Hanya akan tanding kalau sokongan kuat, kata Mat Sabu

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 4 April — Ahli jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu menafikan beliau secara rasmi sudah menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden parti pada pemilihan parti Jun ini.

Sebaliknya, bekan naib presiden PAS itu berkata, beliau hanya akan mengumumkan secara rasmi pendiriannya seminggu sebelum pemilihan diadakan.

“Belum lagi...belum lagi... saya masih belum ada menawarkan diri lagi, bagaimana saya nak tawarkan diri kalau pencalonan pun saya belum tahu.

“Menawarkan diri itu istilah yang tidak betul, apa yang saya katakan saya bersedia menawarkan diri dan bertanding sekiranya pencalonan yang diterima saya kuat, kalau tidak kuat saya mungkin tidak akan bertanding,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas Mohamad, apa-apa keputusan akan dibuat selepas semua kawasan membuat pencalonan dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing bagi memilih pucuk pimpinan sehingga 10 Mei ini.

“Bagaimana saya buat keputusan, kita biarkanlah kawasan mesyuarat dulu, kalau saya hanya dapat tiga atau empat pencalonan susah untuk saya bertanding.

“Senang kata kalau sokongan saya kuat, saya akan bertanding dan kalau sokongan tidak kuat mungkin saya tidak akan bertanding tapi buat masa sekarang saya belum menawarkan diri secara rasmi lagi,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Mohamad secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu.

Katanya, antara tujuan utama beliau menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding adalah bagi membantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegakkan keadilan Islam khasnya di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Jawatan nombor dua parti ini dijangkakan menjadi rebutan antara penyandangnya Nasharudin Mat Isa selepas Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan tidak akan bertanding jawatan itu.

Bagaimanapun usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan daripada Nasharudin sehingga kini masih belum berhasil.

Sekiranya, Mohamad bertanding ini merupakan kali kedua beliau berbuat demikian setelah tewas kepada Nasharudin dua tahun lalu.

Turut bertanding ketika itu ialah Datuk Husam Musa.

Ketika itu kedua-dua Mohamad dan Husam merupakan naib presiden.

Pada pemilihan itu, Nasarudin mendapat 480 undi untuk mengekalkan jawatannya, Husam memperoleh 281 undi manakala Mohamad hanya 261 undi.

No comments

Powered by Blogger.