isu-isu yang luas. Cadangan-cadangan tersebut disampaikan semula di bawah ini.

Saya berharap cadangan-cadangan itu akan dibaca dengan lebih hati-hati oleh kumpulan para penggubal dasar dan ahli politik pada masa ini yang cuba mencari jalan keluar daripada apa yang telah disebut sebagai "pencabulan DEB" - penilaian yang dibuat oleh salah seorang ahli bank terkemuka negara, Nazir Razak.

Penemuan-penemuan tentang ekuiti korporat -- dari Laporan Pusat Pengajian Dasar Awam/Centre for Public Policy Studies (CPSS)

* GLC (syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan) adalah pemegang saham ekuiti korporat yang utama. Pola operasi GLC kurang sekali mencerminkan keupayaan keusahawanan dan pembikinan.

* Badan penyelia memastikan bahawa 30% daripada ekuiti syarikat yang disenaraikan adalah dimiliki oleh Bumiputera. Namun begitu, badan-badan ini tidak pula memastikan bahawa Bumputera perseorangan yang diperuntukkan sebahagian besar ekuiti syarikat yang disenaraikan, terutama saat Tawaran Awam Permulaan (Initial Public Offering/IPO), mengekalkan pemilikan ekuiti ini.

* Pengagihan saham syarikat yang disenaraikan kepada para pemegang saham minoriti Bumiputera semasa IPO harus dilakukan dengan cara yang lebih adil dan telus. Pada masa ini, kumpulan elit mendapat faedah daripada IPO tersebut, dan saham itu dengan cepat dijual semula untuk keuntungan besar.

* Penjualan atau pelepasan saham (divestment) terus menerus oleh pemegang saham Bumiputera (sebahagiannya untuk kepelbagaian aset) merupakan punca utama apa yang disebut 'kurang prestasi' Bumiputera berhubung dengan matlamat ekuiti korporat DEB berdasarkan definisi rasmi.

* Bahkan jika penjualan ini tidak dikira, saham Bumiputera dalam ekuiti korporat saat ini jauh melebihi sasaran 30 peratus, jika metodologi pengukuran yang lebih objektif digunakan.

* Sebenarnya usaha kerjasama intra-etnik di kalangan pengusaha China yang terkemuka amatlah sedikit. Malah sebaliknya, terdapat semakin banyak bukti tentang kerjasama antara-etnik berdasarkan para rakan kongsi yang memberikan sumbangan yang sama rata untuk pembangunan sesebuah syarikat.

* Peraturan dan dasar kerajaan, terutama dalam bentuk tindakan DEB, mengekang pembangunan keusahawanan dan menghalang pelaburan domestik dan asing.



Cadangan berkaitan ekuiti korporat

* Perusahaan yang dimiliki oleh GLC harus dikendalikan oleh para profesional yang cekap dengan kepakaran dalam perniagaan syarikat di bawah seliaan mereka. Kedudukan pengurusan senior tidak harus ditentukan berdasarkan latar belakang etnik tetapi pada prestasi dan pencapaian profesional.


* Kerajaan harus berhenti memperuntukkan ekuiti kepada Bumiputera individu sewaktu IPO. Peruntukan saham kepada Bumiputera sebelum IPO cenderung mempromosikan hubungan Ali-Baba dan hanya menjejaskann kepercayaan pelabur dan menggalakkan syak-wasangka.


* Badan amanah Bumiputera, seperti ASN dan ASB, harus menjadi penerima manfaat utama dari IPO yang diperuntukkan untuk kumpulan sasar ini. Pada masa yang sama, harus ada keazaman yang sama oleh kerajaan untuk meningkatkan penyertaan saham daripada komuniti India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak melalui badan-badan amanah yang serupa, yakni berasaskan masyarakat.


* Inisiatif kerajaan untuk mempromosikan pembangunan keusahawanan berdasarkan tindakan afirmatif akan menjejaskan usaha para usahawan, yang muncul terutama di kalangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS ataupun Small and Medium Industries/SMEs), yang tidak akan mampu membangun tanpa sokongan pemerintah kerana sudah terlalu dimanjakan sekain lama.


* Kerajaan harus memusatkan perhatian mempromosikan sektor ekonomi yang penting dan IKS sebagai cara mengembangkan potensi ekonomi Malaysia. Kerajaan khususnya harus memanfaatkan potensi kelas menengah baru untuk memperkembangkan syarikat-syarikat dan mencari cara menyokong usaha tersebut.


* Tindakan afirmatif berorientasikan kaum dan promosi perniagaan milik Melayu telah mencetuskan perpecahan intra-etnik Melayu yang serius dan pada ketika yang sama menghalang pembentukan persekitaran ekonomi yang berdaya saing. Kerajaan tidak harus meneruskan promosi dasar-dasar tersebut.


* Dalam mengira saham ekuiti syarikat untuk setiap kumpulan etnik, terdapat keperluan dalam kita membuat perhitungan tersebut untuk saham GLC [nota pengarang CPI: misalannya Petronas] mahupun syarikat yang dicalonkan (nominee companies) dinisbahkan mengikut komposisi etnik negara. Ini akan memberikan pengiraan yang lebih adil dan objektif berkaitan setakat mana pemilikan saham untuk setiap kumpulan etnik, berbanding dengan kaedah atau metodologi saat ini.


* Dasar kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera Melayu dan etnik minoriti lain dalam bidang perdagangan dan industri adalah lebih baik dicapai melalui usaha peningkatan kapasiti seperti pelaburan dalam pembangunan sumber daya manusia dan latihan kemahiran daripada langkah pemaksaan penstrukturan ekuiti.



Perlanjutan wayang berkaitan ekuiti korporat Melayu

Kita dapat memahami mengapa Perkasa, dan kumpulan parasit yang serupa sentiasa mengamuk tentang masalah ekuiti korporat. Gerakan nasionalis ultra sangat memerlukan isu-isu yang boleh memberikan mereka mandat sebagai pelindung kepentingan Melayu dan menggagalkan reformasi struktur yang diperlukan negara untuk membangun.

Apa yang gagal difahami adalah mengapa UMNO terus menekankan tentang pencapaian sasaran saham ekuiti korporat menurut kaum sebagai matlamat utama yang perlu dicapai, untuk orang Melayu dan negara secara keseluruhan.

Hal ini sama sekali merupakan sasaran yang salah untuk dijadikan tumpuan kerana telah terbukti lagi meyakinkan bahawa ia hanya menguntungkan sebilangan kecil ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan pihak pemerintah dan yang sudah kaya serta para pemimpin politik - dalam jumlah yang mungkin tidak lebih daripada beberapa puluh ribu sebanyak-banyaknya individu dan keluarga mereka.

Seseorang itu mungkin berfikir bahawa RM52 bilion daripada RM54 bilion nilai ekuiti yang dijual oleh pelabur Bumiputera terpilih antara tahun 1985 dan 2005 sudah menjadi bukti yang cukup bahawa golongan ini tidak perlu lagi diberikan faedah sampingan dan layanan istimewa.

Lebih penting lagi, matlamat ekuiti korporat Bumiputera adalah pendekatan yang salah kerana hal itu hanya akan mengalihkan perhatian daripada cabaran lebih penting yang perlu dihadapi negara dan khususnya Melayu dan masyarakat Bumiputra lain.

_____________________________________________________________________________

Terjemahan di atas disediakan untuk CPI dengan bantuan/input oleh Saidatul Madiha Abd Rahim.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.