Wisma Putra: Malaysia, Indonesia mahu cari penyelesaian damai

KOTA KINABALU, 5 Sept — Mesyuarat antara Malaysia dengan Indonesia esok akan mencari jalan penyelesaian secara damai bagi menyelesaikan isu sempadan perairan antara kedua-dua negara berikutan ketegangan yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak di kedutaan besar Malaysia di Jakarta.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia menyedari betapa pentingnya mesyuarat tersebut dalam mengekalkan hubungan dua hala yang cemerlang yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Ia merupakan mesyuarat yang sangat penting, lebih-lebih ekoran apa yang berlaku Indonesia di mana berlaku demonstrasi di hadapan kedutaan kita sejak beberapa hari.

“Keputusan mesyuarat sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Anifah berkata beliau sentiasa menghubungi rakan sejawatannya dari Indonesia, Dr Marty Natalegawa dan kedua-dua pihak percaya tunjuk perasaan di Jakarta tidak mewakili perasaan rakyat Indonesia secara keseluruhan terhadap Malaysia.

Beliau yang tidak optimis mahupun pesismis dengan hasil mesyuarat itu nanti, bagaimanapun yakin kedua-dua negara akan sanggup bekerjasama untuk menyelesaikan

isu yang timbul berhubung isu sempadan maritim.

“Kita perlu sedar bahawa sebagai jiran, saya tidak fikir perkara ini tidak boleh berlaku lagi di masa depan kerana sempadan perairan pantai dan maritime kita adalah sangat panjang dan luas, peluang untuk ia berlaku lagi adalah besar.

“Namun apabila perkara seperti ini berlaku, apa yang penting ialah bagaimana kita menyelesaikan masalahnya supaya ia tidak berkembang dan apa yang lebih penting agar tiada pihak luar yang mempunyai agenda tersembunyi mengeksploitasi keadaan,” katanya.

Anifah berkata mesyuarat tersebut akan membincangkan penggunaan teknologi moden dan keperluan sebuah stesen berpusat untuk mengesan bot-bot nelayan yang memasuki kawasan sempadan perairan.

Pada 13 Ogos lalu, bahagian penguat kuasa marin Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan di kepulauan Riau sementara pihak penguat kuasa Malaysia menahan tiga pegawai penguat kuasa

marin Indonesia.

Isu tersebut menyebabkan berlaku tunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia di Jakarta sehingga dilempari najis manusia. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.