Sosilawati dan 911, berita dan persepsi

Oleh Haris Zalkapli

Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya yang berprofil tinggi bersama tiga yang lain telah mencetuskan komentar-komentar politik yang sengit. Ini tercetus disebabkan suasana politik dalam negara kini yang panas dan sangat partisan, dengan kedua-dua pihak propemerintah dan pembangkang mempolitikkan banyak isu untuk kepentingan masing-masing.

Dalam kes Sosilawati, dapat diperhatikan bagaimana kumpulan pembangkang membina persepsi dengan mengaitkan pembunuhan itu dengan Altantuya Shaariibu, Teoh Beng Hock, dan Kugan, nama-nama yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap pemerintah, terutama Umno.


Dengan meletakkan nama-nama tersebut dalam satu "kotak," perhatian orang ramai akan dengan mudah mengaitkan kes Sosilawati dengan kes-kes lain itu, sekaligus memanjangkan lagi permainan persepsi negatif terhadap pemerintah dan mengalihkan tumpuan daripada hal-hal lain yang berpotensi timbul.

Ini kerana persepsi dalam kes-kes tersebut dalam wacana popular mengaitkan dan memutuskan bahawa pemerintah atau pemimpin tertentu (Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terlibat.

Dengan kaitan ini, persepsi yang terbina akan mengarah ke Umno, dan bukan pihak lain, seperti yang dicetuskan oleh blog-blog Umno yang mengaitkan suspek utama kes itu dengan Majlis Peguam, Hindraf dan DAP.

Satu kenyataan seperti ini, yang kelihatan sangat didasari sentimen politik kepartian dan tanpa pengetahuan lebih mendalam mengenai isu tersebut dibuat oleh Datuk Mahfuz Omar, yang mengaitkannya dengan kes Altantuya. Hal yang sama berlaku sekitar isu serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, yang terus menjadi topik wacana yang mudah dikaitkan dengan apa sahaja, oleh sesiapa sahaja.

911, nama popular bagi peristiwa itu kini mula menjadi satu industri, dikomodifikasikan untuk menghasilkan tulisan akademik, rencana akhbar, filem dan banyak lagi.

Secara mudahnya, di AS, 911 diletakkan dalam kerangka ancaman asing, dan memerlukan semua pihak bersatu menyokong satu agenda yang diolah persetujuannya.

Kontroversi pusat Islam dekat kawasan serangan menunjukkan bagaimana manipulasi dan kemalasan berfikir ramai rakyat AS mencetuskan kaitan mudah 911 dengan Islam.

Manipulasi yang sama dapat dilihat dilakukan di Malaysia, dalam kempen menentang "negara Islam" yang diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad semasa masih memegang jawatan.

DAP telah meletakkan isu 911 sekali dengan 929 (tarikh Mahathir membuat perisytiharan), tindakan yang boleh membina atau menguatkan persepsi kaitan Islam dengan terorisme.

Kenyataan itu menjelaskan sikap sebenar DAP, yang sukar untuk difikirkan akan terlepas pandang isu tersebut, malah mudah dipercayai kempen itu dilakukan secara sedar.

Dalam satu kenyataan pemimpinnya, 911, negara Islam dan terorisme telah diletakkan sekali, dalam satu ucapan yang dimulakan dengan menyentuh ulangtahun pertama 911.

Dalam kenyataan itu, pemimpin kanan DAP itu menggesa rakyat Malaysia untuk "say 'no' both to the PAS Islamic State and the UMNO Islamic State and to make clear that while Malaysians do not want terrorism or any form of extremism to rear its ugly head in Malaysia.."

No comments

Powered by Blogger.