Calon KEADILAN DUN Krian dapat sokongan padu penduduk

kUCHING: Calon KEADILAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Ali Anak Biju dilihat antara calon paling menyerlah pada pilihan raya kali ini dan mendapat dokongan ramai rakyat.

Demikian dinyatakan Abdul Razak Ismail, Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Selangor, Dr. Xavier Jayakumar.

Beliau bersama Dr. Xavier Jayakumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Andalas ditugaskan membantu Dun itu pada pilihan raya Sarawak kali ini.

Razak dalam kenyataannya kepada Keadilandaily.com berkata, penduduk di situ melahirkan rasa terkejut kerana ini kali pertama calon pembangkang Sarawak berupaya mengadakan perarakan besar-besaran pada sesi penamaan calon dan jentera kempen.

“Semasa hari penamaan calon lebih 3,000 penyokong Pakatan Rakyat mengiringi Ali Anak Biju berarak sekitar pekan Saratok selepas diisytihar sebagai calon KEADILAN di DUN itu.

“Lebih menakjubkan ialah kemampuan jentera KEADILAN setempat meletakan lima buah ‘billboard’ besar (bersaiz 15′ X 25′ ) di lokasi strategi di pekan Seratok dan kawasan sekitar,” kata Razak.

Sementara itu, Ali berkata, beliau yakin KEADILAN akan merampas kerusi itu dari penyandang BN, Peter Nyarok ak Entrie yang sudah lima kali bertanding di kawasan tersebut.

Peter ialah calon dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), sekutu BN Sarawak yang kini berpecah kepada dua kumpulan. Parti itu juga sebelum ini dilihat bertelagah dengan sebuah lagi sekutu BN di negeri itu, Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Ini kerana 50 peratus dari Adun SPDP mahu meninggalkan parti itu untuk melompat kepada PRS.

Mengulas lanjut, Ali tidak menolak krisis sekutu BN itu sedikit sebanyak memudahkan KEADILAN menawan Dun berkenaan akibat sabotaj sesama sendiri di antara beberapa kem yang wujud dalam parti lawan.

“Dengan mengguna slogan “Aram Berubah Kitai Rakyat Sarawak ” (Berubahlah Kita Rakyat Sarawak ) “Angkat Semua … Tan Ka Reta Pesaka Kitai” ( Bangkitlah…Kita Pertahankan Tanah Kita), saya yakin masyarakat Iban yang menetap di lebih 240 buah rumah panjang dalam DUN Krian akan mengundi Pakatan Rakyat pada 16 haribulan (hari penggundian) ini,” kata Ali.

Dun Krian mempunyai kira-kira 10,800 penggundi dengan lebih 90 peratus pengundi dari kalangan masyarakat kaum Iban.

DUN ini terletak dalam Parlimen Saratok bersama sebuah lagi kawasan dikenali sebagi DUN Kalaka (N. 33) yang turut ditandingi calon KEADILAN, Mohd Yahya Abdullah.

No comments

Powered by Blogger.