Seorang pekerja kelab malam mati ditetak di rumah sewa

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Seorang pekerja kelab malam ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dapur rumah sewanya di Pangsapuri Pandan Villa, Ampang di sini malam tadi akibat ditetak.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata mangsa yang dikenali sebagai Chia Siok Heng, 32, dipercayai ditetak antara lima ke lapan kali di bahagian dada, leher dan tangan.

Dalam kejadian kira-kira 8.55 malam itu, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja apabila rumah sewa mangsa didatangi dua orang lelaki tempatan.

Dua lelaki itu mengetuk pintu rumah mangsa di mana salah seorang suspek dikatakan mengugut mangsa dengan sebilah parang supaya membuka pintu.

Abdul Jalil yang ditemui pemberita di tempat kejadian berkata mangsa kemudian telah membuka pintu rumahnya ekoran kerana takut dengan ugutan itu.

Katanya seorang daripada lelaki tersebut dikatakan menunggu di luar rumah sementara suspek masuk ke dalam rumah terbabit.

Melihatkan rakan mangsa yang ada bersamanya, suspek telah mengarahkan rakan mangsa untuk diam namun tidak lama kemudian rakan mangsa berjaya meloloskan diri melalui pintu belakang rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada polis, katanya.

“Apabila polis tiba ditempat kejadian, mayat Chia ditemui dengan keadaan berlumuran darah di bahagian dapur rumah,” katanya, sambil menambah senjata yang digunakan dalam kejadian itu tidak ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata polis tidak menolak kejadian tersebut bermotifkan dendam kerana tiada barang milik mangsa atau barang dalam rumah ini yang hilang serta keadaan rumah mangsa juga tidak berselerak.

Abdul Jalil berkata polis telah mengambil keterangan daripada rakan serumah mangsa yang berusia 23 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat ke atas rakan serumahnya itu, mangsa dikatakan tidak mempunyai musuh dan tidak pernah berhutang dengan ah long. Kita juga masih belum dapat mengenal pasti identiti kedua-dua suspek,” kata beliau.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. —Bernama

No comments

Powered by Blogger.