Najib, PM Singapura bertemu Isnin muktamadkan isu tanah KTM

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Pertemuan ketiga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsian Loong minggu depan akan memuktamadkan isu-isu berkaitan dengan pertukaran tanah milik KTMB di republik itu termasuk soal penilaian - ketika negara menyambut ulang tahun ke-47 penubuhan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan pertemuan empat mata di Istana Singapura Isnin ini.

Ia pertemuan ketiga membabitkan kedua-dua mereka sejak Mei lalu di mana mereka mengumumkan penyelesaian bagi membolehkan Perkara-perkara Yang Dipersetujui (POA) dilaksanakan.

Semasa Permukiman Pemimpin di Singapura pada 24 Mei lepas, Najib dan Lee bersetuju mengambil langkah bagi menggerakkan isu-isu dalam PoA berhubung tanah milik KTMB itu.

Najib dan Lee bertemu kali kedua di Putrajaya dan bersetuju untuk bertemu selepas sambutan Aidilfitri bagi menyelesaikan perbezaan pandangan yang wujud dalam soal penilaian dan pertukaran selain aspek tempoh pemegangan.

The Malaysian Insider difahamkan pegawai-pegawai kedua-dua negara telah bersetuju untuk menggunakan satu nilai yang realistik ke atas tanah terlibat dalam proses pertukaran bagi menggantikan tanah milik KTMB selepas Singapura dipercayai berkata nilai tanah yang tinggi akan menyebabkan caj pembangunan tinggi di negeri pulau itu.

Difahamkan pegawai kedua-dua negara juga telah memuktamadkan pembentukan M-S Pte Ltd yang perlu diwujudkan sebelum 31 Disember ini dengan Malaysia memiliki 60 peratus ekuiti menerusi Khazanah Nasional Berhad manakala baki oleh Singapura yang akan dipegang melalui Temasek Holdings Limited.

Pegawai-pegawai juga bersetuju bahawa KTMB perlu berpindah keluar dari lokasi stesen bersejarah di Tanjong Pagar sekarang ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai depan untuk memenuhi syarat-syarat POA yang ditandatangani pada 1990.

Seorang pegawai dari Malaysia memberitahu The Malaysian Insider bahawa perundingan memperincikan butiran sungguh mencabar memandangkan maklumat POA tidak mencukupi.

Beliau mengesahkan sebarang kelewatan di pihak Malaysia akan menyebabkan tanah KTMB akan diambil alih oleh Singapura di bawah POA tanpa sebarang pampasan ataupun pertukaran tanah.

Oleh itu kata beliau, Malaysia perlu bertindak segera dengan mengejar masa.

Akhir Julai lalu, pegawai-pegawai kanan Malaysia dan Singapura bertemu bagi membincangkan dengan lebih lanjut POA berhubung tanah milik KTMB di republik itu.

Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Mohd Isa manakala Singapura oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya Peter Ho.

Susulan pertemuan itu, dua jawatankuasa kecil ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil mengenai Penempatan Semula Stesen Kereta Api KTMB dan Jawatankuasa Kecil Penubuhan M-S Pte Ltd.

Kedua-dua pihak mengulangi komitmen masing-masing bagi melaksanakan sepenuhnya persetujuan yang dicapai dalam Kenyataan Bersama pada 24 Mei iaitu penempatan semula stesen kereta api KTMB dari Tanjong Pagar ke WTCP, penempatan kemudahan bersama kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta api di WTCP, dan penubuhan M-S Pte Ltd.

“Ada sedikit masalah dalam soal penilaian tanah tetapi kelihatan ia sudah diselesaikan,” kata sumber diplomatik kepada The Malaysian Insider.

No comments

Powered by Blogger.