Kemenangan 15 kerusi satu pencapaian cemerlang- Wan Azizah

KUCHING: Kejayaan Pakatan Rakyat menggandakan bilangan kerusi di Sarawak dengan memenangi 15 buah kerusi yang ditandinginya merupakan satu pencapaian cemerlang, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, kejayaan itu juga bukti penerimaan rakyat Sarawak terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat, biarpun terpaksa berdepan serangan Barisan Nasional yang berterusan memperkudakan jentera kerajaan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya negeri Sarawak ini (yang) menjurus kepada dua sistem. Sepanjang kempen kali ini, kita melihat rakyat Sarawak begitu prihatin terhadap isu yang dibangkitkan,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN di Satok, malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamad Azmin Ali dan wakil rakyat Batu Lintang yang baru, See Chee How.

Wan Azizah mengucapkan tahniah kepada rakyat Sarawak kerana berani melakukan perubahan dengan memilih KEADILAN di tiga kawasan iaitu Ba;kelalan, Batu Lintang dan Krian.

Tiga kawasan DUN itu mencatatkan keputusan cemerlang apabila KEADILAN berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti besar.

“Alhamdulillah, kita telah melakukan dengan begitu baik sekali,” katanya sambil menambah kemenangan ini menunjukkan betapa parti KEADILAN membawa aspirasi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

Terdahulu sebelum itu, Baru Bian menjelaskan persaingan kali ini tidak mudah, tambahan keseluruhan jentera kerajaan Pusat termasuk dari Menteri dari Sabah dikerah ke kawasannya untuk berkempen.

“Semua tempat dimasuki dengan membawa projek bernilai jutaan ringgit. Tetapi kita berasa gembira kerana tsunami politik sampai juga ke Sarawak. Melihat kepada jumlah undi popular, saya yakin peratusannya akan meningkat.

“Ini merupakan tanda bahawa orang Sarwak sedang maju ke depan dan memberi keyakinan kepada KEADILAN untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak,” katanya.

Dalam pada itu Baru menambah, kekalahan SNAP dan kehilangan deposit di banyak tempat merupakan tanda jelas bahawa sistem poltik dua parti telah diterima dan disokong.

Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan isu tanah tanah adat, tanah kampung sama ada orang Asal dan bukan orang Asal di negeri ini.

Menyentuh sikap pengundi di pedalaman, Baru yakin perubahan tetap akan berlaku sekiranya maklumat disampaikan dengan jelas.

No comments

Powered by Blogger.