PAS hormati keputusan rakyat, kata timbalan presiden

KUALA LUMPUR, 16 April – PAS menghormati keputusan yang telah diumumkan dan akur walaupun gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 hari ini termasuk di kawasan-kawasan yang dijangka akan melahirkan anak sulungnya.

Namun PAS sedar dan berbangga dengan pencapaian yang telah diperoleh yang jelas memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat Sarawak secara keseluruhan terhadap PAS, sekali gus memberikan petanda masa depan PAS yang cukup baik di Sarawak.

Dipetik Harakah Daily, Timbalan Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya ini, Nasharudin Mat Isa berkata, peningkatan baik yang diterima oleh PAS amat ketara di DUN Beting Maro yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, apabila hanya kalah dengan majoriti sekitar 400 undi kepada BN, berbanding PRN Sarawak tahun 2006 sebanyak 800 undi.

Menurut beliau, begitu juga di DUN Tanjung Datu yang terletak dalam kawasan Parlimen Santubung dan Muara Tuang yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan yang baru pertama kali ditandingi, tetapi turut memperlihatkan sokongan yang amat baik di kalangan pengundi di kawasan itu terhadap PAS.

Katanya, namun PAS amat kesal dengan laporan dan analisis yang dibuat oleh Astro Awani awal malam ini yang amat jauh menyimpang dari kebenaran dengan mengatakan PAS mengalami kekalahan sebanyak 2,000 undi di Beting Maro.

“Laporan dan analisis Astro Awani itu ternyata tak betul. Malah sebenarnya sokongan para pengundi di Beting Maro terhadap PAS ternyata semakin meningkat sehingga hanya kalah dengan majoriti undi yang amat kecil sebanyak 391 undi sahaja,” katanya.

Walaupun kalah di kesemua kawasan yang ditandingi, menurut beliau, perkembangan dari pilihan raya Sarawak Ke-10 ternyata semakin memberikan sinar kepada PAS untuk menempa kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

“Dengan perkembangan yang baik ini, PAS tidak akan patah semangat untuk melakukan gerak kerja yang lebih baik di Sarawak sama ada dari sudut politik dan sudut-sudut lain.

“Malah, PAS pasti akan berusaha untuk mempertingkatkan usaha di Sarawak dari semasa ke semasa bagi menghadapi pilihanraya akan datang demi kepentingan rakyat Sarawak termasuk dalam politik dan bidang-bidang lain,” tegasnya.

No comments

Powered by Blogger.